16 Jun 2023, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak usia 11 tahun lagi Azrin Abu Seman atau lebih mesra dikenali sebagai Aren, mula didedahkan dengan dunia seni catan atau lukisan. Ayah beliau, Abu Seman yang merupakan seorang pegawai perikanan yang gemar melukis pelbagai subjek dalam karya lukisannya. Bak kata orang, di mana tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi, begitulah Aren dan ayahnya.

“Ayah saya gemar melukis pemandangan, flora dan fauna. Beliau sangat menggalakkan kami empat orang adik-beradik untuk menerokai hobi melukis. Namun akhirnya, hanya saya yang mewarisi bakat beliau dan serius dengan minat tersebut.

Azrin gemar bermain dengan tema dan subjek alam dalam setiap karya lukisannya seperti lukisan bertajuk Terbang Pulang ini.

“Sebenarnya sejak dari sekolah rendah lagi saya mempunyai minat terhadap apa sahaja aktiviti melibatkan seni seperti lakonan, tarian, nyanyian, kesusasteraan dan pastinya melukis. Minat melukislah yang paling dekat dengan jiwa saya.

“Karya pertama yang saya lukis ialah tumbuh-tumbuhan. Melihat hasilnya, saya tidak berpaling lagi untuk serius melukis. Medium lukisan saya tidak sahaja terhad kepada kertas lukisan, namun pokok-pokok tanaman ibu saya yang mempunyai saiz daun yang besar menjadi tempat saya berkarya sehinggakan ibu saya memarahi saya. Namun kejadian seumpama itu tidak menghentikan minat saya menerokai dunia lukisan dan seni,” jelas Aren yang kerap kali menjadikan dinding rumahnya sebagai tempat berkarya.

Karya Azrin bertajuk Pesta Botani menggunakan media campuran di atas kanvas yang menampilkan konsep seni pop dengan subjek flora.

Menurut Aren lagi, pada era tahun 90-an, pendedahan mengenai peluang pendidikan dan pekerjaan melibatkan kerjaya “pelukis” agak terhad, justeru menyebabkan beliau beralih arah dengan menyambung pengajian dalam bidang seni bina.

“Saya menyambung pengajian peringkat Sijil Seni Bina di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Alor Star, Kedah selama dua tahun. Selepas tamat pengajian, saya bekerja hampir setahun sebagai juru teknik bangunan di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya, Selangor.

Say No To War menyampaikan mesej untuk semua penduduk bumi supaya menghentikan peperangan dan pertelagahan demi keamanan sejagat.

“Walaupun telah bekerja, saya masih menyimpan keinginan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina. Alhamdulillah permohonan saya menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (UiTM) cawangan Seri Iskandar, Perak diterima. Selama hampir empat tahun belajar di UiTM Seri Iskandar, saya didedahkan dengan pelbagai subjek seperti Asas Seni Bina, Lukisan Teknikal dan Sejarah Seni Bina.

“Selepas berjaya menggenggam Diploma Seni Bina, saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Seni Bina Perancangan Perumahan dan Bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang,” terang Aren lagi.

Senja Nan Dua yang diinspirasikan daripada warna matahari terbenam.

Oleh sebab pembelajaran asas seni bina Aren telah kukuh, pembelajaran beliau di peringkat ijazah ini membolehkannya mengaplikasikan ilmu dan pengalaman belajar dari peringkat sijil, diploma hinggalah bekerja sebagai seorang juru teknik bangunan.

“Saya juga didedahkan aspek-aspek perancangan, pengurusan dan pentadbiran dalam industri seni bina. Walaupun memberi fokus pembelajaran dalam aspek seni bina, saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan aspek “seni dan melukis” secara total. Minat dan kemahiran seni lukis saya berkembang dan tumbuh selari dengan kemajuan pencapaian akademik saya.

“Sepanjang di USM, saya kerap menyertai Bengkel Seni Bina anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM). Bengkel yang diadakan setiap tahun ini memerlukan saya memerah idea dan kreativiti serta menzahirkan bakat seni saya dalam setiap projek seni bina berdasarkan tema yang disyaratkan oleh pihak penganjur.

“Bengkel Seni Bina ini disertai oleh semua pelajar dan pensyarah universiti di Malaysia yang menawarkan kursus dan program Seni Bina. Selain pameran, terdapat pelbagai pengisian yang dibuat oleh pihak penganjur antaranya pertandingan projek seni bina terbaik,” ujar Aren.

Bergelar Pensyarah Seni Bina

Aren yang kini merupakan seorang pensyarah seni bina di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) masih lagi meneruskan minat beliau melukis khususnya menghasilkan lukisan abstrak.

