Oleh Lutfi Zahid
21 Disember 2022, 20:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Perlis berpotensi untuk berkembang pesat pada peringkat yang lebih tinggi dan meluas dalam sektor pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi. Aktiviti dan program berbentuk promosi pelancongan yang kreatif dan mampu menarik perhatian ramai perlu dijalankan secara konsisten sepanjang masa bagi meningkatkan lagi usaha penambahbaikan prasarana sokongan.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, selepas berkenan berangkat meninjau satu lagi lokasi penginapan pelancongan menarik terbaharu di Perlis, iaitu The Wheel Estate Campsite, yang terletak di Lot 3862, Lorong 7(B) Belukar Lenga, Chuping. Lokasi tersebut mula beroperasi sempena program “Kayuhan MAIPs Peduli” baru-baru ini.

The Wheel Estate Campsite yang terletak 13 kilometer dari sempadan Thailand melalui Padang Besar yang diusahakan oleh Jasmine Say dan H.B. Chew. Pusat penginapan ini mempunyai konsep yang menarik ala-ala tapak perkhemahan bertemakan angkasa lepas dan planet, dan merupakan yang pertama sedemikian rupa di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis (kanan) berkenan melawat pusat penginapan pelancongan terbaharu di Perlis, The Wheel Estate Campsite.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar perkembangan dan kepesatan arus teknologi perlu dimanfaatkan sebaiknya melalui pelbagai kaedah, seperti mewujudkan portal, laman web, media sosial dalam pelbagai jenis medium aplikasi, jalinan hubungan kerjasama dengan Key Opinion Leaders (KOL) serta sokongan pempengaruh media sosial bagi menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Perlis, sekali gus dalam merancakkan sektor pembangunan pelancongan di negeri ini.

“Syarikat dan individu dalam sektor swasta amat penting untuk membentuk kerjasama rentas sempadan antara negeri dan negara bagi mewujudkan pelbagai pakej pelancongan yang berimpak dan memberangsangkan,” tambah Tuanku Raja Muda.

The Wheel Estate Campsite menawarkan penginapan berkonsepkan angkasa lepas.

The Wheel Estate Campsite menawarkan pelbagai jenis penginapan, antaranya termasuklah 6 Metre Dome Tents, 4 Metre Dome Tents, Diamond Wooden Tents, ‘A’ Wooden Houses, tapak untuk sewaan campervans dan juga tapak perkhemahan. Pusat penginapan ini turut menawarkan pelbagai aktiviti, seperti memanah, memancing, berbasikal dan golf, dengan caj yang berpatutan. Manakala aktiviti trampolin, foosball, dat dan mini biliard adalah percuma dalam tempoh permulaan pembukaan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.