23 Mei 2023, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) sekali lagi menganjurkan Borneo Native Festival (BNF) 2023 pada tahun ini bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai setelah julung-julung kali penganjurannya pada tahun lepas. BNF 2023 membawa keunikan budaya penduduk Borneo iaitu Sabah dan Sarawak ke ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.

Presiden Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi berkata festival yang berlangsung buat kali kedua ini menghimpunkan kebudayaan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak dalam pelbagai aspek termasuklah kraftangan, makanan tradisi, seni persembahan dan lain-lain lagi.

“Penganjuran BNF 2023 adalah bagi memperkenalkan budaya Borneo kepada penduduk Semenanjung serta membawa perayaan pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada warga Borneo yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi meraikannya,” katanya dalam program Apa Khabar terbitan Bernama TV.

Tambahnya, terdapat pelbagai reruai jualan kraf tangan dan makanan tradisi kedua-dua negeri tersebut yang melibatkan usahawan tempatan, seperti kek lapis, mi kolok, laksa Sarawak, ambuyat, batik linut, anyaman dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, tumpuan utama BNF 2023 pada kali ini ialah Perarakan Budaya Tradisional iaitu masyarakat peribumi dari Borneo dengan memakai pakaian tradisi masing-masing tanpa alas kaki berarak sejauh satu kilometer dari Dataran Merdeka ke Pasar Seni.

Kemeriahan BNF 2023.

Katanya, perarakan tersebut berlangsung pada pukul 4 petang hari Sabtu bersamaan 20 Mei 2023 dan mendapat kerjasama daripada kumpulan Gabungan Orang Asal Sabah dan Sarawak (GOASS).

“BNF pada kali ini juga menampilkan muka-muka baharu artis dari Sabah dan Sarawak bagi memberikan mereka ruang dan peluang menonjolkan bakat mereka kepada masyarakat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadilah Yusof turut meluangkan masa hampir 30 minit dengan mengunjungi reruai jualan serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung yang hadir semasa BNF 2023 berlangsung. BNF 2023 merupakan peluang keemasan bagi masyarakat Semenanjung untuk melihat dan mengenal budaya Borneo dengan lebih dekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.