4 Julai 2023, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Medan – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan penghargaan kepada Penerbangan Malaysia (MH) yang telah memuatkan artikel serta gambar mengenai destinasi pelancongan yang menarik di negeri Perlis dalam majalah rasmi di dalam pesawatnya “Going Places” bagi bulan Julai 2023 ini.

Majalah ini ditempatkan di dalam setiap poket tempat duduk penumpang di dalam pesawat MH untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

Laporan tersebut menampilkan serta meraikan pelbagai info mengenai budaya, warisan, masakan dan juga landskap semula jadi tempat-tempat yang menarik di negeri Perlis. Antaranya termasuklah asal usul Bandar Kangar, keindahan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis, sajian juadah istimewa di restoran seperti Api-Api Ikan Bakar, Ngulang Kopitiam, Ahli Kopi Kangar, selain lokasi popular di Wang Kelian View Point dan Taman Negeri Perlis.

Demikian dititahkan baginda menurut hebahan media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat melancarkan “Promosi Masakan Perlis” di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana, dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh pemilik restoran tersebut, Doris Gozali.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil semasa melancarkan “Promosi Masakan Perlis” di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

“Kurma Daging Perlis” akan disajikan dalam menu restoran berkenaan selama dua minggu bagi memperkenalkan kembali negeri Perlis sebagai destinasi ekopelancongan, sempadan Malaysia-Thailand, makanan dan juga pendidikan bagi pasaran Sumatera Utara untuk era pasca-Covid-19 khususnya dalam membina momentum persiapan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bermula pada tahun hadapan.

Kurma Daging Perlis ialah antara menu istimewa yang dipromosikan di Kaleo Rendang Bistro Medan.

Usaha tersebut dijayakan pada kali ini atas inisiatif baginda berdua sendiri melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dengan restoran berkenaan, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan juga BMC Travel.

Menurut DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra, “Walaupun media sosial kini menjadi medium popular untuk tujuan promosi, namun, penulisan dan fotografi berkualiti dan berimpak dalam sesebuah majalah atau akhbar masih lagi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosikan lokasi yang menarik serta budaya masyarakat setempat”.

Jelas Pemangku Raja Perlis lagi, “Budaya juga berkait rapat dengan sajian makanan dan juga aktiviti yang hanya terdapat di sesuatu kawasan. Dalam konteks negeri Perlis, melalui penulisan yang menarik dan gambar yang memberikan gambaran sebenar sesuatu destinasi atau sajian makanan juga dapat menarik dan menggalakkan lebih ramai para pelancong untuk datang ke negeri ini untuk menikmati keunikan Perlis serta pengalaman yang hanya akan didapati di negeri ini”.

Terdahulu, baginda telah merasmikan Promosi Masakan Perlis di Medan di Hotel Soechi pada tahun 2013.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.