19 Julai 2023, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Pantun merupakan warisan khazanah budaya bangsa Melayu yang unik, halus dan berseni bahasanya, mempunyai rima yang beradun dan tinggi falsafahnya. Pantun mempunyai metafora yang memerlukan pemikiran yang tinggi dalam pengkajiannya.

Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Bagi mengekalkan keunikan pantun sebagai warisan kebudayaan tidak ketara negara yang mendapat pengiktirafan oleh UNESCO, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) mengambil inisiatif melaksanakan program bicara pantun dengan tema unsur maritim dalam pantun “Kurik Kundi Merah Saga” (KKMS) yang disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, profesor dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 18 Julai 2023 bertempat di SBP Integrasi Selandar, Melaka.

Selain mempunyai pembayang dan maksud, pantun juga mempunyai maksud yang tersirat. Dalam konteks wacana ini, Profesor Dr. Nor Hashimah menekankan tentang fenomena alam dan penggunaan objek alam, seperti pohon sena, meranti, buluh perindu, hujan, ribut, hulu, kuala untuk dikaitkan dengan kasih sayang.

Sifat ombak dalam pantun merupakan simbol perasaan yang ragu-ragu dan berbolak-balik sama seperti sifat ombak itu sendiri. Ribut pula perlambangan bagi cabaran yang kuat pada satu-satu hubungan kasih sayang sebagaimana contoh pantun di bawah;

Loceng berbunyi pukul lapan,

Perahu belayar kena ribut;

Kasih seperti paku di papan,

Pecah papan paku tercabut.

Menurut beliau, orang Melayu terdahulu menganalogikan proses pembuatan perahu dan kapal ini dengan kekukuhan perhubungan kasih sayang di antara manusia. Jika kayu yang digunakan itu tidak keras dan kuat, maka tercabutlah paku daripada papan dan papan akan pecah. Keadaan ini dianalogikan dengan hubungan yang terpisah sekiranya tidak dapat menahan cabaran dan perhubungan.

Tetamu yang hadir program bicara pantun dengan tema unsur maritim dalam pantun “Kurik Kundi Merah Saga”.

Hal ini berlainan dengan objek alam lain seperti rakit, galah, buluh, yang mempunyai perlambangan masing-masing. Rakit yang diperbuat menggunakan buluh atau kayu-kayu biasa yang diikat secara rapat-rapat tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Manakala bahan-bahan yang digunakan juga mudah didapati dari hutan.

Jika dibandingkan dengan kapal, struktur binaan rakit tidak kukuh dan kuat. Ikatan rakit mudah putus jika terlalu lama di air. Maka itu, rakit merupakan analogi bagi hubungan yang rapuh seperti contoh pantun ini;

Tetak buluh buat rakit,

Hendak memuat kayu cendana;

Ubatlah abang sakit adik,

Kalau tak ubat adik merana.

Penggunaan diksi “rakit” dalam pantun KKMS ialah sebanyak 40 pantun berbanding dengan objek alam maritim lain, seperti sampan, biduk, jong, lancing, kolek, sekoci, tongkang dan jalur. Namun begitu diksi “kapal” mencecah sehingga 86 capaian dalam pantun KKMS.

Hal ini menggambarkan betapa kapal merupakan pengangkutan air yang popular selepas perahu pada zaman tersebut berbanding pengangkutan air lain. Metafora kapal ialah sebagai luahan perasaan yang menampung hati dengan rasa sedih, gembira, rindu, kecewa dan sayang.

Samalah seperti kapal yang membawa pelbagai barangan dan penumpang di dalamnya. Setiap kapal yang belayar mengambil masa yang lama dan sarat dengan muatan. Perjalanan kapal lebih mencabar kerana perlu membelah samudera yang luas berbanding dengan perjalanan rakit yang hanya bergerak di sungai dan pesisir pantai.

Di tengah lautan, kadang kala terjadi ribut dan taufan serta gelombang besar yang memerlukan kebijaksanaan dan kepakaran nakhoda untuk mengemudi kapal tersebut. Nakhoda sama seperti suami sebagai ketua keluarga.

Beliau turut menyimpulkan bahawa diksi ombak dan rakit merupakan analogi yang rapuh dan lambang bagi sesuatu perhubungan yang baru pada peringkat awal. Manakala diksi ribut dan kapal pula mencerminkan hubungan kasih sayang yang kukuh dan perhubungan yang telah melalui pelbagai cabaran serta sudah pada peringkat akhir.

Beliau menegaskan kepada pencipta pantun agar menitikberatkan eleman falsafah yang tinggi dalam penciptaan pantun baharu agar pantun kekal berada pada keunikannya yang tersendiri. Pantun perlu kekal sebagai warisan permata Melayu yang dikagumi dan diperakui oleh sarjana luar sebagai akal budi dan harta intelek bangsa Melayu yang tiada tolok bandingnya.

Wacana ini dihadiri lebih 300 peserta dalam kalangan guru sekolah-sekolah negeri Melaka. Turut hadir menyerikan wacana ini ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS, Dr. Mohd. Aras Khamis, Ketua Penolong Pengarah JPN Melaka, Puan Ezlina Alias, Pengarah JKKN Melaka dan Encik Hazlan Sama, Pengurus Besar Institut Tun Perak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.