13 November 2022, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Bangunan bersejarah di Ipoh, iaitu Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh dan bakal berperanan sebagai pusat para penggiat seni dalam merancakkan lagi industri seni visual kontemporari negara, terutamanya di bandar raya Ipoh.

Sesi menandatangani MOU bagi program seni visual kontemprari antara MBI dengan LPSVN sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi.

Selain melahirkan pelbagai keunikan budaya, industri seni visual sebenarnya turut berupaya menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara kita. Sehubungan dengan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program seni visual kontemporari di pejabat MBI demi menyemarakkan kegiatan kesenian di Ipoh

MBI diwakili Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh manakala LPSVN pula diwakili oleh Tuan Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan disaksikan oleh Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Menurut Dato’ Rumaizi, pembangunan industri seni visual negara kini semakin mendapat perhatian, terutamanya penglibatan generasi baharu yang dilihat mampu memacu kelestarian ekosistem seni visual secara mampan. Bahkan, industri seni visual ini juga bakal menjadi produk pelancongan baharu yang berpotensi membantu dalam menjana ekonomi setempat mahupun ekonomi negara.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud semasa menyampaikan ucapan.

“Satu Pelan Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh telah diwujudkan dengan tujuan menjadikan wilayah pelancongan Greater Ipoh sebagai destinasi bertaraf antarabangsa yang berdaya saing, inklusif dan mampan melalui pendekatan clustering. Hal ini meliputi empat pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Pembandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah,” ujar Dato’ Rumaizi sewaktu berucap dalam majlis tersebut.

Tambah beliau lagi, MBI turut memperkenalkan dan mempraktikkan konsep 3H, iaitu “Heritage, Hipsters dan Health” untuk membangunkan Balai Seni Visual Negara di Ipoh, Perak.

Dalam majlis yang sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi berkata, MOU yang ditandangani pada hari ini telah membentuk satu perancangan yang lebih teratur terhadap pembangunan infrastruktur dalaman dan susun atur ruang pameran.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi sedang berucap dalam majlis tersebut.

“Apabila kerja-kerja baik pulih sudah siap kelak, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh ini akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh yang berperanan sebagai pusat kepada para penggiat industri seni dalam merancakkan program seni visual kontemporari terutama di bandar raya ini,” jelas Datuk Hajah Saraya ketika berucap.

Beliau turut menyatakan harapannya supaya Balai Seni Negara Ipoh dapat menjadi hab seni popular untuk pelaksanaan program seni visual kontemporari menerusi sokongan dan kerjasama entiti seni tempatan dan luar.

Untuk makluman, bangunan Balai Seni Negara Ipoh dibina pada tahun 1914 dan siap dua tahun berikutnya dan bersambung dengan Dewan Bandaran Ipoh. Cadangan pembangunan ini diyakini mampu melonjakkan lagi ekonomi pelancongan sebagai pusat seni di utara Semenanjung Malaysia.

Secara tidak langsung, Balai Seni Negara Ipoh boleh dijadikan tempat untuk mengadakan program-program kesedaran, pendidikan dan jaringan berkaitan seni visual kontemporari melibatkan masyarakat dan mana-mana organisasi untuk membangunkan dan melestarikan seni visual kontemporari di sekitar Ipoh, Perak secara khususnya dan negeri Perak secara amnya. Kerja membaik pulih seluruh bangunan bersejarah ini mengambil masa selama 18 bulan, iaitu bermula 21 November 2022 sehingga Mei 2024.

Majlis MOU antara pihak MBI dan LPVSN bagi program seni visual kontemporari turut disiarkan secara dalam talian di https://www.facebook.com/nationalartgallerymalaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.