Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBaju kebaya merupakan satu daripada busana tradisional yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat, terutamanya di Nusantara. Baju kebaya telah dipakai sejak berabad yang lalu dan masyhur sekitar tahun 1800 di seluruh Tanah Melayu sebagai pakaian bangsawan dan harian.
Busana ini dipakai oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini dan membentuk perpaduan, serta integrasi nasional dalam kebudayaan harian. Perkembangan pemakaian baju kebaya membawa kemunculan variasi kebaya yang dikategorikan sebagai kebaya tradisional, kebaya moden dan kebaya fesyen yang kekal hingga hari ini.
Walaupun begitu, hingga kini tidak diketahui dengan tepat asal-usul kemunculan pakaian ini. Istilah baju kebaya menurut para penyelidik busana tempatan berasal daripada bahasa Arab, iaitu habaya, yang membawa maksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan sehingga kaki. Pendapat lain pula menyatakan bahawa kebaya diambil daripada Kamus al-Marbawi, iaitu kabah, akbia dan akbiayatun, yang bermaksud pakaian sebelah luar pakaian.
Terdapat juga pandangan bahawa busana ini berasal dari Turkiye, iaitu Al Akibiya Al Turkiyya, yang bermaksud baju berbelah di hadapan dan lipatannya selisih menyerong di hadapan dari kiri ke kanan. Seterusnya baju kebaya juga dikatakan dibawa oleh Portugis ke Melaka pada abad ke-16 dan digemari oleh wanita Melayu dengan memakainya bersama-sama kain sarung.
Baju kebaya memiliki tarikan yang tersendiri dan menjadi penyeri kepada si pemakainya. Terdapat banyak rahsia dan falsafah di sebalik pemakaian busana ini sehingga mampu bertahan hingga hari ini, walaupun sudah berusia ratusan tahun. Kini, fesyen berbaju kebaya tetap menjadi pilihan dalam kalangan wanita, terutamanya golongan muda, untuk tampil anggun dengan padanan kain sarung.
Atas dasar itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Negara telah menganjurkan pameran bagi mengungkap rahsia dan falsafah di sebalik pakaian baju kebaya, iaitu Pameran Rahsia Kebaya. Pameran yang berlangsung di Muzium Tekstil Negara ini merupakan satu daripada usaha pihak Kementerian Perpaduan Negara melestarikan perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui khazanah warisan baju kebaya.
Secara umumnya, pameran yang bermula pada 19 Oktober 2023 hingga 31 Disember 2023 ini mempamerkan sebanyak 60 koleksi baju kebaya yang memiliki pelbagai jenis dan kaum di negara ini, antaranya termasuklah kebaya Melayu, Cina Peranakan, Chetti, Sarawak dan sebagainya. Pameran ini juga bertujuan untuk mendukung usaha kerajaan untuk mengangkat baju kebaya ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam kategori Senarai Nilai Budaya Warisan Kemanusiaan.
Para pengunjung yang menyaksikan pameran ini pastinya akan berasa kagum dan terkejut melihat keanggunan koleksi baju kebaya di sini. Masakan tidak, memasuki sahaja ruang pameran di Galeri Saindera, para pengunjung disajikan dengan koleksi baju kebaya yang pernah digunakan oleh kerabat diraja.
Antaranya termasuklah sepersalinan baju kebaya labuh milik Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Almarhumah Tunku Ampuan Najihah, sepersalinan baju kebaya Selangor milik DYMM Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, sepersalinan baju kebaya Perlis milik Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, sepasang kebaya labuh milik Yang Maha Mulia Tengku Anis, Raja Perempuan Kelantan, dan baju kebaya labuh milik Che Menjalara, isteri kepada DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-26.
Lebih daripada itu, penulis tergamam seketika apabila melihat sepasang baju kebaya “gergasi” yang berukuran lebih kurang lapan meter tingginya. Baju kebaya yang berasal dari Perlis ini mendapat pengiktirafan oleh The Malaysia Boof of Records pada 10 November 2013 sebagai Baju Kebaya Perlis Terbesar. Kebaya yang pertama kali dipersembahkan kepada khalayak dalam program Kebaya Fest Road to Milan ini merupakan hasil tangan para pensyarah dan pelajar kolej yang disiapkan dalam tempoh 15 hari.
Di samping itu, Pameran Rahsia Kebaya turut memaparkan sepasang baju kebaya pendek yang dipakai oleh pramugari syarikat penerbangan tempatan, iaitu Malaysia Airlines. Baju ini merupakan hasil rekaan Jabatan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara pada tahun 1986, dan kekal digayakan hingga kini. Motif bunga rona yang berteraskan motif daun kelarai, bunga cempaka, bunga melur dan daun bunga raya yang terdapat pada busana ini melambangkan masyarakat yang berbilang kaum di negara.
Seperti diketahui umum, baju kebaya memiliki pelbagai bentuk dan potongan yang berbeza-beza. Potongan asas busana ini ialah berbelah dan berpesak di hadapan, berlengan panjang dan disemat dengan kerongsang. Potongan baju kebaya dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu kebaya tradisional dan kebaya moden.
Baju kebaya tradisional misalnya, mempunyai potongan longgar dan lurus, berpesak di hadapan, berkekek, berlengan panjang dan lebar. Apabila dipakai, pesak baju hanya ditindih antara kiri dan kanan, dan disematkan dengan tiga kerongsang sebagai pelengkap pakaian. Kebaya tradisional, atau dikenali sebagai kebaya labuh, sering digayakan oleh masyarakat Melayu dan Jawi Peranakan.
Selain itu, masyarakat Melayu juga memakai baju kebaya tradisional yang labuhnya dipendekkan hingga paras bawah lutut yang dikenali sebagai baju kebaya sekerat tiang atau separuh tiang. Kedua-dua baju ini mempunyai ciri-ciri potongan yang sama dengan baju kebaya labuh. Baju kebaya tradisional ini pada kebiasaannya diperbuat daripada kain kasa jarang dan dipakai bersama-sama anak baju berwarna putih. Sekiranya baju kebaya ini diperbuat daripada kain kapas atau sutera yang tebal, tidak perlu memakai anak baju di sebelah dalam.
Hal ini berbeza pula dengan baju kebaya moden. Busana ini memiliki potongan yang diubah sepenuhnya daripada bentuk baju kebaya asal. Baju kebaya moden, atau kebaya pendek, lebih ringkas dan pendek hingga para pinggul, tidak berpesak, tidak berkekek, namun masih berlengan panjang. Potongannya lebih mengecil di bahagian pinggang untuk menampakkan bentuk badan pemakainya. Antara baju kebaya moden yang terkenal termasuklah baju Bandung dan baju kebaya Kota Bharu.
Baju kebaya pendek yang digayakan oleh masyarakat Cina Peranakan pula dikenali sebagai kebaya sulam dan dipanggil sebagai “potong kot” di Terengganu. Kebaya jenis ini mempunyai pelbagai variasi yang muncul mengikut peredaran zaman. Hal ini dapat dilihat pada potongan kebaya lipat yang terdapat di Terengganu, kebaya renda yang terkenal pada tahun 1920-an, kebaya biku pada tahun 1930-an dan kebaya sulam pada tahun 1940-an.
Sebagai kesimpulannya, baju kebaya merupakan warisan yang menjadi lambang perpaduan dan identiti nasional yang tidak ternilai harganya. Penganjuran Pameran Rahsia Kebaya ini diharapkan dapat membuka mata masyarakat untuk menghargai dan mempertahankan khazanah warisan ini yang wujud sejak ratusan tahun dahulu.