4 November 2022, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Seminar Mini Kearifan Tempatan Motif Sabah berlangsung pada 3 November 2022, pukul 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di Dewan Tan Sri Suffian Koroh, Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.

Seminar ini yang dihadiri oleh para pensyarah, guru-guru, mahasiswa IPG Kampus Keningau dan sekolah-sekolah di sekitar Keningau memfokuskan kearifan tempatan dalam motif-motif etnik Dusun Liwan, Murut Bookan dan Lundayeh. Fokus kearifan tempatan ini adalah merujuk disiplin ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya asli tempatan yang berkembang sejak zaman silam, dan telah dipraktikkan sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat. Kearifan tempatan telah menjadi warisan turun-temurun daripada budaya masyarakat Malaysia yang secara khusus, ataupun daripada Kepulauan Melayu secara amnya.

Dalam seminar ini, sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan. Encik Mohazar Iksham Mahat selaku moderator mengendalikan sesi pembentangan kertas kerja ini. Dr. Rosliah Kiting memulakan sesi pembentangan menerusi kertas kerja beliau yang berjudul Kearifan Tempatan dalam Motif Sigar Sukuan Sabah. Beliau mengetengahkan kearifan tempatan dalam sigar etnik Dusun Liwan. Menurut beliau, pembuatan tenunan dan sulaman sigar memaparkan pelbagai motif. Motif inilah yang mempunyai kaitan dengan budaya sukuan di Sabah. Tambah beliau lagi, motif yang terdapat dalam sigar etnik Dusun Liwan diambil daripada sumber flora dan fauna.

Dr. Rosliah Kiting sedang membentangkan kertas kerja.

Sesi diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang kedua yang berjudul Kostum Murut Bookan: Pemakaian dan Motif oleh Puan Phyllis Lim@Nur Ain Shahira Lim Abdullah. Menerusi pembentang ini, beliau menerangkan bahawa pakaian wanita etnik Murut Bookan terbahagi kepada baju sulayau, sarung tapi dan aksesori. Etnik Murut Bookan menenun pakaian mereka sendiri.

Selain itu, beliau turut berkongsi keunikan masyarakat etnik ini yang mampu mendokumentasikan kearifan mereka dalam bentuk motif-motif pakaian yang mereka tenun. Misalnya, motif bulan penuh pada baju sulayau sebenarnya menggambarkan bahawa masyarakat ini amat akrab dengan bulan dan mereka menjadikan bulan sebagai panduan dalam menghitung musim.

Puan Phyllis Lim@Nur Ain Shahira Lim Abdullah sedang memberi penerangan tentang kertas kerja beliau.

Manakala pembentangan kertas kerja ketiga pula yang bertajuk Arit Etnik Lundayeh disampaikan oleh Encik Frank Dawat Yusia. Beliau menyatakan bahawa etnik Lundayeh mempunyai arit atau motif mereka yang tersendiri.  Arit etnik ini berasaskan alam semula jadi, terutamanya tumbuh-tumbuhan yang terdapat dalam persekitaran mereka. Beliau mengetengahkan sepuluh arit Lundayeh. Lebih menarik lagi, beliau mengaitkan Arit Lundayeh ini dengan Legenda Upai Semaring yang merupakan seorang pahlawan Lundayeh yang gagah dan mempunyai tubuh yang besar.

Penganjuran seminar ini dilihat berjaya mencapai objektif pelaksanaannya. Antaranya adalah untuk memperkenalkan kearifan tempatan yang kontemporari dari segi sastera, budaya dan bahasa sukuan yang terdapat di Sabah serta memelihara dan memulihara sastera, bahasa sukuan, dan budaya Sabah sebagai khazanah warisan bangsa. Di samping itu, diharapkan seminar ini dapat mempopularkan sastera, budaya dan bahasa sukuan yang terdapat di negeri Sabah kepada masyarakat umum.

Encik Frank Dawat Yusia sedang memberikan penjelasan kepada para peserta seminar.

Majlis penyampaian cenderamata disempurnakan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan disampaikan kepada Pengarah IPG Kampus Keningau, Encik Doti Asing, para pembentang dan moderator. Selain itu, beliau turut menyampaikan cenderamata kepada pemenang Pertandingan Jejak Kamus yang telah diadakan sebelum penganjuran seminar ini.

Sebanyak enam kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi IPG Kampus Keningau menerima hadiah. Encik Doti Asing, Pengarah IPG Kampus Keningau juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada DBP Cawangan Sabah dan berharap agar program seumpama ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.