27 November 2022, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara bermula dari 12 November hingga 31 Disember 2022. Pelbagai pengisian menarik telah diatur dan dirancang untuk tatapan para pengunjung sepanjang pameran dan program tersebut berlangsung.

Datuk Hajah Saraya Arbi menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara.

Majlis perasmian pameran dan program tersebut telah berlangsung dengan meriah di dataran Muzium Negara pada 26 November 2022 dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Hajah Saraya Arbi.

Menurut Datuk Hajah Saraya Arbi, suasana kemeriahan majlis kenduri-kendara di kampung-kampung pada zaman dahulu kini telah berubah dengan kewujudan pelbagai perkhidmatan perkahwinan seperti katering, penganjur majlis, perancang perkahwinan dan sebagainya.

“Kenduri-kendara yang dianjurkan oleh masyarakat kampung melibatkan seluruh komuniti yang saling bermuafakat dalam kerja-kerja kenduri. Bak kata pepatah, “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah,” ujar Datuk Hajah Saraya Arbi sewaktu berucap merasmikan Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara.

Datuk Hajah Saraya Arbi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Tambah beliau lagi, nilai budaya yang ditonjolkan dalam adat kenduri-kendara, nilai muafakat serta perpaduan kerjasama semasa kenduri-kendara merupakan antara sepuluh nilai kebersamaan yang menjadi pendokong kepada nilai tinggi Dasar Budaya Negara. Bahkan, nilai tersebut juga merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara maju rakyat berbudaya.

“Keunikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia merupakan antara daya tarikan utama kepada para pelancong untuk mengunjungi negara kita. Justeru, wajarlah adat dan budaya setiap kaum ini dilestarikan menerusi usaha pendidikan, pendokumentasian dan pameran sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Muzium Malaysia pada hari ini,” jelas Datuk Hajah Saraya Arbi.

Sewaktu majlis perasmian tersebut, beberapa program menarik turut berlangsung. Antaranya termasuklah persembahan kebudayaan zapin raja sehari, bengkel kenduri kahwin seperti memasak nasi appolo, tekatan benang emas, jom berinai serta demonstrasi membuat bunga manggar, bunga telur dan bunga rampai.

Sepanjang program dan pameran ini berlangsung, pelbagai pertandingan seperti pertandingan gubahan sirih junjung, pertandingan marhaban raja sehari, pertandingan kugiran raja sehari dan lain-lain turut dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia. Ayuh semua, mari kita berkunjung ke Muzium Negara untuk bersama-sama mengimbau kembali kemeriahan kenduri-kendara negara kita pada suatu masa dahulu.

Majlis Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara yang berlangsung semalam boleh ditonton rakamannya menerusi laman media sosial rasmi Facebook Jabatan Muzium Malaysia https://www.facebook.com/nationalmuseumkl/videos/836813574132136.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.