Oleh Mubarak Ismail
28 November 2022, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labu – Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar telah berlangsung dengan jayanya semalam. Majlis istiadat kerjan ini dianjurkan oleh Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau, Labu, Negeri Sembilan dan berlangsung pada 27 November 2022 (Ahad), pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang di Balai raya Kampung Pulau, Labu, Negeri Sembilan.

Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu, YM Dato’ Haji Ismail Haji Abdul Samad.

Tujuan majlis istiadat kerjan ini diadakan adalah untuk memasyhurkan, mengisytiharkan dan menabalkan Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu, iaitu Yang Mulia (YM) Dato’ Haji Ismail Haji Abdul Samad berdasarkan adat Perpatih yang penuh dengan istiadat.

Majlis istiadat kerjan ini bermula dengan upacara “Berlagir Limau” di rumah ibu soko. Kemudian Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu diarak dari rumah ibu soko menuju ke tempat pengisytiharan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan istiadat pengisytiharan oleh ibu soko, penyerahan sirih dan keris pusaka, pengucupan keris pusaka oleh Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu sebagai lambang menerima pelantikan dan diakhiri dengan lafaz ikrar taat setia oleh ibu soko.

Perasmian dan penutupan Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar ini disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Ismail Ahmad, Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Negeri Sembilan.

YB Dato’ Haji Ismail Ahmad, Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Negeri Sembilan sedang menyampaikan ucapan.

Menurut YB Dato’ Haji Ismail Ahmad, menerusi pengamalan warisan, adat dan budaya yang konsisten, masyarakat yang mengamalkan adat Perpatih akan dihormati dan dikenang oleh orang lain apabila mempraktikkan warisan, adat dan budaya tersebut dalam kehidupan seharian. Namun jika anak bangsa tempatan tidak berasa bangga, malu dan tidak berusaha untuk memartabatkan dan mempertahankan salasilah keturunan, budaya dan tradisi adat yang diwarisi daripada nenek moyang, maka orang lain akan memandang rendah serta tidak akan menghormati sesuatu suku atau kaum tersebut kerana tiada jati diri yang sejati.

“Saya menyeru kepada semua buapak dan luak yang hadir supaya kita bersama-sama berkumpul dan berbincang tentang cara dan kaedah yang terbaik untuk mengekalkan, memperkasakan dan menambah baik warisan, budaya dan adat kita ini supaya tidak hilang ditelan arus perubahan zaman,” ujar YB Dato’ Haji Ismail Ahmad.

Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu, YM Dato’ Haji Ismail Haji Abdul Samad mengucup keris pusaka sebagai lambang menerima pelantikan.

Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar ini turut diserikan dengan ceramah adat yang bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Institusi Adat oleh Daulat Yang di-Pertuan (DYDP) Yamtuan Naning, Tuanku Dr. Shafary Haji Othman, persembahan silat, pameran pelbagai jenis keris dan tanjak serta penyampaian cenderamata.

Turut hadir memeriahkan program ialah Dato Lembaga, Yang Mulia (YM) Dato’ Muda Labu (Bergajah Tunggal), Tuan Haji Kamaruddin Haji Mohd Awal; YM Dato’ Andulika Mandalika, Zainol Ariffin Ibrahim; Ibu Soko Tanah Datar Sorong Baleh, Puan Asnah Selatin; Ibu Soko Tanah Datar Tanjung Keling, Puan Hajah Fauziah Mohd Ali; Ibu Soko Tanah Datar Gunung Pasir, Puan Hajah Amnah Ismail; YM Kodim Perut Tanjong Keling, Tuan Haji Ahmad Islamiddin; YM Kodim Perut Sorong Baleh, Tuan Haji Harifin Haji Omar; YM Kodim Gunung Pasir, Tuan Haji Alwi Ismail serta YM Dato Penghulu Mukim Labu, Tuan Haji Mohd Faudzi Mohd Isa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.