Oleh RYAN SOFEA
20 Julai 2023, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tagal atau bombon merupakan sistem pengurusan sumber asli tradisional yang mapan, terutamanya bagi sumber hidupan akuatik sungai di Sabah. Tagal melibatkan peraturan berasaskan adat masyarakat Kadazan Dusun di Sabah berhubung dengan pemeliharaan ekosistem sungai bagi mengelak kepupusan ikan akibat aktiviti penangkapan yang tidak terkawal. Ikan di sungai yang ditagal atau dibombon tidak boleh ditangkap atas persetujuan masyarakat pelaksana.

Sistem tagal dapat mengatasi masalah kekurangan sumber ikan air tawar dan mengelakkan pencemaran sungai selain menjanakan pendapatan masyarakat. Melalui sistem ini, penggunaan sumber semula jadi dihadkan untuk pemuliharaan dan bagi memastikan kewujudan sumber tersebut berterusan untuk generasi akan datang. Sistem ini juga memberi manfaat kepada industri pelancongan di Sabah. Sistem tagal diurus dan dipantau oleh Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

Ikan kelah merupakan spesies ikan eksotik yang lazimnya ditemui di sungai yang terlibat dengan sistem tagal.

Secara umumnya, sistem tagal melibatkan proses pengezonan kawasan larangan mengambil sumber hidupan akuatik sungai, bagi memastikan kawasan pemuliharaan dan kawasan boleh guna oleh komuniti. Lazimnya proses pengezonan adalah di sepanjang tiga kilometer sungai terlibat yang dibahagikan mengikut zon berukuran satu kilometer. Sistem tagal dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu zon merah, hijau dan kuning.

Zon merah merupakan kawasan larangan menangkap ikan dan pusat pembesaran serta pembiakan ikan. Zon ini khusus untuk aktiviti pelancongan dengan dijadikan pusat aktiviti rekreasi seperti memberi makan ikan dan mandi sungai.

Zon kuning merupakan kawasan khusus untuk aktiviti penangkapan ikan secara bersama untuk kegunaan harian, bergantung kepada keputusan komuniti setempat. Zon hijau pula merupakan kawasan boleh guna, yang membenarkan aktiviti penangkapan ikan hanya kepada ahli komuniti setempat dan dilakukan secara gotong-royong sekali dalam setahun.

Usaha membangunkan sistem ini secara formal telah bermula sejak lewat tahun 1990-an dan pernah diamalkan di Tuaran pada tahun 1987 dan 1991 di Kota Belud sebelum berkembang ke daerah lain seperti Ranau, Kota Marudu dan Papar.

Jabatan Perikanan Negeri Sabah telah memperluaskan sistem tagal ke seluruh negeri Sabah sejak tahun 2003 secara formal. Sistem ini dikawal di bawah peraturan kampung pelaksana dan kemudiannya di bawah Undang-undang Adat dan Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur 2003. Pesalah sistem ini dikenakan sogit atau denda atau dipenjara sehingga dua tahun.

Sogit bermaksud denda yang dikenakan kepada mereka yang telah melakukan kesalahan seperti melanggar peraturan atau pantang larang adat. Sogit yang dikenakan kepada pesalah sistem ini ialah sebanyak seekor kerbau bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua, pesalah akan dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri.

Sistem tagal menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang menyaksikan keindahan alam semula jadi.

Sistem tagal ini  memberikan impak kepada masyarakat pelaksana dari segi alam sekitar, ekonomi, sosial dan pelancongan. Keindahan sungai dan sumber hidupan akuatiknya yang terpelihara menyumbang kepada pembangunan ekopelancongan di kawasan terbabit.

Hal ini memberikan ilham dan inspirasi kepada pengembara dan pelancong yang menyintai bidang fotografi untuk dijadikan subjek mengembangkan seni lensa kamera sambil menikmati persekitaran yang indah dan mendamaikan.

Kejayaan sistem tagal merupakan inisiatif yang patut diketengahkan dengan lebih meluas terutamanya kepada masyarakat di luar Sabah untuk dicontohi. Komitmen masyarakat setempat di Sabah dalam memelihara sungai seterusnya menjayakan sistem tagal ini wajar dipuji, dihargai dan dicontohi serta dijadikan ikutan masyarakat yang tinggal berdekatan sungai.

Banyak pelancong asing, seperti dari Korea Selatan dan Jepun, kagum dengan usaha ini kerana kerajaan tidak perlu membelanjakan peruntukan yang besar untuk pemuliharaan sungai kerana masyarakat setempat bersatu menjaganya. Keadaan ini amat berbeza di negara mereka kerana kos pemuliharaan sungai sangat tinggi. Tidak hairanlah keunikan projek sistem tagal di Sabah berjaya menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar setiap tahun.

