Oleh Raduan Norudin
21 Jun 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertama kali melihat persembahan Man Kayan sekitar tahun 2013 di Kuantan, saya mendapati beliau ada sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang dimiliki oleh beliau itu amat luar biasa. Tatkala tidak ada siapa anak muda hendak mengambil genre lagu rakyat sebagai bahan untuk diperjuangkan, beliau memulakan langkah dengan menubuhkan kumpulan ANAK KAYAN.

Lagu rakyat Melayu ialah kepunyaan bangsa Melayu dan bukan berteraskan populariti atau komersil, sebaliknya ialah khazanah turun-temurun warisan seniman intelektual Melayu. Seniman mencipta seni lagu dan seni lirik yang memberi makna besar dalam kehidupan harian dari zaman dahulu kala.

Man Kayan merupakan penerima geran Adiguru fasa kedua dalam Gendang Melayu. 

Man Kayan, atau nama sebenar Noor Azman Norawi, sangat teruja apabila membicarakan perihal genre lagu rakyat dan seni pergendangan. Dia tidak boleh terlalu cerewet, tetapi pada masa yang sama tidak boleh terlalu menurut permintaan yang bukan-bukan seperti menyentuh soal keaslian seni gendang dalam lagu rakyat.

Man Kayan menjelaskan bahawa asal usul seni gendang Melayu dimainkan dengan mengikut naluri dan merupakan luahan dari hati yang diterjemahkan dalam pukulan gendang. Permainan gendang tidak sama dengan permainan gitar yang mempunyai kod tertentu supaya selari dengan permainan instrumental yang lain.

“Gendang ada pelbagai jenis. Tapi kami hanya fokus kepada dua jenis gendang iaitu gendang rebana dan gendang acara silat. Gendang silat ini dimainkan juga di acara tarian. Oleh itu, kami cuba pecahkan pemikiran ini. Macam busana, orang selalu memikirkan ia bermaksud hanya untuk bersilat. Sedangkan, orang berkahwin pun pakai busana. Itu tujuan penubuhan kumpulan kami. Mengembangkan kembali fungsi gendang secara lebih luas.” jelasnya.

Man Kayan aktif dalam seni muzik tradisional Pahang.

Man Kayan percaya bahawa segala usahanya pada hari ini merupakan sesuatu yang akan dituai oleh generasi akan datang. Ibarat menanam pokok kelapa, perlukan waktu untuk tumbuh dan berbuah. Nikmatnya hanya  dirasai dalam jangka waktu yang panjang, bukan serta merta.

Kelab Serindit Mati Tersepit

Pada tahun 2018, Man Kayan membuka Kelab Serindit Mati Tersepit yang membawa manifestasi bahawa beliau dan rakan-rakan hanyalah insan kerdil dalam dunia seni. Kalau mati tersepit sekalipun tidak  ada orang peduli.  Itu lebih senang bagi Man Kayan, mereka lebih mudah beraktiviti kerana tidak ada siapa akan mengongkong mereka berkreativiti. Man Kayan tidak suka apabila ada pihak mempergunakan insan seni untuk apa-apa kepentingan peribadi mereka.

Tapak tanah ibu mertua dijadikan lokasi kegiatan seni Man Kayan dan rakan-rakan. Secara berdikit-dikit Man Kayan dibantu oleh rakan-rakan membinanya dengan sabar. Aktiviti seni di kelab berjalan hampir setiap hari. Di sini disuburkan pelbagai genre seni, seperti teater, lagu rakyat dan puisi.

Sesuai dengan konsep marhaen, Man Kayan membebaskan sesiapa sahaja untuk hadir sama ada untuk berkarya dan bermain, atau dapat sahaja hadir untuk melihat suasana seni landskapnya atau menonton permainan lagu rakyat yang dimainkan. Hal ini akan membantu melebarkan kefahaman masyarakat bahawa seni daripada rakyat untuk rakyat itu masih relevan dan harus mudah diakses. Bukan seperti persembahan di pentas-pentas besar yang tiketnya tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.

Penulis mengunjungi Kelab Serindit Mati Tersepit di Kuantan. Selain mengusahakan studio latihan muzik, warung makan, Man Kayan juga menjahit busana tradisional di bengkel yang dibangunkan bersebelahan warungnya.

Oleh sebab semakin lama semakin ramai yang berkunjung ke Kelab Serindit Mati Tersepit, Man Kayan dan rakan-rakan membuka warung makan di suatu sudut bagi memudahkan orang ramai bersantai makan minum dan berasa selesa untuk hadir. Paling menarik, apabila kami dihidangkan makanan rakyat marhain lempeng berkuah kari. Saya memilih minuman kopi “O” panas.

Pada malam itu dalam hujan renyai-renyai Man Kayan mendendangkan lima buah lagu rakyat khas untuk kami. Lirik lagunya penuh dengan pesanan dan pengajaran. Bagi pembaca yang ingin datang ke Kelab Serindit Mati Tersepit, lokasinya dapat ditemui berdasarkan alamat ini; Lorong Sg Isap 13, Kampung Permatang Badak, 25150 Kuantan, Pahang.

Sumbangan dan pencapaian Man Kayan

2010-Naib Juara Cipta Lagu Pahang

2012-Tokoh Penglipur Lara dalam Persembahan anjuran Jabatan Warisan Negara

2012-Mengadakan persembahan mewakili Malaysia di South East Asean Night Universiti Exeter, London

2013-Johan Pertandingan Gendang Silat Pahang

2013-Mengadakan persembahan di Rain Forest Music Festival, Sarawak

2013-Tempat ke-4 Festival Pergendangan dan Perkusi Peringkat Kebangsaan di Royal Belum, Perak

2016-Mengadakan persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur

2018-Menubuhkan Kelab Serindit Mati Tersepit dengan mengumpulkan anak-anak seni sekitar  Kuantan dan digabungkan dalam satu persembahan.

2019-Dilantik sebagai Tourism Partner oleh World Homestay Organisation

2019-Mengadakan Persembahan Lagu Rakyat Pahang sempena Festival Setanggi Antarabangsa di Kuantan, Pahang.

2022-Menerima anugerah Adiguru Cendana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.