28 Oktober 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena sambutan Hari Warisan Audiovisual yang disambut pada 27 Oktober setiap tahun, Arkib Negara Malaysia (ANM) telah melaksanakan pelbagai program sepanjang hari tersebut. Pengerusi Lembaga Penasihat ANM, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom telah merasmikan sambutan tersebut yang berlangsung di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual Negara.

Menurut Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin, tema yang diketengahkan pada tahun ini adalah “Dokumentari Warisan Bahan Audiovisual ke Arah Masyarakat yang Inklusif, Adil dan Makmur” bertujuan untuk mempromosikan nilai-nilai kebersamaan, keadilan dan kesejahteraan menerusi bahan-bahan warisan dokumentari.

“Jika diteliti dengan lebih mendalam, bahan-bahan warisan ini sangat penting kerana terdapat pelbagai rakaman peristiwa, warna-warni kehidupan dan pelajaran yang memungkinkan nilai-nilai murni dapat dikongsi dengan masyarakat pada hari ini,” ujar Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin sewaktu berucap pada hari sambutan tersebut.

Pengerusi Lembaga Penasihat ANM, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom sedang menyampaikan ucapan.

Tambah beliau lagi, sambutan ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan memelihara bahan audiovisual sebagai khazanah warisan negara kerana menerusi bahan-bahan tersebut, pelbagai suka dan duka peristiwa bersejarah disimpan, direkod dan dirakam.

“Bahan-bahan warisan ini bukan hanya disimpan dan dipelihara semata-mata, tetapi adalah penting sebagai rujukan dan digunakan oleh orang ramai dalam mengkaji pelbagai aspek kehidupan masyarakat pada zaman dahulu,” jelas Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin turut berkata, bahan audiovisual merupakan sebuah jendela warisan yang memperlihatkan pelbagai peristiwa dan sejarah dunia apabila kita tidak dapat menyaksikan peristiwa dan kisah sejarah yang berlaku dalam negara kita pada zaman lalu.

Di samping itu, ANM turut mengadakan acara simbolik penyerahan bahan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kepada World Heritage Moving Image Centre (WHMIC) dan menyampaikan sijil penghargaan penyerahan bahan tersebut.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pengarah ANM, Encik Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, tanpa pengetahuan dan tanggungjawab untuk memelihara, mendigitalkan dan memberikan akses, khazanah sesebuah negara akan hilang untuk selama-lamanya.

Ketua Pengarah ANM, Encik Jaafar Sidek Abdul Rahman sedang menyampaikan ucapan pembukaan.

“Usaha memelihara warisan dan khazanah audiovisual ini amat penting untuk tujuan rujukan serta penyelidikan sebagai sumber maklumat berharga serta cerminan kepelbagaian budaya, sosial dan masyarakat negara ini. Tambahan lagi, bahan audiovisual dapat menceritakan kisah kita, kebenaran sejarah kita dan kehadiran kita semua,” jelas Encik Jaafar Sidek.

Seterusnya majlis diteruskan dengan program Sembang-Sembang Audiovisual bersama dengan empat panel yang terdiri daripada Profesor Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dato’ Profesor Ts. Dr. A. Razak Haji Mohaideen; Pengarah Bahagian Makmal FINAS, Puan Zuramashana Zakaria; Kurator Bahagian Daftar Warisan, Jabatan Warisan Negara, Puan Rokiah Abdul Samat dan Pengarah WHMIC, Ts. Azharul Azmir Kamarulzaman. Manakala penyampai berita TV9 merangkap penerbit berita digital TV3 Media Prima Berhad, iaitu Ahmad Barr Zainal Abidin bertindak selaku moderator program sembang-sembang tersebut.

Selain itu, dalam memeriahkan sambutan Hari Warisan Audiovisual Sedunia 2022, pihak ANM turut mengadakan pelbagai aktiviti lain seperti tayangan filem dokumentari, pameran pengurusan bahan audiovisual, demonstrasi pemuliharaan bahan arkib, pendaftaran online finding aid (FIA), klinik konsultansi pengurusan rekod kerajaan dan reruai pameran warisan pada hari tersebut. Rakaman program sambutan tersebut boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran Facebook Arkib Negara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.