Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSungai Petani – Seminar Cabaran dan Masa Depan Arkeopelancongan anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Muzium Arkeologi Lembah Bujang (MALB) telah berlangsung di Dewan Kota Melaka, Hotel Park Avenue Sungai Petani, Kedah, semalam.
Urus setia seminar, Mohd Faudzi Sulaiman berkata, ekonomi penduduk tempatan boleh ditingkatkan apabila semua permasalahan yang timbul di kawasan Lembah Bujang dapat diperbaiki sepenuhnya.
Kongsi beliau, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nasha Rodziadi Khaw ada menyentuh isu berkenaan, bahawa Kedah Tua dalam pembinaan naratif kebangsaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Dr. Mohd Amin Ali pula menyentuh mengenai pelancongan warisan, pelancongan lestari, ekopelancongan dan geopelancongan memangkin arkeopelancongan di Lembah Bujang, Kedah menerusi Jerai Geopark.
Sebanyak 170 peserta, termasuk tokoh sejarah, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan orang awam turut menyertai seminar itu bagi sama-sama mengumpul ilmu berkenaan dengan bidang arkeologi menerusi ceramah yang disampaikan oleh pakar arkeologi tempatan.
Ceramah bertajuk “Peranan Bidang Arkeologi dalam Melestarikan Industri Arkeopelancongan di Kedah” disampaikan oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad.
Selain itu, ceramah berkaitan dengan “Arkeopelancongan di Lembah Bujang dari Perspektif Sejarah Gunaan dalam Memacu Perkembangan Sosio-ekonomi Setempat: Cabaran dan Permasalahan” disampaikan oleh Dr. Zulhilmi Paidi dari Jabatan Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Turut serta dalam perkongsian ilmu ini, Pengarah, Cultured-based Economic Development, ThinkCity, Dr. Ceelia Leong yang berkongsi ilmu berkaitan dengan “Pembangunan dan Pengaktifan Jaringan Arkeopelancongan Wilayah Utara: Dari Sudut Pandangan Ekonomi Berasaskan Budaya”, manakala tajuk “Arkeopelancongan Lembah Bujang: Potensi dan Strategi Pemasaran dari Sudut Pemain Industri” disampaikan oleh pengasas bersama Ancient Kedah Heritage Resources, Mazlan Mahmud.
Peranan Tourism Malaysia dalam mempromosikan arkeopelancongan di Lembah Bujang dilihat memberikan faedah yang luas kepada masyarakat dan negara dalam menyebarluaskan ilmu dan kesedaran berkaitan dengan arkeopelancongan tempatan menerusi Seminar Cabaran dan Masa Depan Arkeopelancongan.