10 Julai 2023, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menganjurkan Festival PeTA (Penilaian Tahun Akhir 2023) dan Artcademia (Hari Terbuka ASWARA) bertempat di kampus ASWARA, Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan dengan matlamat utama bagi menonjolkan dan mempromosikan bakat para pelajar ASWARA yang berteraskan seni, budaya dan warisan negara. Di samping itu, program ini merupakan medium terbaik bagi orang ramai mengenali ASWARA sebagai sebuah institusi pendidikan tersohor yang berteraskan seni budaya dan warisan terulung negara.

Malah, pemilihan lokasi program ini yang terletak di Kampus ASWARA dilihat sebagai salah satu inisiatif yang bertepatan dengan matlamat asal penganjuran program ini iaitu mempromosikan serta pendidikan seni budaya kepada masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Masyarakat berpeluang mengenali ASWARA dengan lebih dekat melalui penerangan secara langsung oleh barisan pensyarah yang bertauliah.

Pelbagai pengisian menarik dan interaktif turut dirancang sempena penganjuran program berskala mega ini. Antara pengisian program ini ialah aneka jualan trak makanan, persembahan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) oleh fakulti-fakulti di ASWARA seperti Fakulti Tari, Muzik, Animasi dan Multimedia, Penulisan Kreatif dan Filem dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, para pengunjung turut dijemput untuk melawat ke pameran interaktif hasil karya pelajar tahun akhir ASWARA.

Lebih menarik lagi, program ini juga dilihat sebagai platform tepat buat para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai program pengajian yang ditawarkan di ASWARA. Para pelajar dan ibu-bapa berpeluang untuk mendengar penerangan secara langsung dan terperinci yang akan disampaikan oleh barisan pensyarah yang bertauliah dalam bidang masing-masing.

Sebagai sebuah institusi yang berperanan besar dalam menyemarakkan kecintaan terhadap seni budaya dan warisan, ASWARA turut mengorak langkah dalam menawarkan program pengajian bercorak pembelajaran sepanjang hayat iaitu microcredentials dan nanocredentials kepada orang ramai yang berminat menambah pengetahuan dan kemahiran dalam bidang seni budaya dan warisan.

ASWARA merupakan institusi pendidikan tersohor yang berteraskan seni budaya dan warisan negara.

ASWARA berharap dengan penganjuran program seumpama ini merupakan salah satu mekanisme terbaik dalam memupuk serta menarik minat generasi muda menyambung pengajian di ASWARA sekali gus memartabatkan bidang keilmuan seni budaya dan warisan agar tidak ditelan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.