25 Jun 2023, 02:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kumpulan ACS Production telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Teater Pendek 10 Minit yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Kumpulan ACS Production yang mempertaruhkan teater bertajuk Bahasa Terindah dengan skrip yang ditulis oleh Nur Fieanna Natasha Rafizi (Natasha Rafizi) dan Muhammad Fattah Fawzy A. Rahman (Fattah Fawzy) serta diarahkan oleh Nur Azizi Nazril Abdul Aziz (Azizi Nazril) berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM4000 berserta dengan trofi.

Kumpulan ACS Production dinobatkan sebagai juara Pertandingan Teater Pendek 10 Minit yang mempertaruhkan teater yang bertajuk Bahasa Terindah.

Naib juara pula dimenangi oleh Kumpulan N-Progonist dengan teaternya yang bertajuk Bukan Melukut di Tepi Gantang hasil penulisan skrip oleh Roziah Adama dan diarahkan oleh Shariful Akma Abdullah (K’Ma Abdullah). Dengan kedudukan di tempat kedua, mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3000 berserta dengan trofi.

Kumpulan N-Progonist sebagai naib juara Pertandingan Teater Pendek 10 Minit.

Seterusnya, tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Sedar Ruang yang mempertandingkan teaternya yang bertajuk Teori Sesat Profesor Linguistik, karya Syahrul Fithri Musa (Syahrul Musa) dan diarahkan oleh Mohd Kipli Abdul Rahman (Kipli Rahman) memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM2000 berserta dengan trofi.

Kumpulan Sedar Ruang mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Teater Pendek 10 Minit.

Tidak ketinggalan, Kumpulan Unity Production, Kumpulan Bapak-bapak Production dan Kumpulan Teaterraum menerima sagu hati dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 berserta dengan trofi.

Kumpulan Unity Production (atas), Kumpulan Bapak-bapak Production (bawah sebelah kiri) dan Kumpulan Teaterraum (bawah sebelah kanan) membawa pulang hadiah sagu hati wang tunai berjumlah RM1500 berserta dengan trofi.         

Pertandingan teater yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” ini dinilai oleh tiga orang juri yang berpengalaman dalam bidang teater, iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Dr. Rosdeen Suboh; Penasihat Badan Budaya DBP, Encik A. Wahab Hamzah; dan penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) pada tahun 2001, Encik Zakaria Ariffin.

Juri Pertandingan Teater Pendek 10 Minit, iaitu Dr. Rosdeen Suboh (kiri), Encik A. Wahab Hamzah (tengah) dan Encik Zakaria Ariffin (kanan).

Sementara itu, Hadiah Pengarah Terbaik bagi Pertandingan Teater Pendek 10 Minit tersebut dimenangi oleh Shariful Akma Abdullah, manakala Hadiah Pelakon Terbaik pertandingan berkenaan menjadi milik Mohd Fahmi Mohd Zamari yang masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM700 berserta dengan trofi.

Pengarah Terbaik Pertandingan Teater Pendek 10 Minit, Shariful Akma Abdullah.
Pelakon Terbaik Pertandingan Teater Pendek 10 Minit, Mohd Fahmi Mohd Zamari.

Pertandingan Teater Pendek 10 Minit merupakan satu daripada acara yang diadakan di DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP.

Pertandingan teater yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan skrip yang digunakan ketika berteater belum diterbitkan atau dipentaskan oleh mana-mana pihak sebelum keputusan diumumkan.

Sekitar persembahan teater yang dipersembahkan oleh enam kumpulan yang bertanding dalam Pertandingan Teater Pendek 10 Minit.

Daripada 63 naskhah skrip teater yang dihantar kepada penganjur, hanya enam naskhah skrip teater terbaik yang berjaya melepasi saringan oleh panel penilai pertandingan tersebut.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, ketua-ketua bahagian DBP dan tetamu undangan.

Kredit gambar: Khairul Azhar Baharuddin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.