Oleh Abd Razak Osman
27 Mei 2023, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Sebanyak 17 rakan strategik daripada pelbagai agensi tampil memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah yang bertujuan membentuk sebuah negara pelbagai kaum yang harmoni, sejahtera dan stabil di Central Square, Sungai Petani, Kedah, semalam.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Tuan Haji Ahmad Puat Haji Junus (dua dari kiri hadapan) melihat persembahan di atas pentas.

Antara rakan strategik yang menyertai program tersebut termasuklah Pejabat Daerah Kuala Muda, Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah/Perlis, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Jabatan Penjara Sungai Petani, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Kuala Muda.

Tidak ketinggalan, Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Pertubahan Keselamatan Sosial, Kolej Komuniti Baling, Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Kedah turut bersama-sama dalam program berkenaan.

Pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah bergambar kenang-kenangan di kawasan pameran.

“Melalui pelbagai pameran yang dipamerkan, banyak ilmu dan maklumat terkini berkaitan dengan perpaduan dapat diperoleh oleh penduduk yang berkunjung ke program tersebut,” kata Pengarah JPNIN Negeri Kedah, Tuan Haji Ahmad Puat Haji Junus.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa program Bicara Perpaduan menerusi slot “Perpaduan dalam Kepelbagaian” adalah antara program yang terbaik berikutan maklumat yang disampaikan oleh barisan penceramah dapat dijadikan  panduan untuk mengeratkan hubungan baik antara rakan lain yang terdiri daripada pelbagai kaum itu.

Pengisian dalam program Bicara Perpaduan berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Encik Mohammad Yaakob Yusra, Penolong Pengarah (Sektor Integriti) Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Vijay Ganesan Subramaniam, Timbalan Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Masyarakat Siam Utara (Kharawat), Ai Lun, manakala Encik Azwan Jamaluddin bertindak sebagai moderator dalam program tersebut.

Selain pameran daripada pelbagai agensi, terdapat juga acara menarik lain yang diadakan seperti Pertandingan Cita Rasa Menu Kami dan Penyampaian Bakul Rahmah Rukun Tetangga (RT) Cares.

Pembantu Pustakawan, Puan Razlina Ramli (kiri) menyampaikan hadiah buku kepada Puan Hazwani Nasuha Md. Sobri setelah berjaya dalam acara kuiz dalam program bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Negeri Kedah.

Acara kemuncak program tersebut ialah penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Busana Perpaduan 2023 yang dimenangi oleh Puan Jamilah Abu Hassan sebagai juara pertandingan, Puan Zurina Saad memenangi tempat kedua, manakala Puan Nur Anis Johari memenangi tempat ketiga.

Barisan pemenang Pertandingan Akhir Busana Perpaduan 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.