Oleh Izzat Isa
23 Disember 2022, 21:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pada tanggal 22 Disember 2022 telah diadakan bicara Pengkisahan Sejarah Langkawi di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Langkawi, Kedah. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.

Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan tentang kepentingan penduduk Langkawi mempelajari dan mengetahui sejarah sendiri dan begitu juga kepada para penggiat industri pelancongan di Langkawi, terutamanya para pemandu pelancong yang boleh menyampaikan dan menyebarkan maklumat berkaitan sejarah Langkawi secara holistik kepada para pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Dalam ucapan Dr. Ibrahim Bakar selaku Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), beliau memulakan bicara menerusi pengkisahan bertajuk Kronologi Sejarah Langkawi. Menurut beliau, sejarah Langkawi sudah semestinya tidak dapat dipisahkan dengan sejarah negeri Kedah. Oleh hal yang demikian, teks Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah perlu dijadikan antara bahan rujukan utama. Secara sepintas lalu, beliau turut membawa para hadirin menelusuri sejarah Langkawi sejak era praIslam, zaman pemerintahan kerajaan Islam hinggalah abad ke-20 berdasarkan pembuktian mengikut catatan rekod sejarah, penemuan artifak serta mata wang.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali sedang berbicara tentang kepahlawan Wan Muhammad Ali.

Pengarang Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali pula menyampaikan bicara bertajuk Tokoh Pahlawan Hebat Langkawi. Tajuk tersebut membuka ruang untuk beliau mengetengahkan tokoh pahlawan penting dari Langkawi sewaktu meletusnya Perang Musuh Bisik yang berlangsung pada tahun 1821 hingga tahun 1876, iaitu Wan Muhammad Ali.

Wan Muhammad Ali dengan gelaran Datuk Kerma Jaya merupakan Laksamana Angkatan Tentera Laut Kedah dan telah berperang dengan hebat menentang Siam dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah turut menyatakan hasrat dan impiannya agar sebuah muzium berkaitan sejarah Langkawi dapat dibina bagi memberikan kemudahan kepada para pelancong untuk mengetahui, mengikuti dan memahami sejarah awal pulau pelancongan tersebut.

Persembahan daripada kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni (KABUS).

Seterusnya, Naib Presiden Kesatuan Antarabangsa Sains Prasejarah dan Protosejarah untuk Asia Tenggara, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin membawa para hadirin menelusuri sejarah awal Langkawi, iaitu sejak era prasejarah. Beliau membicarakan tajuk Geologi Langkawi dengan mengemukakan bukti-bukti penemuan fosil dan bentuk batuan yang ada di Langkawi berdasarkan era-era tertentu. Kajiannya amat menyeluruh dan turut memfokuskan kepada beberapa lokasi tumpuan di Langkawi seperti Gua Cherita, Pulau Anak Tikus, Gunung Machinchang dan Bukit Tanjung Mali sejak era tahun 1980-an yang semuanya kini merupakan geotapak Langkawi UNESCO Global Geopark.

Di samping itu, ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Encik Muhammad Izzat Md Isa turut membicarakan topik yang bertajuk Jikey – Kesenian Termasyhur di Langkawi. Jikey merupakan teater tradisional Melayu yang wujud dan berkembang di sekitar wilayah selatan Thailand dan wilayah utara Malaysia. Encik Muhammad Izzat menyatakan kepada para hadirin bahawa negeri-negeri Melayu tidak hanya terbatas hingga Perlis, sebaliknya hingga ke Ranong, yakni di perbatasan Segenting Kra.

Di Langkawi, jikey dikesan telah wujud sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan mendapat sambutan hangat pada sekitar tahun 1960-an. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan banyak kumpulan jikey pada masa itu. Kini, seni persembahan jikey masih diperjuangkan lagi kelangsungannya.

Poster bicara Pengkisahan Sejarah Langkawi.

Seramai 210 orang hadir bagi mengikuti majlis ini yang terdiri daripada golongan pentadbir, penjawat awam, peminat sejarah, pemain industri pelancongan dan pelajar. Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu tradisional oleh kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni (KABUS) dari Kota Mahsuri pada setiap sesi acara bicara. Majlis ini merupakan sebahagian daripada Program Geopark Bicara Ilmu dan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.