11 Jun 2023, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Tema yang sangat relevan dengan senario pada masa ini yang dipaparkan dalam teater Puteri Daun Emas, cukup rencahnya untuk diangkat sebagai sebuah teater bangsawan.

Puteri Daun Emas mengisahkan tentang fitnah yang berlaku di dalam istana dan perebutan takhta kerajaan Wangsa Ghaznawiyah sehingga Puteri Daun Emas dititahkan dibuang ke hutan belantara, dan diselamatkan oleh inang istana.

Puteri Daun Emas merupakan karya terbaharu Mann Che Kah yang dipentaskan di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada 9 dan 10 Jun 2023.

Setelah dewasa, Puteri Daun Emas kembali semula ke istana dan membongkar semua rahsia kejahatan bonda tirinya yang menjadi dalang kehancuran kerajaan Wangsa Ghaznawiyah.

Hubungan golongan aristokrat dengan rakyat jelata jelas menjadi keutamaan dalam pementasan teater ini.

Penyumbang utama dalam teater bangsawan ini ialah elemen extra-turn, iaitu slot selingan antara babak cerita dalam bangsawan yang mencerminkan identiti teater bangsawan.

Penggunaan dialog bangsawan yang menggunakan bahasa istana dengan beberapa kosa kata sastera Melayu klasik oleh barisan pelakon anak-anak Johor yang berbakat besar dalam seni teater menjadikan teater bangsawan ini sangat “hidup” dan mengagumkan.

Menurut pengarahnya, Mann Che Kah, teater bangsawan di negeri Johor akan dijadikan produk seni dan sastera kebangsaan bagi menggalakkan pembangunan budaya setempat dan menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

Mann Che Kah merupakan aktivis teater negeri Johor yang disegani dan telah meraih banyak kejayaan dalam pementasan teater tempatan dan antarabangsa.

Puteri Daun Emas merupakan karya terbaharu beliau yang dipentaskan di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada 9 dan 10 Jun 2023, anjuran Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Johor serta sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS).

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah YAM Tunku Fatimah Tunku Osman, YB Profesor Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.