17 Jun 2023, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sembilan tahun lalu, ketika belum lagi bergelar penyanyi nombor satu Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berpeluang beraksi sepentas dengan pemuzik terkenal antarabangsa, David Foster bagi menjayakan sebuah konsert.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau kemudian berdoa agar kesempatan itu bukan yang terakhir. Ternyata doanya dimakbulkan Allah SWT apabila sekali lagi berpeluang menjayakan konsert Foster, bukan sahaja berlangsung di Malaysia, malah juga di Indonesia pada bulan Ogos 2023. Lebih menarik, Foster sendiri yang mengundang beliau.

Konsert eksklusif itu dinamakan Hitman David Foster and Friends Asia 2023. Di Malaysia, konsert tersebut akan berlangsung pada 7 Ogos 2023, sementara di Indonesia sehari kemudian.

Dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent. Di Kuala Lumpur, konsert mega tersebut dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan dan antarabangsa apabila bakal berlangsung buat pertama kalinya di Mega Star Arena.

Walaupun merendah diri dengan menganggap dirinya belum terkenal pada peringkat antarabangsa, tetapi Dato’ Sri Siti Nurhaliza tetap layak berdasarkan pengalaman 27 tahun bergiat dalam bidang seni suara tanah air dan memenangi lebih 300 anugerah.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersyukur apabila sekali lagi berpeluang menjayakan konsert David Foster, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia pada bulan Ogos depan.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza mengatakan sedemikian semasa sidang media konsert Hitman David Foster and Friends 2023 pada 7 Jun 2023 yang lalu. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali.

Beliau berharap dapat benar-benar bersedia dari segi vokal dan mental untuk memberikan persembahan terbaik serta habis-habisan meskipun hanya mengalunkan dua buah lagu.

“Saya juga amat gembira untuk para peminat tempatan dan antarabangsa kerana di samping berhibur, mereka turut menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia menerusi PRIHATIN,” tambah beliau yang menganggap dirinya mewakili Malaysia dan berterima kasih kepada penganjur konsert.

“Konsert ini juga membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan secara tidak langsung bagi membantu mereka yang memerlukan di luar sana,” tegas Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang merahsiakan lagu ciptaan Foster, dan lagu popular beliau ciptaan komposer tempatan yang bakal dinyanyikan nanti.

Konsert ini dijangka menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan dan antarabangsa apabila menggamit memori gandingan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan David Foster pada tahun 2014.

Penubuhan PRIHATIN sebagai sebuah organisasi kebajikan bertujuan menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan tiada kemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik melibatkan tiga teras utama iaitu pendidikan, kepimpinan dan keusahawanan.

Selain itu, PRIHATIN turut menjadi penggerak utama membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program bercorak kemasyarakatan di seluruh negara dalam menyalurkan bantuan dengan telus dan sistematik.

Konsert Hitman David Foster and Friends 2023 ini juga diadakan bersempena dengan hasrat menghargai para peminat Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sama ada tempatan mahupun antarabangsa hasil gabungan serta kolaborasi penyanyi terkenal tempatan dan pemuzik terkenal antarabangsa.

Selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, konsert ini turut menampilkan penyanyi terkenal era 1990-an, Michael Bolton, dan Peabo Byson serta Katherine Hope McPhee dan Loren Allred. Mereka akan menemani Foster di sepanjang konsert berskala besar ini.

Foster, 73 tahun, yang dilahirkan di British Columbia, Kanada merupakan pencipta melodi, penyusun, eksekutif muzik, penerbit album dan telah memenangi 16 anugerah daripada 47 pencalonan Anugerah Ammy.

Merangkumi genre klasik, pop, rock, gospel, R&B dan jazz, antara melodi ciptaannya yang popular termasuklah lagu Hard to Say I’m Sorry nyanyian Chicago, Goodbye (Air Supply), In the Stone (Earth, Wind & Fire), The Best of Me (Olivia Newton-John-Foster), I Have Nothing (Whitney Houston), The Colour of My Love (Celine Deon), dan When a Man Loves a Woman (Bolton).

Konsert ini dijangka menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan dan antarabangsa apabila menggamit memori gandingan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Foster pada tahun 2014. Konsert ini bakal mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa dan memperkuat hubungan Malaysia dengan negara luar, selain memperkasakan pendidikan menerusi PRIHATIN yang menganjurkan konsert amal antarabangsa berskala besar untuk mengumpulkan dana kebajikan.

Sementara itu, Dato’ Mohd. Aizuddin menjelaskan penganjuran konsert Hitman David Foster and Friends Asia 2023 dapat memberikan faedah kepada anak-anak Malaysia  yang kurang kemampuan bagi meringankan beban kos sara hidup di kampus.

Dato’ Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali menjelaskan konsert Hitman David Foster and Friends Asia 2023 bermanfaat kepada anak-anak Malaysia Madani di menara gading yang kurang kemampuan meringankan bebas kos sara hidup di kampus.

“PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya yang teruja kerana berpeluang menganjurkan konsert ini yang bersifat komersial dan turut menekankan konsep “berhibur sambil beramal”.

Dato’ Mohd. Aizuddin turut bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk bersama-sama mencari dana menerusi jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan bagi tujuan kebajikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.