“Oleh sebab saya belajar dan bekerja dalam bidang seni bina, seni yang saya terjemahkan lebih kepada konsep teknikal dan berdasarkan keperluan projek. Contohnya jika saya terlibat dalam projek pembinaan taman perumahan, jadi saya perlu mengkaji keperluan struktur binaan dan bahan serta kos pembinaan rumah terbabit. Perkara tersebut lebih serius berbanding dengan melukis lukisan abstrak atau projek lukisan secara adhoc seperti melukis mural, dekorasi atau seni hias dalaman bangunan-rumah.

“Namun dengan melukis lukisan abstrak khususnya, saya lebih bebas berkarya dan memilih warna, medium dan saiz kanvas. Biasanya saya berkarya apabila mempunyai masa terluang khususnya hujung minggu. Saya jadikan melukis ini sebagai hobi sampingan yang sebenarnya turut menjana pendapatan sampingan. Kini saya telah berjaya menjual hampir 20 unit lukisan di atas kanvas dalam pelbagai saiz.

“Saya serius melukis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun 2019. Oleh sebab saya mengajar secara online, masa saya di rumah lebih banyak dan bagi mengisi waktu yang terluang itu, saya mula melukis di atas kanvas dengan menggunakan medium akrilik. Akrilik tidak sahaja mudah dibancuh dan digunakan berbanding dengan cat minyak selain mempunyai karaktor yang tersendiri. Ini menyebabkan saya amat menyukai medium akrilik.

Lukisan Azrin bertajuk Dekonstruktivisme ini memanipulasi garisan di atas kanvas dengan menghasilkan ilusi berstruktur yang menggabungkan kreativiti seni lukis dan seni bina.

“Pada peringkat awal, sekadar untuk mengisi masa lapang, namun apabila saya berkongsi setiap karya lukisan saya di media sosial peribadi, ramai kenalan alam maya yang menyatakan minat untuk membelinya,” terang Aren yang menjual lukisannya dengan harga bermula daripada RM1,500, bergantung kepada saiz, medium dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesebuah lukisan tersebut.

Menurut Aren lagi, dalam bidang seni bina, beliau menjadikan Frank Gary (Kanada) dan Zaha Hadid (Iraq-British) sebagai idola, manakala dalam bidang seni lukis Aren meminati sentuhan Jackson Pollock (Amerika Syarikat), Gerhard Richter (Jerman) dan Le Corbusier (Perancis).

Pencapaian

Di samping fokus dalam kerjaya beliau sebagai pensyarah, beliau turut berkesempatan menyertai pelbagai pertandingan melibatkan seni bina dan lukisan. Antara pencapaian beliau ialah pemenang tempat kedua Pertandingan Menghias Balkoni, KL Park Festival yang bertemakan “Pop Art & Botanical Garden, 2023” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya mengambil masa hampir lima hari untuk menyiapkan lakaran sebagai syarat utama untuk dinilai oleh pihak juri. Daripada 30 penyertaan peringkat penilaian, sebanyak 20 penyertaan terbaik disenarai pendek termasuk penyertaan saya. Alhamdullilah, saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut,” jelas Aren yang merupakan antara pelukis amatur yang pernah menyertai Pameran Seni PANDORA anjuran Art Market Malaysia 2022. Selain itu, Aren juga pernah memenangi tempat ketiga, Pertandingan Menghias Kek 2019 anjuran DBKL.

 Perancangan Masa Depan

Aren menyimpan impian untuk membuka sebuah akademi seni yang mempunyai komponen studio, bilik pameran, bilik mengajar dan lokasi penganjuran pelbagai acara seni. Hal ini penting untuk direalisasikan agar kemahiran dan pengalaman beliau dalam bidang seni bina dan seni lukis dapat dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada pelbagai pihak dan individu yang meminati bidang seni. Selain itu, Aren juga mahu mencipta nama sebagai pelukis abstrak yang berwibawa dan mampu menembusi industri seni kontemporari di luar negara.

Hutan Hujan sentuhan Azrin menampilkan subjek kehijauan hutan di Malaysia yang wajar dipelihara agar menjadi warisan untuk generasi akan datang.

“Saya juga mahu mendidik dan membetulkan tanggapan masyarakat bahawa bidang seni lukis mampu menjadi kerjaya yang stabil dan menjamin masa depan. Jika di luar negara, pelukis terkenal mampu menjual karya mereka jutaan ringgit, kenapa kita sebagai penggiat seni di Malaysia tidak mampu berbuat demikian.

“Kemajuan teknologi komunikasi khususnya media sosial (Facebook, Instagram dan TikTok), menjadi pelantar promosi dan pemasaran yang sangat efisien. Jadi saya berharap, para pelukis amatur seperti saya dapat menggunakan kemudahan tersebut dengan berhemah demi kemajuan industri seni (lukisan) di negara ini,” jelas Aren mengakhiri temu ramah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.