4 Julai 2023, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) telah menjayakan sambutan Hari Perpaduan 2023 bertempat di Wesley Hall, Wesley Methodist School Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menyemai rasa cinta akan negara serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan pelajar sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya.

Majlis sambutan Hari Perpaduan tersebut diraikan dengan perkongsian pengalaman, ucapan serta deklamasi puisi oleh tetamu-tetamu kehormat berkenaan dengan perpaduan dan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan ketika berucap dalam sambutan Hari Perpaduan di Wesley Methodist School Kuala Lumpur.

Dalam majlis tersebut, tetamu kehormat, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, dalam ucapannya menyatakan bahawa tiada halangan dalam memupuk semangat perpaduan khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelaksanaan dasar-dasar negara yang jelas seperti dasar pendidikan kebangsaan, dasar bahasa kebangsaan dan dasar perpaduan negara.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya semasa bertugas di  China, kekuatan pelaksanaan dasar negara di negara tersebut seperti dasar pendidikan kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan sangat membantu dan menjadi asas perpaduan kebangsaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila China muncul sebagai kuasa ekonomi dunia.

YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan turut mengulas tentang peranan dan etika generasi muda dalam menggunakan media sosial untuk memupuk nilai perpaduan.

Tidak dapat dinafikan keberkesanan dan kepentingan media sosial, generasi muda haruslah menggunakan media sosial dengan positif serta mengamalkan kesantunan berbahasa dalam usaha untuk memupuk nilai perpaduan.

Pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur mengadakan persembahan angklung.

Menurut Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon, selaras dengan konsep  Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan, beliau menyeru warga sekolah agar menyambut hasrat kerajaan tersebut dengan meneroka cara yang terbaik untuk memainkan peranan sebagai Duta MADANI Perpaduan dalam mempromosikan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon.

“Sebagai duta, pastinya warga Sekolah Wesley Methodist Kuala Lumpur mampu mewakili kerajaan untuk mempamerkan konsep MADANI yang tepat, terutamanya yang berkaitan dengan aspek keperibadian dan akhlak terpuji kerana Sekolah Wesley Methodist Kuala Lumpur ialah ‘Sekolah Character First’.”

Persembahan bicara berirama oleh pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur berjaya memukau tetamu yang hadir.
Persembahan Tarian Perpaduan oleh penari yang diundang khas dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan dikir barat, nyanyian, angklung, pidato, bicara berirama serta tarian perpaduan, iaitu tarian tradisional Melayu, Cina, India, tarian masyarakat Sabah dan Sarawak oleh pelajar serta penari yang diundang khas dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Yang turut hadir dalam acara tersebut ialah Tan Sri Johan Jaaffar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Wong Chun Wai.

Foto: Farid DBP

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.