Oleh Jamil Hashim
29 Ogos 2023, 08:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terpandang kelopak bunganya yang merah, mekar dan bersemarak sudah pasti dapat mengusik hati kecil kita untuk tertarik, ceria dan suka kepada bunga raya. Memang tidak perlu diperkenalkan lagi, sekilas pandang kita pasti kenal bunga ini kerana bentuk, sifat dan warna merah garangnya.  Bentuk, sifat dan warnanya yang sedemikian memang telah didedahkan kepada kita sejak kecil seawal peringkat sekolah.

Bukan sekadar suka memandang, malah setelah menyedari sifat dan statusnya sebagai bunga kebangsaan, pasti akan menyemarakkan rasa patriotik dalam jiwa kita kepada tanah air tercinta.

Pokok bunga raya yang  mudah ditemui  di negara ini pada kebiasaannya berwarna  merah terang atau beberapa warna lain yang cantik dan mekar. Bunga ini cukup sinonim dijadikan sebagai pokok bunga penyeri laman rumah dan taman, malah turut diselitkan dua atau tiga kuntum kelopaknya dalam jambangan bunga hiasan.

Mungkin ada yang bertanya, negara kita yang kaya dengan pelbagai jenis bunga yang cantik, mekar, harum dan menawan, tetapi mengapakah bunga raya dipilih sebagai bunga kebangsaan?

Menyingkap sejarah, ketika negara baru mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pucuk kepemimpinan negara merasakan Persekutuan Tanah Melayu perlu mempunyai bunga kebangsaan sendiri sebagai simbolik dan kebanggaan kepada negara yang merdeka.

Bagi mengenal pasti bunga yang sesuai bagi tujuan itu, Kementerian Pertanian telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya. Pada tahun 1958, kementerian ini memilih tujuh jenis bunga, meliputi bunga melur, teratai,  kenanga, mawar, cempaka, tanjung dan bunga raya untuk ditinjau pendapat daripada masyarakat umum di seluruh negara.

Menurut rancangan Hari Ini Dalam Sejarah terbitan Arkib Negara Malaysia, Jabatan Penerangan melalui unit bergeraknya telah menemui masyarakat umum di seluruh negara bagi meninjau pendapat, mengumpul maklum balas serta melihat kecenderungan minat mereka memilih bunga yang sesuai bagi tujuan itu.  Hasil tinjauan mendapati tiga jenis bunga menjadi pilihan ramai, iaitu bunga mawar, melur dan cempaka.

Hasil tinjauan dan maklumat itu serta atas beberapa pertimbangan lain, kabinet melalui mesyuaratnya telah memutuskan untuk memilih bunga raya berwarna merah sebagai bunga kebangsaan. Hal ini berdasarkan beberapa kriteria dan ciri-ciri bunga tersebut, antaranya termasuklah nama dan sifatnya yang sudah dikenali oleh masyarakat di seluruh negara serta mudah ditemui.

Bunga raya, atau nama saintifiknya Hibiscus rosa-sinensis, yang diperkenalkan di negara ini pada abad ke-12 juga mempunyai bentuk kelopak yang besar dan warna yang menarik.  Satu lagi faktor pemilihan bunga raya ialah bunga ini belum pernah dipilih atau dijadikan sebagai bunga kebangsaan bagi negara-negara lain pada ketika itu.

Pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan itu kemudiannya diisytiharkan secara rasmi kepada umum oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 28 Julai 1960 ketika merasmikan pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA).

Bunga raya dalam Jata Negara Malaysia sejak tahun 1965.

Dari sudut falsafah, warna merah ranggi pada kelopak bunga raya yang besar dan lebar itu melambangkan keberanian dalam menghadapi cabaran,  keteguhan ekonomi dan politik terutama berpendirian tegas dalam mempertahankan prinsip negara yang berdaulat dan merdeka, serta tidak mudah dipengaruhi oleh pihak luar dan kuasa asing.

Bentuknya yang unik dengan lima kelopak mekarnya juga berkaitan rapat dengan amalan hidup bermasyarakat dalam sebuah negara yang telah merdeka. Lebih bermakna lagi, ketika dilancarkan Rukun Tetangga oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970, turut ditafsirkan lima kelopak bunga raya sebagai lima prinsip utama untuk dihayati dan diamalkan oleh masyarakat.  Bunga raya juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan dalam pembinaan negara bangsa yang tetap selari dengan matlamat Kerajaan Perpaduan sekarang.

Sesuai dengan statusnya sebagai bunga kebangsaan, lambang bunga raya turut dipaparkan dalam jata rasmi negara pada 1965 menggantikan lambang negeri Singapura yang keluar dari Malaysia pada tahun berkenaan.

Gambar bunga raya sebagai salah satu identiti pada jata negara juga turut dipaparkan dalam pelbagai bentuk rasmi lain, seperti jata negeri,  lencana, logo pihak berkuasa atau persatuan.  Jata Negeri Sarawak Bumi Kenyalang umpamanya yang dikemas kini pada 1981 turut mengekalkan dua kuntum bunga raya berwarna merah di bawah kepak burung enggang sebagai unggas yang cantik dan berketerampilan yang sinonim dengan negeri itu sebagai objek tarikan utamanya.

