Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHo Chi Minh – Tourism Malaysia meningkatkan usaha untuk mempromosikan Malaysia kepada warga Vietnam bersempena Nguyen Hu Flower Street Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam bermula dari 19 hingga 26 Januari 2023 yang lalu.
Sewaktu lapan hari festival tersebut berlangsung, pihak Tourism Malaysia mengambil kesempatan untuk menampilkan taman-taman yang ada di Malaysia sebagai satu daripada tarikan pelancongan untuk dikunjungi oleh warga Vietnam. Bunga kebangsaan Malaysia, iaitu bunga raya yang melambangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang budaya, bangsa dan agama di Malaysia telah ditonjolkan dalam hiasan di ruang pameran Malaysia sempena festival tersebut.
Sepanjang 20 tahun yang lalu, festival ini telah menjadi acara tarikan pelancongan, kebudayaan dan hiburan tahunan untuk meraikan Percutian Tet yang merupakan Tahun Baharu Lunar Tradisional Vietnam. Pada tahun ini, acara itu mengalu-alukan kehadiran 1.2 juta pengunjung termasuklah para pelancong antarabangsa dari Indonesia, Laos, Thailand, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Zainuddin Abdul Wahab berkata, pada tahun 2019 sebelum pandemik wabak COVID-19 melanda, pihaknya telah mengalu-alukan ketibaan 400 346 orang pelancong dari Vietnam. Manakala bagi tahun 2022 pula, kira-kira 173 763 orang pelancong dari Vietnam telah melawat Malaysia.
“Pada tahun ini, kami berhasrat untuk mencapai sasaran kehadiran 15.6 juta orang pelancong antarabangsa dengan jumlah RM47.6 bilion dalam resit pelancongan. Di samping itu, kami juga optimis dengan lebih daripada 234 000 orang pelancong akan hadir dari Vietnam. Kami juga berharap agar pasaran pelancongan ini akan terus memainkan peranan yang penting dalam mencapai sasaran jumlah kehadiran pelancong dari Vietnam,” ujar Dato’ Zainuddin Abdul Wahab.
Untuk makluman, Vietnam kekal sebagai satu daripada pasaran pelancongan yang penting bagi Malaysia. Dari segi ketersambungan, kini terdapat 120 penerbangan pada setiap minggu dari Vietnam ke Malaysia dengan lebih 21 000 tempat duduk menerusi perkhidmatan Malaysia Airlines, Vietnam Airlines, VietJet Air, Batik Air dan AirAsia.