8 Oktober 2022, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia sekali lagi berjaya meraih Anugerah Emas Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2022 bagi tiga kategori daripada 26 kategori Anugerah Emas, iaitu kategori Foto Kembara, Video Kembara dan Budaya. Majlis anugerah tersebut telah berlangsung secara dalam talian dan para pemenang berpeluang untuk diiktiraf di atas pentas pada Sidang Kemuncak Tahunan PATA di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu. Pencapaian pemenang turut disiarkan ke seluruh dunia melalui saluran YouTube PATA.

Gambar lelaki bermain wau oleh Tourism Malaysia yang memenangi Anugerah Emas Fotografi Kembara.

Tourism Malaysia berjaya memenangi Anugerah Emas Fotografi Kembara melalui penyertaan gambar menarik seorang lelaki menerbangkan wau yang merupakan layang-layang tradisional Malaysia di tepi pantai Terengganu. Gambar memukau tersebut bukan sahaja menonjolkan keunikan kraf wau tetapi juga membolehkan masyarakat umum melihat cara-cara wau dimainkan. Gambar yang memenangi anugerah ini juga membuktikan masih banyak orang di Malaysia terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu yang bermain wau, khususnya semasa musim menuai.

Di samping itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) pula berjaya menggodol dua Anugerah Emas, iaitu bagi kategori Video dan Budaya. Video promosinya yang bertajuk “A Journey Awaits” oleh Faithworks Studios berjaya memenangi Anugerah Emas Video Perjalanan. Video yang berdurasi lebih kurang tiga minit tersebut menyeru dan menjemput para pengembara dari seluruh pelosok dunia untuk berkunjung ke Sarawak melalui gambaran keindahan, budaya, warisan dan keajaiban alam semula jadi yang terdapat di negeri tersebut. Video penuh yang memenangi anugerah tersebut boleh ditonton melalui https://www.youtube.com/watch?v=S6Sj9WkBgEI.

Tangkap layar semasa majlis Anugerah Emas PATA yang berlangsung secara maya.

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2021 yang turut dianjurkan oleh LPS turut memenangi Anugerah Emas Budaya dalam Anugerah Emas PATA 2022. Sentuhan kreatif RWMF 2021 membolehkan para pencinta muzik menikmati festival tersebut dengan santai secara dalam talian melalui pelbagai platform semasa Malaysia masih berada dalam era pandemik COVID-19. Festival yang berlangsung selama tiga hari tersebut membawa muzik dan budaya tradisional Sarawak secara maya tanpa caj bayaran masuk dan boleh dinikmati oleh semua pencinta muzik.

Bagi melihat senarai penuh para pemenang Anugerah Emas PATA 2022, para pembaca boleh melayari https://www.pata.org/pata-gold-awards.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.