19 Mei 2023, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Satu pendekatan yang unik dengan menampilkan pembuatan diorama dan miniatur sebagai seni budaya untukmengenali antara satu sama dengan yang lain. Usaha ini bermula sejak tahun 2015 oleh pencinta seni budaya, Encik Foo Loke Kee, yang mempunyai minat yang mendalam dalam seni dan budaya.

Beliau mengasaskan Galeri Seni dan Budaya World Culture Organisation (WCO) yang mengumpulkan pelbagai koleksi kraf tangan diorama silang budaya yang pertama dalam negara sehingga mendapat pengiktirafan The Malaysia Book  of Records. Galeri Seni dan Budaya WCO telah disempurnakan perasmiannya dan meluncurkan buku khas yang bertajuk Malaysia: Menelusuri Keindahan Sejarah Negara oleh Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara pada 16 Mac 2023 yang lepas.

Bagi meneruskan usaha mendekatkan seni budaya ini kepada rakyat, Galeri Seni dan Budaya WCO  diberi peluang oleh Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) untuk bertindak sebagai pempamer pada Rumah Terbuka Parlimen yang berlangsung pada 6 hingga 7 Mei 2023 yang lalu di bangunan Parlimen Malaysia.

Memetik kata-kata Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim ketika Majlis Perasmian Rumah Terbuka Parlimen Malaysia, “Gerbang bangunan ini membawa pengertian bahawa hak-hak yang wujud di Parlimen adalah hak rakyat”, cukup sinonim dengan hasrat WCO untuk mempersembahan keunikan seni dan budaya melalui diorama dan miniatur.

Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Penasihat Diplomasi Galeri Seni dan Budaya WCO, menyampaikan cenderamata ukiran sobek bunga kepada Datuk Johari Abdul diiringi Datuk Nor Yahati Awang, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Encik Foo Loke Kee, Encik Mohd Amran Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Ts. Abdul Aziz How Abdullah, Perunding Eksekutif Diplomasi Budaya Galeri Seni dan Budaya WCO.

Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh pasukan WCO untuk mempamerkan hasil kreativiti artis-artis WCO yang telah menghasilkan ukiran sobek pelbagai jenis bunga, diorama miniatur yang menunjukkan suasana sambutan kemerdekaan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, suasana jualan di jalan petaling, kehidupan masyarakat di Kampung Cina, Kampung Budaya Melayu, Estet India, suasana kehidupan etnik Sarawak di Sungai Rejang dan Pasar Tamu di Kota Belud, Sabah . Selain itu, ditampilkan inovasi persembahan diorama miniatur yang digabungkan dengan elemen hologram, audio dan visual yang menjadi tarikan utama.

Reruai Galeri Seni dan Budaya WCO menjadi tumpuan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Karya dipersembahkan oleh WCO ini juga mengimbau nostalgia tahun 1970-an hingga 1990-an ketika suasana berada di pawagam dan berada di Cameron Highlands yang telah mencuit hati golongan pengunjung merasai zaman berkenaan.

Elemen silang budaya pelbagai kaum menjadi tunjang utama dalam pameran tersebut dengan mempersembahkan hasil diorama miniatur keunikan seni budaya kaum Melayu, Cina, India , Kadazan dan Bajau dan Iban. Mengenali kostum budaya utama di Malaysia juga menjadi simbolik kepada usaha meningkatkan  semangat Malaysia Madani yang menekankan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Turut mengunjungi reruai WCO adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Nor Yahati Awang.

WCO berteraskan visi untuk membina sebuah platform “Budaya Dunia” bagi mempamerkan hasil seni dan budaya dan meletakkan misi bagi mengenal pasti dan memberi motivasi kepada pencinta seni untuk mengekalkan seni warisan. WCO  memilih dua nilai sebagai tunjang utama, iaitu mempromosikan budaya Keaslian dan Keindahan. Nilai ini menjadi asas perjuangan WCO bagi terus mengangkat seni dan budaya Malaysia di arena tempatan dan antarabangsa.

WCO amat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama, antaranya teramsuklah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Negara dan juga Pusat Kebudayaan China di Malaysia. Pihak WCO sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk tampil dan bekerjasama dalam usaha ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.