13 Mei 2023, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Ikan di laut asam di darat, dalam belanga bertemu jua,” merupakan petikan lirik yang popular menggambarkan penyatuan dan pertemuan yang berbeza dalam ruang yang sama bersempena dengan Dialog Peranakan Malaysia 2023, bertempat di Balai  Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 13 Mei 2023.

Dialog Peranakan bersama-sama YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoo, Puan Marina Linda Danker dan Encik Shanmugam Raja a/l Kandasamy Raja.

Turut serta dalam Dialog Peranakan Malaysia pada kali ini merupakan tiga panel pembicara yang cukup hebat membicarakan perihal kehidupan golongan peranakan yang tidak asing di Malaysia, iaitu Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoo, Presiden Persatuan Penduduk Kampung Portugis Melaka, Puan Marina Linda Danker dan Presiden Persatuan Kebudayaan Cheti Melaka, Encik Shanmugan Raja a/l Kandasamy Raja.

Bersesuaian dengan tema dialog peranakan pada kali ini yang menyentuh tentang perpaduan bangsa, konsep Malaysia MADANI dilihat sebagai jambatan kesatuan bagi golongan peranakan di Malaysia. YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoo berkata,

Baba Nyonya merupakan satu daripada contoh paling baik yang menerapkan konsep perpaduan di Malaysia.

Tambahnya lagi,

Bagaimana kita lihat baju kebaya baru-baru ini dicalonkan oleh empat negara ASEAN ke peringkat UNESCO, begitulah fungsi Baba Nyonya untuk memperkenalkan budayanya pada masyarakat. Dalam konteks ini, kita mencari kesamaan dalam budaya dan kehidupan dan itulah definisi perpaduan yang sebenar.

Kepelbagaian kaum di Malaysia yang unik ini disatukan melalui satu jambatan, iaitu bahasa. Marina Linda Danker berkata, bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam kalangan orang Portugis. Bagi mereka, komunikasi masyarakat melalui satu bahasa ialah lambang perpaduan. Kongsinya,

Kami (orang Portugis) dididik untuk merasakan tiada perbezaan budaya, gaya hidup dan bahasa agar kesepaduan itu lebih utuh dan tidak ada jurang.

Suasana sekitar Festival Peranakan Malaysia 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Walau bagaimanapun, perpaduan ini dilihat telah diancam dengan kedatangan media sosial dalam generasi masa kini. Shanmugan Raja melihat peranan media sosial kini ada baik dan buruknya dalam menyebarluaskan budaya peranakan Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.

Bagi meraikan golongan peranakan yang bersifat minoriti ini memerlukan usaha sama semua pihak seperti yang dilakukan dalam Dialog Peranakan Malaysia 2023, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN), untuk memastikan kepelbagaian budaya dan bangsa di Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.