Oleh Raduan Norudin
18 Julai 2023, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya satira bermaksud karya menyindir sesuatu keadaan atau seseorang dengan cara mengkritik terhadap sesuatu kejadian, kebiasaan, gagasan dan lain-lain untuk flamboyan, diperolokkan, dan ditertawakan agar dijadikan dorongan menuju suatu pembaharuan daripada keadaan penuh kelemahan sebelumnya. Satira biasanya disampaikan dalam bentuk ironi, sarkasme, atau parodi.

Benarkah karya satira mampu meneroka kebenaran? Atau, karya satira ialah suara yang tidak boleh dipercayai? Bolehkah karya satira diterbitkan secara sehala, iaitu selepas diterbitkan kemudian biarkan sahaja polemik yang akan timbul? Biar masyarakat atau audiens yang berfikir dan menjawabnya sendiri.

Pemakaian tanjak kian popular sejak akhir-akhir ini.

Satira Ironi

Pada suatu masa dahulu, Abdullah Jones pernah memanaskan senario pemakaian pakaian tradisional apabila mengkritik kumpulan lelaki yang memakai busana dan bertanjak yang berjalan-jalan di kota raya Kuala Lumpur. Heboh dan kecohlah kumpulan tersebut menulis balas dalam media sosial bagi mempertahankan aktiviti mereka.

Suasana pada ketika itu amat hangat. Abdullah Jones dikatakan sebagai Melayu yang lupa asal usul, tiada jati diri dan pelbagai kata nista yang pedih. Ditanya bagaimanakah Abdullah Jones menghadapi perkara itu, jawab beliau, “Lemparkan sahaja artikel yang sensasi dan biarkannya bermain di alam maya, usah tengok-tengok lagi, selagi orang memperkatakan isu tersebut bermakna masih relevan sama ada dari sudut positif mahupun negatif ”.

Sebagai kesannya, hingga kini para pejuang pemakaian busana tradisional semakin kuat mengaktifkan pelbagai program berbusana Melayu. Pengusaha produk jahitan pakaian tradisional tidak menang tangan menerima tempahan. Bengkel membuat tanjak diusahakan di seluruh pelosok tanah air.

Abdullah Jones ketika ditemuramah oleh penulis di Cyberjaya baru-baru ini.

Dalam lukisan, tidak kurang juga bisa yang ditinggalkan oleh Abdullah Jones. Sebagai pelukis yang menulis, Abdullah Jones sering memasukkan tulisan-tulisan ke dalam karya. Beliau mengamati dengan teliti perkara sekelilingnya, bertindak balas dan menterjemah ketajaman berfikirnya ke dalam karya.

Karya Abdullah Jones, CAKAP MEMANG MUDAH (2021)

Satira Sarkasme

Karya berjudul CAKAP MEMANG MUDAH (2021), berkenaan dengan seseorang yang sedang bercakap kepada dua orang tentang macam-macam hal. Terdapat pelbagai imej manusia lelaki dan perempuan, binatang dan benda yang diolah memenuhi ruang kotak kata. Paling menarik, terdapat 10 lagi kotak kata kecil di dalam kotak kata utama.

Bererti ada banyak lagi topik dan isu yang akan diperkatakan bergantung kepada peluang bercakap yang diperoleh. Perkara sebegini sememangnya berlaku dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi orang yang bermain dalam bidang politik. Seolah-olah hero dalam semua perkara menabur pelbagai janji . Tetapi hakikatnya, apa-apa pun tidak ada.

I ASK MY MOTHER TO SING (2021), karya Abdullah Jones yang memaparkan kehidupan alam keluarga.

Karya berjudul I ASK MY MOTHER TO SING (2021), bersamanya terdapat perkataan yang ditulis I ASK MOTHER TO SING, SHE BEGINS AND MY GRANDMOTHER JOINS HER. MOTHER AND DAUGHTER SING LIKE YOUNG GIRLS. Visual peristiwa sebenar mungkin pernah dilihat sendiri oleh Abdullah Jones, kemudian diulang rakam di dada kanvas.Tulisan lain yang dikesan ialah 786, Lala Lala,77, Mok-Ibu- Umi dan Cinta.

Imej utama ialah tiga orang perempuan, manakala tiga ekor burung menghiasi latar sedang bersiul. Karya moden kontemporari ini cepat menarik audiens apabila garapan warna sejuk sesuai dengan alam hidup keluarga bernyanyi-nyanyi yang terdiri daripada anak, emak dan nenek, lantas menimbulkan suasana nyaman dan selesa.

Abdullah Jones ialah sosok istimewa dalam kedua-dua bidang, iaitu lukisan dan penulisan. Dia menguasai kedua-duanya. Bukunya tersohor ialah Sajak-sajak Suci (2007), Hikayat Abdullah Jones (2016) dan Ceritera Abdullah Jones (2017). Manakala pameran lukisan solonya ialah Blues Malaya (2017), Lolong (2018) dan Mujarad Naga Tasek Chini (2022).

Abdullah Jones dan Ahmad Sukeri berbincang tentang penerbitan majalah seni yang berjudul KOLOMPOART.

Kini, beliau sedang giat menghasilkan karya-karya baharu, di samping membahagikan masa menulis dan mengkritik isu-isu semasa. Selain itu, Abdullah Jones giat membimbing pelukis dan penulis muda supaya menerbitkan tulisan berkaitan dengan seni kerana genre penulisan itu sangat lompong dan perlu diisi segera.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.