Oleh Abd Razak Osman
27 Disember 2022, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Langkawi – Festival Kraf Langkawi (FKL) 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia yang berlangsung di Kompleks Kraf Langkawi (KKL), Teluk Yu bermula sejak 22 Disember 2022 lalu berakhir hari ini.
FKL 2022 yang diadakan penuh bermakna selama enam hari itu berjaya mengetengahkan produk kraf usahawan, khasnya daripada negeri utara.
Menurut Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Muhamad Razib Saruddin, objektif penganjuran FKL 2022 ialah untuk mempromosikan dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat dan pelancong asing ketika berada di Pulau Langkawi. Selain itu, penganjuran FKL 2022 turut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf Malaysia, dan mempromosikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai pusat lawatan kraf setempat.
Ibu bapa yang hadir turut membantu anak-anak ketika menyertai pertandingan mewarna batik di FKL 2022.
“Seramai 45 orang usahawan kraf menyertai FKL 2022 dan diharapkan nilai jualan mencecah RM200 ribu dengan kehadiran pengunjung kira-kira 10 ribu orang.”
“FKL 2022 pada kali ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk jualan produk kraf, demostrasi kraf pembuatan batik, batik canting, batik cetakan kreatif dan pewarnaan asli, pembuatan blok batik tanah liat, batik cetakan kreatif, batik ikat dan celup, serta lain-lain hasil kempen Ini Batik Malaysia,” katanya.
Pengunjung dari luar negara berpeluang melakukan aktiviti mewarna baik di FKL 2022.
Di samping itu, pelbagai pertandingan turut diadakan, antaranya termasuklah pertandingan mewarna lukisan kanak-kanak motif batik, pertandingan perasaan fesyen kanak-kanak tema batik Malaysia, pertandingan karaoke irama Malaysia, pertandingan masakan jaguh kampung, pertandingan swafoto, kuiz eksplorasi muzium, permainan tradisional, pameran parang dan keris, serta cabutan bertuah.
“Pengunjung juga berpeluang melihat demostrasi pembuatan kuih, pameran agensi-agensi kerajaan, jualan makanan dan minuman. MOTAC dan Kraftangan Malaysia berharap penganjuran program sebegini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia membudayakan penggunaan produk kraf tempatan sebagai satu gaya hidup,” kata Muhamad Razib.
Beliau juga mahu semua usahawan tempatan terus menghasilkan produk kraf berkualiti untuk ditawarkan kepada pelancong, sama ada dari dalam dan luar negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.