Antara daya tarikan utama kepada pelancong tersebut ialah kepelbagaian spesies ikan seperti kelah, lampam jawa dan tilapia yang jinak dan dapat didekati. Selain itu, sukan pancing layang iaitu aktiviti memancing secara tangkap dan lepas turut menjadi tarikan sebagai aktiviti rekreasi santai kepada pengunjung, khususnya kaki pancing untuk datang ke kawasan sungai yang ditagal. Aktiviti sukan pancing layang ini mendapat sambutan menggalakkan termasuk peminat pancing layang dari Amerika Syarikat, Britain, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Sementara itu, demi mengawal kualiti persekitaran agar terus mampan dalam menyantuni aktiviti ekopelancongan, perihal peraturan dan penguatkuasaan sangat ditekankan. Oleh hal yang demikian, salah satu usaha yang diambil ialah dengan meletakkan papan tanda peraturan dan larangan di tebing sungai yang ditagal untuk mengingatkan pengunjung luar yang datang berkunjung.

Pada peringkat jawatankuasa kampung, penguatkuasaan undang-undang tagal sentiasa diberikan penekanan dan tidak hairanlah kawasan tagal sentiasa bebas daripada pencerobohan dan pencemaran. Ketua Anak Negeri sesuatu kawasan tagal turut bertindak sebagai “majistret” di Mahkamah Anak Negeri untuk membicarakan kes pencerobohan kawasan tagal.

Sebagai contohnya, sekitar tahun 2016, terdapat kes yang membabitkan pencerobohan tagal direkodkan dan pesalah yang ditangkap oleh penduduk kampung dikenakan sogit atau denda seekor kambing yang kemudian disembelih dan daging diagihkan kepada masyarakat kampung.

Setiap daerah mempunyai undang-undang tersendiri dalam membicarakan kes pencerobohan kawasan tagal. Ada daerah yang menetapkan seekor lembu atau kerbau dan wang tunai RM500. Undang-undang adat ini membuktikan keseriusan pelaksanaan sistem tagal di sesuatu kawasan.

Jabatan Perikanan Negeri Sabah yang menyelaraskan sistem tagal pula menguatkuasakan undang-undang kepada mereka yang didapati bersalah merosakkan kawasan tagal dan dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara bagi tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sistem Tagal di Sabah diadaptasi daripada amalan tradisi masyarakat Kadazandusun. Masyarakat Kadazandusun sangat tegar mempertahankan sistem yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Sistem unik itu juga berkait rapat dengan mitos masyarakat berkenaan bahawa tagal wujud berikutan hubungan rapat antara manusia dengan ikan di dalam sungai sehingga hidupan akuatik itu sangat jinak dan tidak takut kepada manusia.

Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak melakukan perkara yang merosakkan habitat ikan, ekosistem dan tumbuhan di tebing sungai sehingga ikan membiak dan membesar dengan aman. Apabila tiba masa yang sesuai, penduduk kampung bersama-sama menangkap ikan dalam suasana meriah dan penuh perpaduan.

Sistem tagal terbukti berhasil menyeimbangkan antara kelestarian alam semula jadi dengan keperluan ekonomi penduduk setempat yang terlibat.

Untuk rekod, Jabatan Perikanan Negeri Sabah pernah mencuba untuk memperkenalkan sistem tagal ke perkampungan masyarakat lain, seperti Bajau, Brunei dan Iranun, namun tidak berjaya kerana kurangnya kesedaran budaya memulihara sungai dan memelihara ikan di kawasan ditagalkan.

Masyarakat perkampungan tersebut memukat, menjala dan memancing ikan sebelum tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Tagal. Masyarakat Kadazan Dusun sudah sebati dengan sistem tagal yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka dan tidak hairanlah hampir semua daripada 600 batang sungai yang ditagal di Sabah ialah di perkampungan Kadazandusun.

Sistem tagal bukan sahaja untuk kelestarian sungai dan hasil perikanan, tetapi demi melindungi spesies ikan yang hampir pupus, seperti ikan pelian atau ikan kelah merah. Sistem tagal menyatukan penduduk sesebuah kawasan untuk bersama-sama menguatkuasakan peraturan tagal.

Hal ini termasuklah tidak membenarkan tangkapan ikan dalam tempoh tertentu serta memastikan sumber perikanan sungai tidak diancam sebarang bentuk pencemaran, seperti sampah dan serpihan kayu. Sistem tagal menjadikan kawasan sungai kekal dengan keasliannya dan dihadkan untuk pemuliharaan ekosistem demi memastikan kewujudan berterusan sumber tersebut untuk generasi akan datang.

Foto: Pusat Dokumentasi Melayu DBP Cawangan Sabah

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.