Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Duan Wu yang berlangsung di Fairy Le Phenomenal, Kangar anjuran Bahagian Wanita, Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis pada malam semalam. Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusinya, Dr. Tan Fee Yean.
Menurut Dr. Tan, Perayaan Duan Wu merupakan antara perayaan tradisional yang penting disambut oleh masyarakat Tionghua dan Asia Timur. Perayaan tersebut dirai pada Hari kelima, bulan kelima dalam kalendar Lunar Cina, maka perayaan ini adalah lebih biasa dikenali sebagai Duan Wu Jie atau Shuang Wu Jie.
Secara tradisinya, perayaan ini akan disambut dengan menganyam, memasak, dan memakan “Zongzi” serta dirai dengan aktiviti perlumbaan perahu naga.
Dr. Tan dalam ucapannya juga berkongsi bahawa “Zongzi” merupakan sejenis makanan yang menggunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid. “Zongzi” juga boleh disediakan dengan pelbagai bentuk dan jenis.
“Perlumbaan perahu naga merupakan satu daripada aktiviti pada perayaan ini yang melambangkan kekuatan, keteguhan dan kesatuan. Pertandingan ini juga telah menjadi salah satu aktiviti sukan air di peringkat antarabangsa yang disertai oleh pelbagai bangsa dan kaum”, tambah beliau lagi.
Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda berdua turut berkenan menyertai aktiviti menganyam Zongzi dengan bimbingan Dr. Tan dan menjadi pengadil untuk pertandingan meniup perahu naga yang disertai oleh para tetamu yang hadir.