23 Januari 2024, 00:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu ungkapan keramat yang sering dilaungkan di alam Melayu ini ialah “ulama dan pendekar berpisah tiada”. Ungkapan ini menggambarkan betapa agama dan persilatan tidak dapat dan tidak seharusnya dipisahkan. Walaupun ilmu persilatan itu wujud sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu, tetapi apabila raja-raja Melayu menerima Islam sebagai pegangan mereka dan rakyat mereka, Islam mula menyerap ke dalam setiap aspek kehidupan orang Melayu.

Yang menariknya, penyebaran Islam di alam Melayu berlaku secara asimilasi dan bukan paksaan. Pendakwah terdahulu telah tiba di alam Melayu sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Hal ini terbukti dengan peninggalan seperti batu-batu nisan dan prasasti di Sumatera yang dapat ditarikhkan sejak abad ke-7 Masihi.

Program Temasya Nada Silam Ijtimak Godang Perguruan Persilatan dan Kebudayaan Serantau merupakan program yang julung kali diadakan. Presiden Persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM), Tuan Roslim Abu dan ahli jawatankuasa DSSM merupakan tunggak program ini, yang disokong sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Penulis (paling kanan) bersama dengan ADUN Paroi YB Haji Kamarol Ridzuan, YDP DSSM Perak YB Datuk Zuraimi Razali, Presiden DSSM Malaysia Tuan Roslim Abu dan YDP PEDAWAM Profesor Dr. Supyan Hussin.

Program ini juga merupakan penutup kepada aktiviti DSSM bagi tahun 2023. Acara bersejarah ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran para tetamu dari Riau, Indonesia. Penulis diundang oleh Presiden DSSM untuk menghadiri program ini selaku pemerhati bebas dan juga sebagai penulis majalah Dewan Budaya.

Dalam slot Bughak Pagi ketika Majlis Perasmian Temasya Nada Silam Ijtimak Godang Perguruan Persilatan dan Kebudayaan Serantau yang telah berlangsung pada bulan November 2023 yang lalu, Dato’ Mohd Zaidi Ramli, Pengarah JHEAINS, turut berkongsi bahawa Islam dibawa ke alam Melayu oleh ulama melalui jalan sufi. Kaedah dakwah mereka adalah melalui penyerapan budaya dan gaya hidup Islam ke dalam peradaban tempatan.

Para ulama ini cuba mendekati masyarakat dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik yang dapat memperbaik taraf dan nilai kehidupan mereka. Dengan menggunakan pendekatan “atas ke bawah”, para ulama ini berjaya meyakinkan raja-raja Melayu dan pihak istana untuk memeluk agama Islam, dan ini diikuti oleh rakyat jelata.

Kaedah ini merupakan satu kaedah yang halus serta dapat diterima oleh kebanyakan masyarakat Melayu. Para ulama dan pendakwah ini tidak memaksa masyarakat tempatan untuk menerima Islam, sebaliknya menunjukkan kepada mereka tentang kebaikan dan kelebihan Islam, bukan sahaja sebagai satu pegangan agama, tetapi juga amalan kehidupan. Lama-kelamaan, amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan agama Islam berjaya diubah kepada yang lebih sesuai dengan aqidah dan syariah Islamiah.

Hal ini termasuk juga dengan ilmu persilatan. Seni bela diri Melayu ini turut mengalami evolusi dan adaptasi yang sesuai dengan konsep dan amalan dalam Islam. Mantera dan upacara yang berunsurkan syirik, tahyul dan khurafat digantikan dengan amalan berselawat, membaca doa-doa dan mengamalkan zikir-zikir tertentu yang menggunakan ayat suci al-Quran. Namun begitu, kaedah atau langkah silat itu sendiri masih dikekalkan untuk memastikan keberkesanannya tidak terganggu.

Program Temasya Nada Silam Ijtimak Godang Perguruan Persilatan dan Kebudayaan Serantau dianjurkan pada 24 hingga 26 November 2023. Program ini dijayakan dengan kerjasama antara JHEAINS dan DSSM Malaysia dengan Empayar Rumbawe selaku rakan strategik program. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan dan merapatkan orang awam dengan masyarakat silat, dengan perantaraan JHEAINS sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua komuniti ini.

Perwakilan dari Riau, Indonesia.