Bunga raya pada logo rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1972 serentak dengan pengisytiharannya sebagai bandar raya pertama selepas negara mencapai kemerdekaan turut memasukkan bunga raya berwarna merah pada logo rasminya.

Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan sukarela di negara ini yang turut memaparkan gambar atau lambang bunga raya dalam logo mereka. Hal ini termasuk Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1983.  Bunga raya yang dipaparkan dalam logonya melambangkan peranan persatuan itu ke arah pencapaian aspirasi dan matlamat pembangunan negara.

Setelah diwartakan sebagai bunga kebangsaan, usaha mempromosikannya turut dipergiatkan dengan menggalakkan kerajaan negeri khususnya pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan dan persatuan di seluruh negara menanamnya  untuk dijadikan hiasan  bandar, pekan, jalan raya dan taman awam.  Kempen juga turut diadakan bagi menggalakkan masyarakat dan penghuni kediaman menanam dan menghiasi laman rumah mereka dengan pokok bunga raya.

Kesannya memang ketara kerana sebagai tumbuhan renek berbunga tropika atau separa tropika,  pokok bunga raya mudah ditanam dan membiak sesuai dengan iklim negara ini yang lembap serta sentiasa mendapat cahaya matahari. Bekalan anak pokok bunga raya juga mudah didapati di tapak semaian untuk dibeli dan ditanam dalam pasu atau di atas tanah serta senang dibiakkan melalui keratan batangnya.

Usaha itu kemudiannya berterusan dengan pelbagai pihak termasuk universiti, sekolah dan pertubuhan sukarela mengadakan kempen menanam bunga raya sebagai usaha menghijaukan bumi dan mengindahkan kawasan.  Selain ditanam secara bercampur dengan pokok-pokok lain, sering juga ditemui bahagian, ruang atau sudut tertentu dalam taman turut dikhususkan untuk pokok bunga raya yang biasanya berukuran 2.5 hingga 5 meter tinggi dan berdahan yang mudah mengeluarkan bunga.

Setelah Akta Warisan Kebangsaan diwujudkan pada tahun 2005, bunga raya turut didaftarkan pada tahun 2007 sebagai objek warisan negara di bawah kategori objek warisan seperti yang termaktub dalam akta ini.

Taman Bunga Raya di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Sesuai dengan sifatnya sebagai taman utama di ibu negara, Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana di bawah kelolaan DBKL turut mewujudkan Taman Bunga Raya secara khusus, di samping tujuh taman lain dengan nama-nama tertentu mengikut spesies dan  jenis pokok.

Turut diwujudkan sebagai mercu tanda bagi taman ini ialah binaan replika pokok bunga raya di tengah kolam berhampiran sebuah bangunan bercirikan warisan.  Taman ini juga menampilkan variasi pokok bunga raya daripada spesies lain yang mengeluarkan bunga mengikut bentuk dan warna seperti merah jambu, kuning merah dan jingga.

Selain untuk kunjungan pelawat umum, pokok bunga raya yang ditanam di Taman Botani Perdana ini juga menjadi sumber bahan penyelidikan bagi beberapa buah agensi lain yang membangunkan dan mengawal selia taman ini. Hal ini termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Perhutanan Negara (FRIM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa buah institusi lain.

Di negeri Selangor pula, Dataran Bunga Raya diwujudkan di dalam Taman Tasik Shah Alam.  Dataran yang dikawal selia oleh Majlis Bandaraya Shah Alam itu turut menjadi satu daripada destinasi pilihan kunjungan pelawat untuk beriadah dan lipur diri sambil menikmati keindahan dan haruman flora yang menyegarkan.

Selain mengindahkan taman awam dan rekreasi, kawasan kediaman dan kompleks pejabat serta perniagaan dengan pelbagai jenis pokok bunga raya, nama bunga kebangsaan ini turut diabadikan pada nama taman-taman perumahan di seluruh negara.   Nama itu wujud di pelbagai tempat seawal Taman Bunga Raya di ibu negara awal 1970-an diikuti dengan taman perumahan di bandar besar dan pekan di seluruh negara.

Selain nama taman perumahan,  terdapat jalan utama di beberapa buah bandar besar dan pekan dinamakan dengan nama Jalan Bunga Raya. Hal ini termasuk di Kuala Lumpur, Klang, Melaka, Seremban,  Ipoh,  Pulau Pinang,  Kelantan serta beberapa buah bandar lain.

Setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia.

Sementara itu, terdapat juga bangunan penting seperti Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang, Selangor sebagai tempat berlepas dan ketibaan bagi tetamu kenamaan terutama pemimpin negara.

Bagi masyarakat umum pula, sama ada secara sedar atau tidak, setiap hari ke mana-mana sahaja mereka pergi, pasti akan membawa bersama gambar bunga raya yang turut dipaparkan pada wang kertas dan wang syiling rasmi keluaran Bank Negara Malaysia.

Selain itu, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) pernah mengeluarkan setem yang berlatarkan bunga raya sebelum ini yang bertujuan menghargai dan mempromosikan bunga kebangsaan kita.

Bagi warganegara Malaysia yang bertuah, maju dan merdeka ini, diharapakan nilai yang ada pada bunga raya terus mekar dan segar dalam jiwa dan ingatan kita sebagai bunga kebangsaan dan lambang semangat patriotik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.