Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBanda Hilir – Dalam usaha merekodkan perjalanan kisah hidup tokoh pemimpin di Melaka, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerbitkan buku Dari Bukit Katil ke Istana Melaka: Biografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.
Buku yang diusahakan oleh sembilan orang penulis dengan ketebalan 236 halaman ini dicetuskan oleh pihak PERZIM kepada TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali pada tahun 2021, iaitu setahun sejurus pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Majlis pelancaran buku disempurnakan oleh TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali di Hotel Casa Del Rio, di sini, dan turut dihadiri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Haji Ibrahim bin Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Tuan Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan serta Datuk Akramuddin Abd Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM.
Terdahulu, telah diadakan Sesi Bicara Buku oleh Profesor Madya Dr. Arba’iyah Mohd Noor yang merupakan Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya merangkap Ketua Editor buku Dari Bukit Katil ke Istana Melaka: Biografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam.
Menurut Dr. Arba’iyah, buku ini bermula dengan kisah kehidupan awal Tun Seri Setia Mohd Ali, keluarga, pendidikan serta perkahwinan sehinggalah kepada pembabitan beliau dalam persatuan belia dan badan sukarela.
“Buku ini juga memaparkan tentang bakat kepimpinan yang ada pada diri TYT Tun Seri Setia Mohd Ali dalam politik serta diberi kepercayaan dan amanah dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Kemas, dan beberapa jawatan lain hingga dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-9 pada 2 Disember 1999.”
“Buku ini sangat komprehensif kerana garis masa dari awal kehidupan TYT Tun Seri Setia Mohd Ali hingga kini turut dapat dirasai oleh siapa yang membacanya. Jika dilihat dari segi bahasa, buku ini sangat mudah difahami. Sudah tentu pembaca dapat menghayati dan menjiwai setiap watak beliau dalam garis masa tersebut. Malah setiap kali membaca buku ini, kita akan mendapat pengajaran baru. Antaranya dapat memberi kesan kepada kita dalam menanamkan sifat kesabaran, ketekunan, kecekalan serta sifat tidak pernah gentar dan patah semangat.”
“Buku ini juga telah menjawab beberapa persoalan yang pernah hadir dalam benak fikiran kita selama ini iaitu siapakah sebenarnya TYT Tun Mohd Ali bin Rustam? Bagaimana TYT Tun Seri Setia Mohd Ali boleh dilantik dalam mengemudi pertubuhan belia dan UMNO, Bagaimana TYT Tun Seri Setia berada dalam arena politik dan pentadbiran di Melaka sehingga akhirnya dilantik sebagai TYT Negeri Melaka?”
“Jika anda ada persolan tersebut, maka buku ini adalah untuk anda. Semua ini wajar diketengahkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat selain memberi inspirasi berguna kepada golongan belia dan anak muda dalam meneruskan proses kehidupan di dunia ini,” katanya.