30 Jun 2023, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Duyong – Sebanyak 40 orang pelajar dari lima buah universiti awam di negara ini telah menyertai Program Pemantapan Pantun Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan 2023, baru-baru ini.

Program yang diadakan di Balai Adat, Perkampungan Hang Tuah, di sini merupakan anjuran Kelab Kasawari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Institut Warisan Melaka (INSWA).

Menurut Pengarah Program, Datin Wira Rosmiza Mohd Saad, 40 orang peserta yang terlibat dalam program itu merupakan pelajar berbilang kaum dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UTeM selaku tuan rumah.

Peserta program mengikuti penerangan tentang Dondang Sayang.

Beliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar universiti terhadap warisan seni dondang sayang yang sinonim dengan Negeri Melaka.

Rosmiza yang juga Pegawai Kebudayaan (Unit Tarian) Bahagian Kebudayaan dan Muzik Hal Ehwal Pelajar dan Alumi (HEPA) UTeM berkata, bengkel itu juga memberi pendedahan dalam mengukuh, memelihara serta meneruskan kesinambungan seni warisan dondang sayang.

“Ini kerana dondang sayang telah menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage).

Pelajar bergambar kenang-kenangan selepas program berakhir.

“Penganjuran bengkel ini berupaya memperjuangkan seni budaya dan warisan Dondang Sayang agar tidak pupus di minda generasi muda dan seterusnya berkembang serta dihormati di seluruh dunia,” katanya.

Acara penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Duyong) merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, HEPA UTeM Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengerusi MAKUM Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengurus Besar INSWA Abdul Malek Bador; sekretariat MAKUM dan pegawai pengiring universiti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.