Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Azman Bidin, Mya Hanim
Akhir-akhir ini permainan kebudayaan wau bulan telah meraih minat individu pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar negara. Suatu perkara luar biasa yang berlaku mungkin hasil daripada pendedahan kemunculan wau bulan dalam video muzik oleh kumpulan K-pop X1 pada tahun 2019.
Kumpulan muzik dari Korea Selatan tersebut telah memilih wau bulan sebagai lambang dalam video muzik mereka untuk mewakili semangat dan visi X1 untuk terbang tinggi. X1 juga membuat penampilan sulung mereka pada bulan kebangsaan yang diraikan setiap tahun pada 31 Ogos.
Paparan wau bulan dalam video muzik kumpulan bertaraf antarabangsa merupakan langkah yang sangat simbolik. Hal tersebut menarik untuk diamati, iaitu bagaimana wau bulan menarik minat orang dari luar negara?
Sebelum platform media sosial seperti Instagram, Twitter dan TikTok muncul, masyarakat aktif terlibat dalam permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, gasing, dan wau. Layang-layang besar diterbangkan di langit sebagai hiburan, sementara kanak-kanak sering menghabiskan waktu luang mereka di luar untuk bermain permainan tradisional ini.
Wau merupakan layang-layang besar yang dihasilkan dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna. Wau bulan berasal dari negeri pantai timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, yang terkenal dengan tradisi pembuatan layang-layang yang beragam dan kreatif.
Wau yang paling terkenal di Kelantan ialah wau bulan. Layang-layang tradisional Malaysia yang juga dikenali sebagai layang-layang bulan ini diberikan nama wau bulan kerana bentuk bulan sabitnya yang unik. Wau bulan bukan hanya ikon budaya dengan sejarah yang panjang, tetapi juga merupakan lambang seni Malaysia yang luar biasa.
Di Kelantan, terdapat pelbagai jenis layang-layang atau wau yang mempunyai ciri-ciri unik tersendiri dan variasi serantau. Wau bulan yang berbentuk bulan sabit merupakan wau yang paling ikonik dan terkenal. Selain itu terdapat juga wau kucing, iaitu layang-layang yang menyerupai bentuk kepala dan telinga kucing. Sementara itu, wau kikik pula menyerupai bentuk badan burung yang panjang dan ramping.
Festival layang-layang sering diadakan di pelbagai negeri. Festival ini menarik minat pelancong yang datang untuk menyaksikan kekreatifan dan semangat perpaduan layang-layang di seluruh benua menerusi reka bentuk yang menarik dan berwarna-warni.
Pertunjukan udara ini menonjolkan kreativiti dan kedamaian dengan menggabungkan variasi layang-layang dalam persembahan yang harmoni. Hal ini memaparkan bahawa layang-layang terbang merupakan simbol perkongsian kebahagiaan dan keseronokan yang mengasyikkan. Pengunjung seolah-olah dapat menyaksikan sendiri impian selama ini untuk terbang menjadi kenyataan.
Pesta Wau Kebangsaan Kelantan berlangsung pada bulan Ogos setiap tahun di Pantai Geting, Kelantan. Pesta Wau ini bukan hanya menarik minat penduduk tempatan, tetapi juga sejumlah besar pelancong antarabangsa seperti dari New Zealand, Poland, Jepun dan lain-lain.
Seperti yang diketahui umum, naratif wau bulan turut diintegrasikan dalam lirik lagu dikir barat, iaitu e wa bule, yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Kelantan. Wau bulan ialah sebuah lagu dan tarian tradisional rakyat Malaysia. Lagu ini dimainkan dalam gaya dikir barat dengan penampilan duduk berbaris di lantai atau pentas, bergantian antara menyanyi dan menari dengan gerakan tangan serta badan.
Amalan seni dikir barat membantu dalam pelestarian budaya Melayu di Kelantan. Keragaman gaya serba boleh ini disesuaikan dengan pelbagai situasi dan penampilan yang membolehkan Tok Jogho mencipta lirik baharu berdasarkan melodi yang sudah ada. Lagu Wau bulan memuji keanggunan layang-layang tradisional Kelantan yang dikenali sebagai wau dengan bentuk khas bulan sabit ketika terbang tinggi di langit.
Tradisi permainan wau semakin kurang diminati khususnya dalam kalangan generasi masa ini. Kehadiran wau di langit semakin jarang dapat disaksikan pada masa ini akibat kemajuan teknologi. Aktiviti ini dahulunya sangat popular dalam kalangan anak muda. Kini, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar sahaja yang cenderung menikmati hobi ini.
Fenomena ini dapat dilihat terutamanya melibatkan generasi Z yang sering kali memilih untuk berada dalam rumah dan mengisi masa lapang dengan melayari media sosial dan bermain permainan elektronik. Selain itu, urbanisasi dan gaya hidup moden yang pantas mungkin mengehadkan peluang untuk golongan tersebut mengambil bahagian dalam aktiviti yang selalunya mengambil masa yang lama seperti permainan wau.
Usaha menghidupkan semula budaya tradisional seperti permainan wau dalam generasi hari ini boleh dipupuk dengan mendidik mereka tentang sejarah dan kepentingannya melalui seminar dan platform pendidikan. Galakkan penyertaan generasi muda dengan mengembangkan aktiviti sosial yang menyeronokkan dengan memfokuskan pada pembuatan dan permainan wau.
Penganjuran lebih banyak festival wau yang melibatkan kerjasama antara sekolah dengan syarikat swasta harus dilaksanakan untuk menyebarkan maklumat tentang tradisi permainan ini. Selanjutnya, dengan menggunakan peranti digital, kita dapat mendorong penggunaan teknologi dengan mengembangkan aplikasi permainan video yang mengintegrasikan unsur wau dalam aktiviti semasa, seperti permainan elektronik atau fotografi.
Semua pihak perlu menyokong idea kreatif pereka kraf demi memelihara hasil kerja tangan tradisional seperti seni pembuatan wau. Selain itu, rasa bangga terhadap tradisi yang berharga ini mestilah dipupuk secara berterusan agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang serta tidak luput di telan zaman.