26 Mei 2023, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perasmian Pejabat China Publishing Group di Malaysia telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di aras 5, Wisma DBP pada pagi tadi.

YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang bin Sariyan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pejabat China Publishing Group di Malaysia.

Dalam ucapan perasmian, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan menyatakan harapan beliau agar beberapa projek kerjasama antara DBP, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan China Publishing Group yang merangkumi bidang penerbitan, penterjemahan dan kebudayaan akan dapat direalisasikan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Saya berharap Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dapat mengusahakan terjemahan karya agung dan bahan ilmu dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin,” kata YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.

Tambah YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, China Publishing Group sebagai penerbit besar yang saban tahun menerbitkan hampir 2000 judul buku dapat menjadi sumber bahan, seperti karya agung klasik China, serta bahan ilmu dalam pelbagai bidang untuk diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama antara DBP, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan China Publishing Group. Kerjasama ini menjadi tanda hubungan persahabatan antara Malaysia dengan China, khususnya dalam bidang ilmu, sastera dan penerbitan.

Dr. Wu Wenxue, Pengurus Besar China Publishing Group.

Menurut Dr. Wu Wenxue, Pengurus Besar China Publishing menerusi ucapannya, kerjasama yang diadakan tersebut dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan China serta meningkatkan usaha dalam konteks pelesenan penerbitan, kegiatan penterjemahan dan penjenamaan produk penerbitan.

YBhg. Dato’ Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia melalui kata alu-aluanya juga turut berharap agar kerjasama penerbitan tersebut akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia dan China. Jelas YBhg. Dato’ Goh, dengan adanya pejabat China Publishing Group, pelbagai kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan juga dapat diadakan.

YBhg. Dato’ Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Puan Mariati Josepha Mustafa, Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.