Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagaimana bunyinya apabila penyanyi terkenal tanah air yang sinonim dengan irama balada dan rock menyanyikan irama keroncong? Hal ini dapat diketahui apabila menonton Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya (IB) pada 5 dan 6 Ogos 2023.
Keroncong merupakan antara genre muzik yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat kita. Oleh sebab menganggap keroncong ada keunikan dan keistimewaan tersendiri, pihak Irama Studios menganjurkan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia (KAIKM) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn. Bhd.
Lebih mengujakan persembahan para penyanyi dalam konsert berkenaan akan diiringi pemuzik yang cukup prolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu. Orkestra tersebut merupakan kumpulan pemuzik yang ditubuhkan pada tahun 2004 seiring dengan penubuhan Irama Studios sendiri.
Haji Mahzan Manan selaku pengasas Irama Studios yang juga penganjur konsert berkenaan menegaskan yang paling utama pihaknya mahu irama keroncong terus bersemarak dan perkasa pada era sekarang kerana keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.
“Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia juga tidak dikhususkan untuk peminat tegar sahaja. Sebagai penganjur, kami mahu menarik minat penggemar muzik baharu untuk ikut mengenali seterusnya menikmati irama keroncong yang tidak wajar dilupakan,” ujar Mahzan yang juga komposer veteran.
Beliau seterusnya berharap KAIKM ini akan membuka mata dan mengimbau kembali lagu-lagu lama yang nostalgik menerusi lantunan vokal penyanyi hebat tanah air. Antara penyanyi veteran terkenal dan berpengalaman luas yang akan menjayakan KAIKM ialah Dato’ Yusni Hamid yang cukup ikonik dengan irama keroncong.
Yusni bersama-sama Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato’ Awie dan Datin Alyah yang bukan sinonim dengan irama keroncong. Mereka turut disokong oleh pelapis generasi baharu, iaitu Rasyidah Abd. Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (juara Bintang Nostalgia 2013) dan Jamilah Abu Bakar (Puteri Keroncong).
Selain itu, kemunculan Han Byul Juara Big Stage 2019 juga akan memberi kelainan dalam konsert ini kerana penyanyi kelahiran Korea tersebut akan turut berdendang irama keroncong yang merupakan pengalaman yang cukup baharu bagi dirinya.
“Para peminat mungkin sudah biasa mendengar Dato’ Yusni Hamid melantunkan irama keroncong. Begitu juga dengan Dato’ Khadijah Ibrahim yang bersuara merdu ketika menyanyikan lagu-lagu malar segarnya,” tambah Mahzan.
Datin Alyah pula, kata beliau lagi, mempunyai kredibiliti tersendiri dalam menyampaikan apa juga genre lagu kerana kehebatan bermain dengan emosi.
“Tetapi, memang jarang kita melihat Dato’ Awie menyanyi lagu keroncong kerana beliau sangat kental dengan lagu rock. Jadi, bayangkan bagaimana Dato’ Awie menyanyi keroncong?” ujar Mahzan lagi.
Sementara itu, Alyah menganggap kesempatan yang diberikan oleh Irama Studios untuk terbabit dalam KAIKM ialah satu penghormatan kepadanya.
“Sebagai penyanyi generasi pada masa ini, dapat berkongsi panggung dengan dua orang biduanita tersohor, iaitu Dato’ Yusni Hamid dan Dato’ Khadijah Ibrahim, yang amat saya segani memang mengujakan,” kata Alyah yang berharap pembabitannya dalam konsert berkenaan akan menambahkan ilmu buat diri sendiri dan menjadi kenangan manis kepada semua.
Selain Mahzan dan Alyah, turut hadir termasuklah Yusni, Han, dan Rizal serta Nazrul Asraff Mahzan (anak Mahzan sendiri) selaku penganjur bersama.
Sementara itu, Awie ketika dihubungi mengaku teruja untuk mendendangkan irama keroncong yang disifatkan mencabar kewibawaannya sebagai penyanyi solo.
“Sejujurnya saya sendiri teruja untuk mendengar suara sendiri menyanyikan lagu keroncong. Irama ini tidak mudah bagi saya, apatah lagi ia bukan ‘makanan’ saya. Tetapi, sebagai pelaku seni yang menghargai irama keroncong dan membesar bersama-samanya saya harap mampu memberikan variasi baharu dalam penyampaian keroncong iaitu keroncong cara Awie,” katanya.
Persoalan jenis keroncong Malaysia yang akan ditampilkan dan lagu-lagu yang bakal didendangkan – sama ada hanya ciptaan Mahzan atau lagu popular yang dikeroncongkan, atau lagu-lagu keroncong popular seperti Keroncong Kuala Lumpur, Alunan Biola, Uda dan Dara dan Keroncong untuk Ana turut berkumandang, akan terjawab dengan menonton konsert ini.
Antara melodi lagu popular ciptaan Mahzan termasuklah Sepetang di Pinggir Bukit (Dato’ Sudirman Haji Arshad), Cinta Abadi (Dato’ DJ Dave), Bunga Mawar (Gaya Zakri), dan Kerana Janji (Noor Kumalasari).