Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPelukis wanita terkenal tanah air Fatimah Chik telah kembali ke Rahmatullah pada 26 Mei 2023 di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Fatimah Chik yang meninggal dunia pada usia 75 tahun terlebih dahulu dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.
Perjalanan pelukis wanita hebat ini bermula pada tahun 1968 ketika dia menyertai sekolah seni lukis dan seni reka di Institut Teknologi MARA (ITM) dalam jurusan tekstil. Setelah tamat pengajian Fatimah mula bekerja sebagai pereka di beberapa buah tempat dan kemudiannya menjadi pelukis sepenuh masa.
Karya Fatimah Chik mempamerkan pengaruh kuat seni dan budaya tradisional Melayu dengan motif dan corak diilhamkan dari flora yang mengangkat tekstil dan seni Melayu tradisional. Tema seperti persoalan identiti, warisan, agama dan isu sosial mencerminkan pengalaman dan pemerhatiannya sendiri terhadap masyarakat lalu diterjemahkan dalam bentuk yang kreatif. Karyanya juga turut disulam dengan banyak elemen kontemporari dan ini mencipta satu gabungan unik estetika tradisional serta moden.
Penggunaan warna-warna terang serta stroke yang ekspresif menambahkan lagi elemen bertenaga dan dinamisme pada karya seninya. Teknik catan batik dengan corak geometrik dengan komposisi menegak dan melintang yang begitu sebati serta sinonim dengan dirinya ialah manifestasi identitinya.
Fatimah menghasilkan karya bermula dengan dia mengecap kain dengan lilin panas dan mencelupkannya dalam pewarna berulang kali sehingga mencapai kesan yang diinginkan. Sentuhan kreatifnya bukanlah satu proses yang biasa, tetapi menggabungkan teknik batik tradisional dengan kaedah shibori; satu teknik pewarnaan seni Jepun kuno. Fatimah menggelarkan teknik ini sebagai kaedah “shiboritik”.
Fatimah juga pernah menyatakan bahawa dalam proses berkarya seseorang itu perlu menggambarkannya dahulu dalam mindanya. ‘Visualisasikan dalam minda kerana produk akhir dalam fikiran kita bukan di atas kertas,’ ujarnya. Fatimah juga tidak merancang apa-apa. Semuanya ada dalam fikiran. Jika dia berkeinginan sesuatu rekaan, maka terhasillah bentuk tersebut.
Isteri kepada pelukis Redza Piyadasa ini turut menyatakan bahawa pada tahun 1974 ketika mengikuti suaminya ke Hawaii, Fatimah mula menemui dirinya sendiri serta akar budayanya. Perkenalan dengan seniman serta penyelidik di Hawaii membuatkan Fatimah menyedari dirinya tergolong dalam kumpulan budaya yang lebih unik daripada apa yang diketahui. Perkara ini merujuk kepada kepulauan Nusantara dan Malaysia adalah antara pulau-pulaunya.
Di Hawaii juga Fatimah mula membuat kajian berkaitan dengan tekstil dan tradisi motif Asia Tenggara yang kemudiannya menjadi subjek utama dalam karyanya. Motif-motif ini ialah tanda dan simbol serta mempunyai makna falsafah yang simbolik berkaitan dunia yang kita diami.
Sekembalinya Fatimah ke Malaysia pada tahun 1977, dia mula memindahkan rekaannya kepada blok batik. Fatimah sering bereksperimen dengan pengubahsuaian reka bentuk yang mempunyai makna tersendiri. Tahun 80-an juga merupakan satu titik tolak yang penting buat kariernya sebagai seorang pelukis. Ketika itu berlaku satu era transisi penggunaan batik sebagai kraf kepada batik sebagai seni halus.
Dalam berkarya juga Fatimah telah berjaya menghasilkan pelbagai siri lukisan dan salah satunya ialah siri Sejadah yang dihasilkan pada tahun 2002. Siri lukisan ini merupakan salah satu daripada karyanya yang begitu kuat dengan pengaruh budaya Melayu dan agama Islam. Lukisan-lukisan ini dihasilkan berdasarkan motif bunga kenanga, pucuk rebung dan bentuk geometrik yang dihasilkan secara berulang-ulang dengan komposisi melintang dan menegak serta bersifat dekoratif tetapi masih kental dengan elemen tradisional Melayu.
Gabungan warna panas dan sejuk pula memberi kesan tersendiri pada khalayak yang melihatnya yang membangkitkan satu semangat yang begitu spritual kerana olahan warna tersebut benar-benar menyentuh emosi selain memberi rasa keselesaan. Sungguhpun demikian, yang lebih penting dalam siri Sejadah ini ialah maksud tersirat yang ingin ditonjolkan iaitu simbolik kepada syahadah yang dilafazkan iaitu “lailahaillallah”. Siri ini juga mengingatkan kita kepada rukun Islam yang kedua iaitu solat.
Semoga perjuangan seni Fatimah Chik menjadi pembakar semangat buat pengkarya tanah air untuk terus giat berkarya. Kegigihan Allahyarhamah juga harus menjadi contoh buat semua terutamanya seniman wanita agar terus cekal mengangkat martabat wanita agar sebaris dengan seniman lelaki. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atasnya.
Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).