26 Jun 2023, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Landskap Perlis merupakan anugerah yang tidak ternilai dikurniakan oleh Allah SWT. Kelebihan ini menjadikan Perlis sebuah negeri yang mempunyai tarikan semula jadinya yang tersendiri. Kelebihan ini juga memberikan peluang kepada negeri ini untuk memperkasakan sektor pelancongan.

Sektor pelancongan mampu berfungsi sebagai agen perubahan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial negeri ini. Sektor pelancongan yang berkembang pesat dapat mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat khususnya masyarakat setempat.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan plak simbolik pelancaran kepada pengurus besar Chillies Addis Hotel & Restaurant, Pradeepan Pachiriyan.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika Baginda berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Chillies Addis Hotel & Restaurant, Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini.

Berangkat sama ke program yang dianjurkan oleh MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan restoran makanan India tersebut bersempena dengan Program Safar Ilmi MAIPs ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua berkenan menyerahkan plak simbolik pelancaran kepada pengurus besar restoran berkenaan, Pradeepan Pachiriyan.

Menu khas yang diperkenalkan pada kali ini untuk disajikan selama dua minggu dalam menu restoran tersebut ialah “Kurma Daging Perlis”. Menurut Tuanku Pemangku Raja, citarasa masyarakat setempat amat berbeza daripada Malaysia, oleh itu, “Kurma” yang mempunyai persamaan yang banyak dengan makanan India yang lebih dikenali yang dipilih untuk tujuan memperkenalkan negeri Perlis di sana pada kali ini.

Pada majlis berkenaan, Baginda bertitah walaupun jarak yang jauh untuk pelancong dari Ethiopia datang ke Perlis, Baginda memperkenalkan negeri ini, khususnya kepada golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah institusi pengajian tinggi yang ada di negeri Perlis seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs.

Terdapat banyak perbezaan dan juga persamaan antara  adat, budaya, dan lanskap antara Ethiopia dengan Perlis. Pada tahun 2022, sebanyak 2.7 juta orang pelancong telah direkodkan datang ke negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.