Oleh Karmila Azmi
3 Julai 2023, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Etnik Jatti Miriek mungkin satu daripada 12 kumpulan etnik yang kini secara rasmi diiktiraf sebagai peribumi Sarawak. Hal ini susulan pindaan baharu Rang Undang-Undang negeri membabitkan tafsiran semula peribumi Sarawak diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri, Februari lalu.

Namun, etnik Jatti Miriek sebenarnya sudah bertapak lama di sana malah mewarisi keunikan dan sejarah kebudayaan yang sangat unik. Satu daripadanya ialah penggunaan kayu sebagai batu nisan.

Ukiran kayu nisan di perkuburan lama etnik Jatti Miriek.

Umumnya batu nisan yang ditemui di alam Melayu ialah jenis batu Aceh namun di Miri khususnya dalam kalangan etnik Jatti Miriek menggunakan kayu belian sebagai batu nisan.

Keunikan ini disingkap oleh penyelidik yang juga Timbalan Dekan, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),  Profesor Madya Dr. Yakup Mohd Rafee.

Kongsi Yakup, selain diperbuat daripada kayu belian keunikan kayu nisan etnik Jatti Miriek kerana berukir dengan motif flora dan fauna.

Kayu nisan dipenuhi ukiran kerawang dipercayai untuk golongan bangsawan.

Pemilihan kayu belian jelas beliau boleh difahami kerana sifatnya yang keras dan tahan lama, namun teknik dan seni ukiran yang diukir memperlihatkan pengaruh Islam yang sangat ketara.

“Dari segi simbolisme dan makna, motif flora dan geometrik memberi maksud simbolik dalam konteks agama dan budaya yang dianuti etnik itu.

Kayu nisan itu juga menjadi sebahagian sejarah estetika dan identiti budaya kerana keunikan seni ukirannya yang membezakannya dengan batu nisan biasa ditemui di alam Melayu,” katanya.

Proses pendokumentasian oleh kumpulan penyelidik.

Yakup berkata, hasil kajiannya mendapati terdapat 250 corak berasaskan flora digunakan sebagai ukiran kayu nisan. Jumlah itu memperlihatkan seolah-olah setiap individu mempunyai coraknya yang tersendiri.

Tegasnya, penggunaan kayu belian berbanding batu Aceh mudah difahami berasaskan ketersediaan bahan. Kawasan hutan di Kepulauan Borneo kaya dengan kepelbagaian jenis kayu. Kayu belian yang keras dan tahan lama menjadi faktor kayu tersebut menjadi pilihan.

Kayu belian juga kata Yakup lebih fleksibel dalam reka bentuk dan ukiran. Kelebihan itu membolehkan kayu tersebut diukir meskipun coraknya rumit. Hal ini tentu tidak mampu dilakukan pada batu granit apatah lagi batu granit berkualiti mungkin membabitkan kos.

Motif flora dan geometrik memberi maksud simbolik dalam konteks agama dan budaya etnik Jatti Miriek.

“Kayu nisan etnik Jatti Miriek ini ialah bahagian yang penting dan warisan budaya komuniti itu. Warisan ini bukan sekadar mempunyai nilai sejarah dan estetika yang tinggi tetapi cerminan identiti budaya.

Sejarah Jatti Miriek itu sendiri sangat unik kerana dikatakan nama bandar Miri itu sendiri diambil bersempena dengan nama komuniti itu yang berasal dari kawasan sekitar tebing muara Sungai Miriek.

“Nenek moyang komuniti ini dipercayai datang dari Apo Kayan, Kalimantan ratusan tahun lalu ke Miri,” katanya.

Kata Yakub, penghijrahan dari Apo Kayan itu berlaku disebabkan peperangan dan konflik berpanjangan di tanah asal. Pada peringkat awal, Jatti Miriek berhijrah ke Baram dan meneroka kawasan di situ.

Profesor Madya Dr. Yakup Mohd Rafee.

Komuniti ini juga memainkan peranan penting dalam membuka Miri. Melalui usaha itu, mereka menemui potensi yang belum digunakan dalam cabang sungai, tanah subur, dan sumber daya alam di kawasan tersebut.

Selain sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi kawasan, orang Miriek mengalami transformasi agama yang mendalam,” katanya.

Tegas Yakup, sebelum ini Jatti Miriek selalu dianggap sebagai orang Melayu kerana beragama Islam. Justeru hal ini menjelaskan punca mereka lambat diiktiraf sebagai salah satu kaum peribumi Sarawak.

Pada peringkat awal, Jatti Miriek tidak memiliki agama atau mempercayai animisme dan pagan. Namun mereka kemudiannya memeluk Islam dan menjadi salah satu kumpulan etnik terawal memeluk Islam.

Transformasi inilah kemudiannya membentuk amalan budaya, nilai, dan struktur sosial mereka, dan unsur-unsur tersebut masih menjadi aspek yang menentukan identiti mereka.

“Seperti kebanyakan peribumi lain, Jatti Miriek memiliki bahasa sendiri yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu atau dialek Sarawak. Bahasa yang dikenali sebagai Tuttot Miriek itu tergolong dalam dialek Dalik di Baram.

“Orang Miriek bertutur dalam bahasa yang serupa dengan Orang Bakong, Orang Narum dan Orang Belait.

“Sebilangan kecil kumpulan dialek ini juga ditemui di kawasan Sibuti. Terdapat 11 suku Miriek yang mempunyai pertalian rapat dari segi bahasa dengan Miriek iaitu Bahong, Berawan, Kiput, Narum, Lementing, Dalik, Belait, Tutong, Bahut, Jepak dan Meting,” katanya

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.