17 Jun 2023, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 dilaksanakan bermula dari 9 Jun hingga 16 Jun 2023 yang lalu merupakan manifestasi usaha untuk memelihara dan melestarikan bahan arkib negara sebagai khazanah negara dalam memupuk integrasi nasional.

Sambutan minggu tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual (PPPAV), Arkib Negara Malaysia (ANM).

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang semasa berucap merasmikan sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023.

Beliau berkata Malaysia memiliki kemajmukan dan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi yang menjadi nadi kekuatan negara untuk mengukuhkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat.

“Penguasaan pengetahuan khususnya dalam bidang sejarah merupakan perkara asas bagi seseorang warganegara memahami dan menghayati sulur perpaduan negara supaya mempunyai semangat jati diri untuk membina sebuah negara yang bersatu dan kuat,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 semalam.

Tambah beliau, ANM sebagai penyimpan khazanah warisan negara melalui bahan arkibnya seperti dokumen, gambar dan sebagainya telah menjadi sumber rujukan yang boleh disebarluaskan untuk menghasilkan generasi berilmu dan kaya jiwa sejarahnya.

Katanya, peranan arkib adalah sebagai wahana perpaduan yang amat signifikan dalam menyemarakkan semangat rasa cinta kepada negara bangsa sesuai dengan aspirasi dasar perpaduan negara untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau kemudiannya menyempurnakan gimik pelancaran majlis sambutan tersebut dengan memukul gong sebanyak tiga kali.

Menteri Perpaduan Negara menyempurnakan gimik pelancaran sambutan dengan memukul gong sebanyak tiga kali.

Sempena majlis tersebut turut diadakan program simbolik penyerahan koleksi persendirian tokoh dan pertubuhan kepada ANM iaitu koleksi YBhg. Tan Sri Zaman Khan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Dato’ Haron Din, Persatuan Gabungan Komputer Nasional Malaysia (MNCC) dan Persatuan Soka Gokkai Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.