Di samping pertunjukan silat, program ini telah diperkaya dengan sesi sembang santai dan forum serta pementasan teater bertajuk Air di Gelas Kaca yang dipersembahkan oleh Teater Hidayah. Selain itu, program yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi ini turut memaparkan pameran senjata warisan Melayu dan arkib pameran manuskrip dan artifak pendidikan Islam. Ceramah dan forum ilmiah turut disampaikan oleh, Profesor Dr. Supyan Hussin, Yang Dipertua Persatuan Pendokumentasian Warisan Melayu Malaysia, Ustaz Muhammad Al-Amin, pendakwah selebriti dan Pengerusi Yayasan Al-Amin, serta Dr. Hasanuddin Mohd Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam.

Sesi Sembang Kopi O: Tasawuf dan Dakwah dalam Persilatan dan Kebudayaan Melayu turut dijayakan bersama-sama saudara Azrul sebagai perantara dan Tuan Roslim Abu, Presiden DSSM, serta Ustaz Amran Awaluddin, Timbalan Mufti Negeri Sembilan, sebagai ahli panel. Ruangan jualan busana tradisi Melayu, senjata warisan dan makanan serta minuman turut disediakan.

Acara tertutup, iaitu sesi sumbang saran persilatan Melayu bersama-sama Jabatan Mufti Negeri Sembilan turut diadakan pada hari kedua temasya. Persidangan meja bulat ini bertajuk “Kekangan dalam Garis Panduan Persilatan JAKIM”. Sesi sumbang saran ini disertai oleh ahli Dewan Sesepuh DSSM, guru-guru tua, guru-guru utama dan wakil-wakil tertinggi perguruan silat di dalam dan luar Negeri Sembilan. Sesi ini diadakan sebagai satu usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti silat tentang isu yang berkaitan dengan amalan dan kepercayaan dalam silat Melayu yang menjadi pertikaian antara pihak berkuasa agama dengan masyarakat silat.

Program ini juga diharapkan menjadi titik permulaan kepada pembentukan dokumen garis panduan persilatan yang komprehensif untuk diguna pakai di Negeri Sembilan. Hal ini dikatakan demikian kerana garis panduan yang ada kini, yang telah disediakan oleh pihak JAKIM dan juga usaha sama antara Jabatan Agama Islam Perak dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris didapati masih boleh dilakukan penambahbaikan.

Antara permasalahan dalam garis panduan yang sedia ada termasuklah dokumen ini dibuat tanpa penglibatan signifikan daripada komuniti silat Melayu. Sebagai hasilnya, satu dokumen yang kurang tepat dan tidak menggambarkan keadaan yang sebenar telah dihasilkan dan diguna pakai. Hal ini merupakan satu penganiayaan kepada masyarakat silat. Hal ini dikatakan demikian kerana perguruan-perguruan bukan silat dikenakan tindakan larangan atau pengharaman  daripada jabatan agama yang berkenaan, dan pertubuhan-pertubuhan silat yang asli menerima impak yang negatif.

Sesi sumbang saran pada kali ini melibatkan “orang silat” secara langsung dalam usaha untuk mendapatkan pencerahan dan maklumat yang lebih tepat tentang amalan dan juga kepercayaan yang diamalkan atau dipegang dalam sesebuah perguruan tersebut. Dengan maklumat ini, satu dokumen yang lebih lengkap dan menyeluruh serta tepat dari segi maklumatnya dapat dihasilkan. Yang menariknya, wakil pihak JHEAINS amat memahami situasi komuniti persilatan di Malaysia dan berfikiran amat terbuka dalam membincangkan hal yang dianggap sensitif dalam kalangan ahli dan pengamal silat Melayu. Semoga usaha murni ini berjaya mencapai objektifnya kelak.

Secara keseluruhannya, Temasya Nada Silam Ijtimak Godang Perguruan Persilatan dan Kebudayaan Serantau yang diadakan di Paroi, Negeri Sembilan ini berjaya mencapai objektifnya bagi merapatkan lagi masyarakat umum dengan komuniti silat melalui perantaraan JHEAINS. Program tiga hari ini merupakan satu usaha yang patut diteruskan sebagai acara tahunan, tetapi dengan konsep yang berbeza untuk terus relevan dan mampu menarik masyarakat umum untuk datang dan memeriahkan acara-acara seperti ini.

Pada pandangan penulis, lokasi acara agak sesuai kerana merupakan kawasan tertutup yang lebih mudah dikawal. Kemudahan parkir kenderaan juga agak memuaskan, di samping kemudahan keperluan asas, seperti surau dan tandas, yang mencukupi. Mungkin dengan sedikit tambahan sumber kewangan dan masa, hebahan am melalui media sosial tentang acara seperti ini dapat dipergiatkan lagi untuk mencapai audiens yang lebih meluas. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak JHEAINS dan DSSM selaku penganjur program yang amat bermanfaat ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.