26 Mei 2023, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Anis Che Mat: Facing The Mask di Ruang Kreatif Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang yang bermula dari 14 April hingga 14 Jun 2023 merupakan sebuah pameran solo yang mempamerkan karya-karya lakaran, lukisan, catan dan arca oleh artis muda, Anis Che Mat.

Tanpa bayaran masuk, pameran ini mempamerkan lebih 50 karya yang dihasilkan dari tahun 2016 hingga 2022. Pameran ini memaparkan pengkajian Anis terhadap siri lukisan dan catan figura yang mula dihasilkan sejak tujuh tahun lalu.  Apabila COVID-19 melanda seluruh dunia, Anis mula memberikan tumpuan pada siri-siri arca topeng hingga kini. Beliau yang meminati seni penghasilan topeng mendapat ilham berkarya ketika wabak pandemik maut itu melanda negara dan menyebabkan rakyat terpaksa berkurung di rumah.

Dalam erti kata lain, Facing The Mask atau di sebalik topeng ialah refleksi Anis terhadap cabaran kehidupan manusia semasa COVID-19 menerusi penghasilan topeng-topeng muka.

Sebahagian karya Anis Che Mat yang turut menghiasi pameran Anis Che Mat: Facing The Mask.

Mengenai persoalan menggunakan facing the mask dan bukan facing the virus, Anis menjawab ketika kita memakai topeng atau pelitup separuh muka dan melihat cermin, kita melihat wajah kita tersembunyi di sebaliknya.

“Baik atau buruk wajah kita, wajah tersebut terlindung dan tidak dapat dilihat oleh orang lain. Jika buruk, kita tentu dapat menyembunyikannya di sebalik topeng. Jika elok pula, niat untuk mempamerkannya terhalang oleh topeng,” kata Anis yang turut melihat pemakaian pelitup muka kini menjadi “topeng” wajib untuk setiap individu mendepani penularan COVID-19.

“Gabungan fesyen dan situasi ketika ini memberi inspirasi kepada saya untuk berkarya yang melihat perspektif orang ramai mengenai penggunaan topeng yang berbeza daripada menggunakan pelitup muka bagi melindungi keselamatan kesihatan peribadi,” tambah Anis, yang juga salah seorang peserta Bakat Muda Sezaman 21.

Untuk Bakat Muda Sezaman kali ini, beliau mempertaruh idea eksperimen sosial mengenai COVID-19, malah mengingatkan kita mengenai sejarah pandemik yang telah meragut banyak nyawa. Seperti dimaklumi topeng adalah satu objek “ikonik” yang menjadi keperluan ketika ini tanpa wujud persempadanan bangsa, pangkat, pendapatan dan kepercayaan,” jelas Anis lagi.

Call The Doctor III (paling kiri), yang diperbuat daripada kulit dan cat minyak atas aluminium pada tahun 2020 berharga RM3,000 turut dipamerkan.

Antara karya Anis yang dipamerkan termasuklah Plague-Punk I yang dihasilkan pada tahun 2017 diperbuat daripada kulit, besi keluli dan tread berukuran 30 sentimeter X 45 sentimeter X 20 sentimeter, berharga RM1,700, Slip-Punk I (2020/kulit, besi keluli & renda/30 cm X 45 cm X 20 cm/RM2,200), Call The Doctor II (2020/pensil warna atas kertas kraf/60 cm X 90 cm/RM2,800), Persona I, II & III (2021/arang & pastel lembut atas kertas/RM2,500 sekeping), dan Joker I (2022/kulit, besi keluli & tread/30 cm X 45 cm X 20 cm/RM2,500).

Anis turut mempamerkan karya yang paling disukainya dan paling sukar dihasilkan, yang mengambil masa dua bulan – paling lama, iaitu Black Death II pada tahun 2021 daripada kulit dan cat minyak atas aluminium, berukuran 180 sentimeter X 120 sentimeter berharga RM8,000.

Anis Che Mat di samping karya yang paling disukainya, Black Death II.

Perasmian pameran Anis Che Mat: Facing The Mask telah disempurnakan oleh pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Dr. Fuad Arif pada 21 Mei lalu.

Dr. Fuad Arif menyampaikan ucapan perasmian pameran Anis Che Mat: Facing The Mask.

Turut hadir ialah kurator/kuratis pameran, Faizal Sidik, ibu bapa Anis dari Kelantan, para tetamu jemputan dan peminat seni tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.