26 Jun 2023, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Laut Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia telah menganjurkan Karnival dan Pameran Hari Pelaut yang juga dikenali sebagai Seafarer Carnival 2023.  Acara ini julung kali diadakan di Marina, Putrajaya pada 23 hingga 24 Jun 2023.

Karnival yang dirasmikan oleh YAB Anthony Loke Siew Foo, Menteri Pengangkutan Malaysia ini menyaksikan pelancaran Day of the Seafarer (DOTS), yang akan berlangsung sehingga 20 Jun 2023 dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun oleh penganjur termasuk pertandingan video pelaut.

Selain itu, karnival ini juga menyaksikan pelancaran kad pengenalan digital pelaut atau Digital Blockchain Seafarer ID, penganugerahan sijil kompetensi pelaut, Anugerah Khas NUSPM, (TBC), MASA Seafarers’ Welfare Aid (TBC), IKMAL Seafarers’ Education Aid (TBC), pengumuman pemenang acara videografi DOTS, Anugerah Keberanian Pelaut, dan Anugerah Ikon Pelaut Kebangsaan DOTS ’23.

Suasana Majlis Perasmian Karnival dan Pameran Hari Pelaut 2023 di Marina, Putrajaya.

Karnival bertemakan maritim ini disertai oleh pelbagai agensi yang menyajikan maklumat berkenaan pengurusan maritim, keselamatan, teknologi maritim, sukan air, peluang pendidikan maritim dan pelbagai demonstrasi kepada pengunjung.

Antara agensi yang terlibat termasuklah agensi dari sektor kerajaan seperti Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pengangkutan Malaysia, Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, pengendali pelabuhan seperti Penang Port dan pelbagai agensi swasta yang merupakan pemain utama dalam sektor maritim di Malaysia.

Karnival ini juga memberi fokus kepada aspek pendidikan dalam bidang maritim dengan kehadiran pelbagai institusi pendidikan awam mahupun swasta yang menyediakan maklumat berkaitan peluang pendidikan dalam bidang maritim seperti Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti dan Netherlands Maritime University College.

Karnival Pelaut dan Pameran Hari Pelaut 2023 merupakan suatu peluang yang sangat berharga untuk orang awam mendekati, memahami serta menerokai peluang bidang pendidikan, pekerjaan maritim, serta peluang berkolaborasi dalam aspek inovasi dan perniagaan maritim.

Lokasi Marina Putrajaya yang strategik dengan keindahan tasik Putrajaya sebagai tapak pameran dapat memberikan gambaran lebih dekat kepada pengunjung tentang industri maritim di Malaysia melalui pelbagai demonstrasi menarik.

Antara pelbagai peralatan berteknologi tinggi yang dipamerkan.

Antara demonstrasi menarik yang diadakan ialah perlumbaan bot penyelamat, tarik-tali bot, pencarian harta karun, pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi tali dan ikatan maritim serta peluang mencuba simulator mengemudi kapal.

PALAPES Tentera Laut dari UPNM antara yang turut hadir memeriahkan Karnival

Karnival ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ratusan peserta dari PALAPES Angkatan Laut Universiti Pertahanan Malaysia yang lengkap berunifom. Turut diadakan juga seminar karier maritim untuk memberi maklumat lebih lanjut mengenai laluan karier bagi mereka yang berminat menceburi bidang maritim.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.