28 Oktober 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cincin kaki atau metti sangat bermakna kepada masyarakat penganut agama Hindu. Menurut orang yang bijak pandai, metti merupakan simbol yang mencerminkan status perkahwinan seseorang. Metti diguna pakai oleh kaum wanita, manakala kaum lelaki pula memakai minji.

Metti kebiasaannya diperbuat daripada logam perak.

Pada lazimnya, seorang wanita akan menundukkan kepala ketika berjalan. Justeru, untuk mengetahui sama ada seseorang lelaki itu sudah berkahwin atau belum, dia boleh melirik ke arah jari kaki lelaki berkenaan. Jika terdapat minji pada jari kakinya, maka wanita boleh mengenal pasti bahawa lelaki itu sudah berkahwin.

Metti atau bichiya dalam bahasa Hindi, mettelu dalam bahasa Telugu dan kalungura dalam bahasa Kannada, selalunya diperbuat daripada logam perak. Jika disoal mengapa metti diperbuat daripada perak dan bukannya emas, maka inilah jawapannya. Masyarakat Hindu percaya bahawa emas adalah unsur yang suci, maka logam tersebut tidak wajar digunakan sebagai perhiasan kaki.

Emas juga dikaitkan dengan Dewi Lakshmi, iaitu Tuhan kekayaan dalam masyarakat penganut agama Hindu, maka tidak wajar jika barang kemas yang diperbuat daripada emas dipakai pada anggota badan yang berada di bawah paras pinggang.

Metti Melambangkan Peranan Seorang Isteri dan Saudara Perempuan

Menurut kepercayaan masyarakat penganut agama Hindu, wanita yang sudah berkahwin juga memakai metti pada kedua-dua belah kaki, sebentuk cincin simbol untuk suami dan sebentuk lagi cincin untuk adik atau abang kandung wanita itu. Signifikasinya adalah wanita yang kematian suami akan diamanahkan untuk dijaga oleh saudara lelaki yang akan mengambil alih tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung. Wanita yang kematian suami juga diwajibkan untuk menanggalkan cincin kaki yang dipakaikan oleh mendiang suami, sama seperti menanggalkan thaali daripada leher.

Metti dan Sains

Metti turut mempunyai kepentingan dari sudut sains. Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, pemakaian metti pada kedua-dua belah kaki dikatakan dapat meregulasi kitaran haid dan meningkatkan tahap kesuburan mereka. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan peluang mereka untuk hamil.

Metti yang disarungkan pada jari kedua kaki wanita.

Menurut sains, jari kedua pada kaki wanita, uterus dan jantung saling berhubung antara satu dengan yang lain melalui saraf-saraf yang disebut medial plantar dan lateral plantar. Metti juga dipercayai berfungsi sebagai alat untuk awet muda apabila kaki dan metti saling bergeseran ketika berjalan. Tambahan pula, logam perak yang turut berfungsi sebagai konduktor elektrik akan menyerap tenaga dari tanah dan mengalirkannya ke seluruh badan. Hal ini secara tidak langsung dapat menyegarkan tubuh badan.

Bagi kaum lelaki pula, mereka percaya bahawa pemakaian cincin kaki (minji) pada jari kaki dapat meningkatkan daya kekuatan seksualiti atau daya kemaskulinan.

Gambaran Metti dalam Novel

Dalam novel berjudul Tak Sengaja Cinta terbitan Penerbitan Fajar Pakeer (2014, halaman 238-239), penulis menonjolkan signifikasi metti bagi tujuan berkongsi ilmu mengenai amalan masyarakat Hindu dalam majlis perkahwinan. Berikut adalah petikan tersebut:

“Pada pusingan terakhir, Sham memakaikan cincin kaki atau metti pada jari kedua di kaki Roshini sebagai tanda mereka sudah berkahwin. Roshini turut memakaikan cincin pada jari kaki Sham. Cincin kaki ini mempunyai simboliknya. Seorang lelaki akan dapat mengetahui sekiranya wanita itu sudah berkahwin dengan melihat tali suci pada lehernya. Hal ini kerana orang lelaki selalunya berjalan tanpa menundukkan kepala. Bagi seorang perempuan pula, dia sentiasa akan tunduk apabila berjalan bersebelahan kaum lelaki. Maka itu, cincin kaki akan membantunya mengenal pasti sama ada status lelaki itu masih bujang atau sudah berumah tangga. Dalam kalangan masyarakat moden kini, memang jarang lelaki mengenakan cincin kaki. Malah, ada juga wanita yang berani menanggalkan tali suci ketika keluar. Namun begitu, di sesetengah kawasan, masih terdapat segolongan masyarakat beragama Hindu yang masih mengamalkan adat tradisi ini.”

 

Metti dan minji merupakan sebahagian daripada warisan dan tradisi masyarakat penganut agama Hindu yang masih kekal sehingga kini.

Ternyata metti sangat unik dan mempunyai kepentingan yang besar dalam kalangan masyarakat penganut agama Hindu sejak dahulu. Walau bagaimanapun, generasi pada masa kini kurang memahami tentang kepentingan metti dan minji. Era kini cincin kaki sudah menjadi simbol fesyen dan ramai yang sudah mula memakainya tanpa mengetahui hikmah di sebalik pemakaiannya.

Pada zaman ini, semakin ramai wanita kaum India yang beragama Hindu tidak memakai metti lagi. Antara alasan yang diberikan termasuklah tidak selesa kerana perlu memakai kasut tertutup serta berasa malu untuk memakainya kerana takut digelar kuno atau ketinggalan zaman.

Justeru, rencana ini ditulis dengan harapan agar para pembaca menyedari kepentingan cincin kaki yang berguna dari pelbagai sudut dan aspek.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.