24 Jun 2023, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67 dimeriahkan dengan acara Malam Sekalung Seni DBP 2023 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada malam semalam.

Pemenang kategori Lagu Irama Retro, Mohamad Aieriz Makhtar (dua dari kanan). Abd. Kadir Mohd. Ayub (berbaju biru) dan Ja’afar Hamdan (tiga dari kiri).

Malam Sekalung Seni yang kali terakhir diadakan pada tahun 2010 bertujuan untuk menghargai serta mencungkil bakat seni selain mengeratkan hubungan dalam kalangan karyawan DBP. Acara ini juga bermatlamat untuk membina dan menggilap bakat terpendam terutamanya dalam kalangan karyawan muda dan baharu demi melahirkan generasi seni pelapis yang akan mewarnai dunia seni DBP dan juga tanah air pada masa hadapan. Seniman hebat seperti Sabri Yunus dan Imuda merupakan antara bintang seni tanah air yang pernah menyertai acara Malam Sekalung Seni DBP.

Kumpulan Sri Nopeng dinobatkan sebagai juara bagi kategori Teater Muzikal 10 minit dengan persembahan mereka yang berjudul Bahasa Jiwa Bangsa.

Para karyawan yang menyertai Malam Sekalung Seni DBP 2023 rata-ratanya menyatakan bahawa mereka bukan sekadar mahu mengejar habuan kemenangan, tetapi yang lebih penting ialah kepuasan beraksi mempersembahkan bakat seni yang “membuak-buak” dalam diri masing-masing.

Lebih menarik lagi, acara ini turut melibatkan karyawan dari DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak. Sebanyak 16 orang karyawan bersaing dalam kategori “Lagu Irama Retro” dan lima kumpulan teater pula bersaing dalam kategori “Teater Muzikal 10 minit”.

Nazrul J.Izzat Yaackob dan Amirah Basyirah dari kumpulan Multikreatif muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Mohamad Aieriz Makhtar dari Bahagian Keselamatan yang membawakan lagu Cek Mek Molek dendangan asal Datuk M. Daud Kilau muncul sebagai juara bagi kategori “Lagu Irama Retro”, manakala naib juara dimenangi oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub dari Bahagian Majalah yang membawakan lagu Jatuh Cinta dendangan Broery Marantika. Ja’afar Hamdan dari DBP Cawangan Sarawak yang membawakan lagu Tiara pula menduduki tempat ketiga.

Tiga hadiah sagu hati bagi kategori yang sama diberikan kepada Norhasmanalinda binti Mustapa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Mohamad Faizal bin Jamil dari DBP Cawangan Sarawak dan Idzham Mispan dari Bahagian Multimedia.

Kumpulan Sri Nopeng dari DBP Cawangan Sarawak pulang dengan bergaya apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori “Teater Muzikal 10 minit” dengan persembahan mereka yang berjudul Bahasa Jiwa Bangsa. Kumpulan Multikreatif dari Bahagian Multimedia memenangi tempat kedua dengan persembahan mereka yang berjudul Sazali Si Tanggang. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Teja Kasturi dari Bahagian Pentadbiran Am dengan persembahan yang berjudul Pendekar Bujang Lapok.

Kumpulan Teja Kasturi dari Bahagian Pentadbiran Am dengan persembahan yang berjudul Pendekar Bujang Lapok.

Dua hadiah sagu hati bagi kategori yang sama diberikan kepada kumpulan Akrab dari Bahagian Keselamatan dengan persembahan yang berjudul Tiga Abdul dan kepada kumpulan Bayu dari DBP Cawangan Sabah dengan persembahan yang berjudul Kisah dalam Kisah.

Sementara itu, Muhamad Hilmi Isa yang mengarahkan teater Bahasa Jiwa Bangsa dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik bagi kategori “Teater Muzikal 10 minit”. Nazrul J.Izzat Yaackob dan Amirah Basyirah dari kumpulan Multikreatif muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Karyawan Malam Sekalung Seni DBP 2023 bergambar bersama-sama dengan tetamu kehormat.

Turut hadir memeriahkan acara Malam Sekalung Seni DBP 2023 ialah YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP dan YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.