4 Julai 2023, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Memang sukar menghidupkan semula tradisi, adat atau kepercayaan yang pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia ke skrin layar, tetapi “suasana” tersebut dapat dilakukan meskipun dihasilkan dalam bentuk fiksyen dengan pengetahuan yang dimiliki dan kajian mendalam.

Anding Indrawani mantap sebagai Anang.

Hal tersebut boleh disaksikan dengan menonton sebuah filem berjudul Headhunter, edaran MyContent Distribution menerusi platform Prime Video, bermula 29 Jun 2023 yang lalu.

Walaupun Headhunter bermaksud pemburu kepala, tetapi filem ini bukan sebuah kisah keganasan semata-mata. Filem ini memaparkan adat tradisi suku kaum Iban di Sarawak sejak berabad-abad lalu, selain lambang kepahlawanan apabila pemburu kepala membawa pulang kepala selepas misi serangan yang dikenali sebagai ngayau.

Mengambil latar kurun ke-18, Headhunter yang ditulis, diarahkan dan diterbitkan sendiri oleh Badd Badrul, mengetengahkan kombinasi antara fakta tentang adat tradisi dengan fiksyen yang dibentuk menjadi hiburan, sekali gus pengetahuan baharu untuk generasi masa kini.

Headhunter juga sebuah naskhah yang bersifat mendidik dan berkongsi ilmu tentang adat, budaya atau tradisi yang cukup kaya di Malaysia amnya, dan di Borneo khususnya,” ujar Badd.

Ebi Kornelis sebagai antagonis, Sapik.

Pahlawan Iban sejati, tambah beliau, bukan sahaja yang memenggal kepala, tetapi yang sanggup kepalanya dipenggal.

“Ini merupakan “kata kunci” untuk filem Headhunter.  Headhunter tidak hanya bergantung pada latar belakang tradisi pemburu kepala itu semata-mata, tetapi dipenuhi pengembaraan, aksi lasak, suspens, dan pembalasan yang diselitkan dengan kisah asmara, dan setia kawan yang sangat tinggi,” tegasnya.

Badd menghasilkan Headhunter dalam bentuk fiksyen, tetapi apa yang ingin disampaikan di sebaliknya ialah sejarah atau adat tradisi yang telah sebati dalam “dunia” masyarakat Iban. Badd amat berharap pengisian dalam Headhunter tentang  budaya serta adat tradisi kaum terdahulu dapat ditonton, sekali gus dikenali dan difahami generasi masa ini.

“Pihak kami juga mendapat kerjasama Persatuan Transformasi Dayak (TRADA). Kami berterima kasih kepada Joseph Ninting Janting selaku presiden persatuan, dan jurulatih linguistik mereka, Richard Mathias,” ujar Badd.

Poster filem Headhunter.

Headhunter membawa kisah empat orang sahabat baik yang membesar bersama-sama sejak kecil, iaitu Anang, Lebor, Untai dan Siah. Mereka melalui pahit manis kehidupan seharian bersama-sama.

Walau bagaimanapun, Anang menempuh jalan hidup yang kurang menyenangkan. Bapanya mati dibunuh dengan kepalanya dipancung oleh musuh bernama Sapik. Sejak itu Anang berikrar untuk membalas dendam kematian bapanya.

Masa berlalu, dan mereka beranjak dewasa. Anang dan Lebor telah dipanggil oleh Tuai rumah, iaitu ketua rumah panjang bersama remaja yang lain untuk melakukan ekspedisi ngayau, sebagai salah satu syarat menjadi pahlawan Iban. Mereka akan bergelar pahlawan Iban selepas berjaya mendapatkan kepala, kemudian diberi gelaran Bujang Berani.

Sapik masih dengan sikap jahat, dan mengupah lanun untuk menyerang kaum Iban sehingga ramai yang terkorban.  Dia juga sempat mengugut untuk membunuh Untai. Pada suatu hari, Anang menemui bungkusan yang sebenarnya berisi kepala Untai.

Watak utama, Anang dipegang oleh Anding Indrawani. Ebi Kornelis pula sebagai Sapik, iaitu antagonis atau musuh utama protagonis. Anak pelukis Ismail Embong, Chacha Maembong pula sebagai wirawati. Headhunter juga menampilkan lakonan sulung Ahya Rosli, dan Zulaika Zahari.

Menyentuh pencapaian, Headhunter menerima Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia yang ke-31 (FFM31), manakala Anding memenangi kategori Pelakon Harapan FFM31.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.