Oleh Izzat Isa
27 November 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi Pada tanggal 26 November 2022 yang lalu telah berlangsungnya sambutan Hari Mahsuri 2022 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Anytime Holidays Sdn. Bhd. Langkawi, Panorama Langkawi Sdn. Bhd, Kompleks Kraftangan Langkawi, Telaga Harbour dan Sri Kenayan Sdn. Bhd.

Wan Aishah Wan Nawawi yang merupakan keturunan ketujuh Mahsuri bersama-sama para peserta pertandingan pakaian klasik di SkyCab Langkawi.

Sambutan ini diadakan di lokasi dan waktu yang berbeza di sekitar Pulau Langkawi, iaitu di SkyCab Langkawi (bermula sekitar jam 9 pagi), Kompleks Kraf Langkawi (bermula sekitar jam 2 petang) dan Kota Mahsuri (bermula sekitar jam 4 petang).

Antara aktiviti menarik yang diadakan di SkyCab Langkawi termasuklah Machincang Fun Run, pertandingan pakaian klasik bertemakan pakaian Mahsuri dan Wan Derus, pameran serta jualan produk kraf tangan tempatan. Di Kompleks Kraf Langkawi pula diadakan pertandingan congkak, aktiviti mencanting batik dan demonstrasi menghasilkan kuih-muih traditional Melayu. Akhir sekali turut diadakan persembahan teater Mahsuri, persembahan muzik serunai kanak-kanak, demonstrasi menghasilkan kuih-muih traditional Melayu serta permainan sepak raga tuju dengan pelbagai hadiah menarik disediakan.

Pementasan teater Mahsuri.

Di samping itu, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran insan yang terkenal dengan ikon Mahsuri, iaitu Wan Aishah Wan Nawawi. Beliau merupakan waris keturunan ketujuh Mahsuri yang kini menetap di Phuket, Thailand. Rombongan Wan Aishah ke Langkawi diiringi oleh pasukan konvoi luncur jet air dari Satun, Thailand yang telah tiba pada 25 November 2022.

Mahsuri merupakan seorang wanita yang pernah menetap di Pulau Langkawi dan telah dijatuhi hukuman mati kerana fitnah. Kisahnya telah menjadi sebuah legenda bukan sahaja di Pulau Langkawi, malahan terkenal di seluruh Malaysia dan di selatan Thailand. Hingga kini, hubungan Wan Aishah dengan Pulau Langkawi masih terjalin dengan baik dan mesra.

Pertandingan sepak raga tuju di Kota Mahsuri.

Para penduduk Langkawi dan pelancong tempatan tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Wan Aishah dan keluarganya di setiap lokasi program. Hasrat pihak penganjur untuk mengetengahkan program seumpama ini di Pulau Langkawi disambut baik oleh pelbagai pihak dan semoga program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan kepelbagaian aktiviti yang lebih meluas. Program ini merupakan sambutan tahun kedua yang diadakan pada setiap hari Sabtu minggu ketiga bulan November.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.