Oleh Avatar photo Mubarak Ismail
15 Disember 2022, 18:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi Malaysia, artis kontemporari terkemuka, para pendidik, pakar warisan serta kuratorial telah berkumpul bagi menyaksikan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas yang diadakan petang tadi bertempat di Hotel Element Kuala Lumpur.

Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas ini merupakan komponen yang telah lama dilaksanakan dalam program tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Usaha Tegas dan diadakan pada setiap tahun bagi menjemput bakat-bakat muda daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia untuk menghantar karya seni mereka merentasi lima kategori merangkumi lukisan minyak dan akrilik, media campuran, seni cetak serta lukisan arang, pensel, dakwat dan cat air mengikut tema yang telah ditetapkan berkaitan dengan warisan budaya.

Pertandingan edisi yang ke-20 ini dengan tema “Warisan Budaya Malaysia Tidak Ketara” telah berjaya menarik sebanyak 235 penyertaan daripada kalangan pelajar meliputi 30 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas mula ditubuhkan pada tahun 2001 sejajar dengan kepercayaan organisasi kami terhadap peranan penting seni dan kepelbagaian warisan budaya kita sebagai masyarakat majmuk. Pertandingan ini telah menjadi platform tahunan yang diraikan untuk menggalakkan, mengiktiraf dan mempromosikan bakat artis-artis muda Malaysia yang bercita-cita tinggi selain mewujudkan repositori penting karya seni kontemporari yang mencerminkan warisan budaya Malaysia yang unik, kaya dan dinamik melalui kaca mata mereka,” ujar Encik Shaharul Rezza Hassan, Pengarah UTSB Management Sdn. Bhd. sewaktu menyampaikan ucapan perasmian pada majlis penyampaian hadiah tersebut.

Antara pemenang Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas pada tahun ini.

Barisan panel hakim Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas pada tahun ini diketuai oleh seniman seni cetak, Encik Juhari Said; Ketua Seni Halus Institut Seni Malaysia, Cik Bibi Chew; ahli pemuliharaan bangunan warisan berpusat di Pulau Pinang, Ar. Parama Nathan dan kurator kanan Balai Seni Lukis Negara, Encik Syahrul Niza.

“Dalam seni, perkara yang sangat penting ialah idea dan emosi. Itulah yang kami cari. Peserta yang menang pada tahun ini menunjukkan kefahaman tentang warisan tidak ketara dan tidak material bahawa warisan bukan tentang sesuatu yang anda boleh sentuh, rasa atau beli, sebaliknya sesuatu yang kita warisi daripada keluarga, sejarah dan boleh memajukan diri kita ke hadapan,” kata Encik Juhari Said.

“Ramai generasi muda tidak melihat kepentingan warisan dan mereka lebih cenderung kepada subkultur. Walau bagaimanapun, seseorang itu perlu berkembang dengan mengetahui latar belakang, akar dan didikan mereka. Masyarakat memainkan peranan penting melalui institusi pendidikan dalam mendedahkan generasi muda kepada warisan mereka dengan memberikan pengetahuan dan bimbingan. Justeru, kami berharap Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas menjadi satu-satunya pertandingan yang menitikberatkan tema ini dapat meneruskan usaha baik mereka bekerjasama dengan sektor pendidikan,” tambah Cik Bibi Chew dalam ucapannya.

Menurut Ar. Parama Nathan pula, seni adalah jiwa budaya dan tamadun kita yang tidak boleh dipisahkan. Namun pada masa kini, terdapat percanggahan antara seni dengan cara hidup masyarakat. Pertandingan seperti ini berupaya membantu mengembalikan nilai seni ke dalam kehidupan seharian dengan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan seni yang pada masa dahulu merupakan sebahagian daripada gaya hidup tradisional masyarakat di Malaysia.

Antara hasil lukisan akhir para finalis Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas tahun ini.

Encik Syahrul Niza turut menyatakan bahawa pertandingan seni seperti yang dianjurkan oleh Usaha Tegas ini memainkan peranan penting dalam mencabar para pelajar seni Malaysia untuk mengasah kemahiran yang akan membantu mereka maju ke peringkat profesional. Dengan berbuat demikian, mereka juga memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan seni dalam Malaysia.

Pada tahun ini, hadiah tempat pertama dalam kategori Cat Minyak dan Akrilik dianugerahkan kepada karya bertajuk Dulang Opah oleh Nurain Fatini Abdul Jalil dari UITM; Alternative Performer oleh Lye Heng Jing dari Akademi ATEC (New School of Media Design) bagi kategori Media Campuran, Majlis Khatam Quran Nostalgia oleh Norfatihah Yusof dari Universiti Sains Malaysia bagi kategori Seni Cetakan, Penunggu oleh Wan Atiqa Ramli dari UiTM bagi kategori Lukisan Arang/Pensil/Dakwat serta Pusaka oleh Kua Wei Lun dari The One Academy KL bagi kategori Cat Air. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8000. Pemenang tempat kedua, ketiga dan sagu hati masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3000, RM2000 dan RM500.

Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas yang dianjurkan pada setiap tahun sejak tahun 2001 kekal sebagai salah satu pertandingan yang paling lama di negara ini. Penyertaan pertandingan ini terbuka kepada para pelajar institusi pengajian tinggi demi memupuk dan menyelami warisan budaya Malaysia yang kaya. Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas pada tahun ini berjaya menerima sebanyak 235 penyertaan daripada 32 institusi, merangkumi lima kategori yang dipertandingkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas, sila layari: www.instagram.com/utheritageartcompetition/ atau linktr.ee/utheritage.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.