21 Julai 2023, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan istilah adaptasi sebagai satu proses penyesuaian dengan keadaan dan sebagainya kepada sesuatu bentuk yang baharu atau berbeza.

Dengan kata lain, adaptasi tetap bermula daripada sesuatu yang unggul sebagai tunjang utama, ditransformasikan dalam pelantar kedua, sama ada filem, lukisan dan muzik, serta diterima secara terbuka kaitannya dengan sumber utama.  Adaptasi juga melibatkan proses atau satu usaha terjemahan daripada tindakan atau perbuatan kreatif, pemikiran yang sesuai dengan nilai-nilai dalam tuntutan tasawur persekitaran, melingkari sesebuah sistem komuniti serta masyarakat.

Karya besar Sasterawan Negara Malaysia, Dato’ Dr. Usman Awang (Sasterawan Negara ke-3) dan Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (Sasterawan Negara ke-14).

Sekali pun, dunia penulisan teks sastera dan seni visual ialah dua genre seni memiliki perbezaan pendekatan, namun tugas dan fungsi akhirnya tetap mempunyai ciri-ciri persamaan, terutamanya pada kaedah dan teknik pengucapan idea-idea, distrukturkan semula bagi tujuan menginterpretasikan gambaran sesuatu fenomena nilai daripada minda pengkarya untuk dikongsi dan diraikan bersama khalayak.

Maka itu, tidak mustahil kedua-dua genre seni ini saling berhubungan dalam strategi ilmu bahasa simbol, tanda, ikon, indeks, metafora, analogi, satira dan sebagainya. Indikasi adaptasi tidak sekadar mengambil komponen luaran semata-mata (ekstrinsik), malah turut menyusun strategi makna dalaman (intrinsik) agar penyepaduan konsep yang dibawa dapat berfungsi dalam dimensinya.

Pada posisi pengkaryaan seni visual, adaptasi perlu dicerakinkan dengan beberapa pendekatan sebagai indikasi dan strategi ilmiah. Yang pertama, mengenal pasti tema, konsep dan konteks daripada teks sastera yang dipilih.

Yang kedua, meneliti setiap komponen teks, perenggan, plot-plot yang membawa unsur penceritaan, peristiwa, fenomena, kesan psikologi atau sebarang gejala yang mendominasi keseluruhan teks.

Yang ketiga, merungkai kepelbagaian kaedah dan teknik pengucapan dalam cerita, pendekatan tersebut penting untuk menjadi idea daripada teks kepada sarana awal dalam melaksanakan proses perkembangan visual.

Yang keempat, melihat sebarang gejala yang muncul ketika proses kreatif daripada perspektif yang berbeza, bukan terjemahan secara literasi sahaja, tetapi mengambil impak penghayatan daripada pembacaan, seperti hubungan teks dengan pandangan kendiri, pengalaman peribadi, kekuatan pancaindera,  latar belakang penceritaan dan kesan psikolgi pengkarya. Seterusnya,  mengolah lakaran sebagai refleksi awal berpandukan kemahiran dan kekuatan bahasa tampak yang dikuasai dengan baik.

Pada masa yang sama,  proses ini memerlukan satu alat penggerak sebagai orientasi pencarian bagi penentuan aras kesesuaian visual yang bakal dipilih, seperti penggunaan visual dengan nuansa simbolik, metaforikal, semiotik, sintaksis, semantik, perlambangan atau imaginasi.

Hal ini bertujuan memperlihatkan pertautan tema, plot, persoalan, watak dan perwatakan, nilai, latar penceritaan dapat terjemah secara sistematik. Oleh hal yang demikian, proses adaptasi teks menerusi domain visual memerlukan daya pengamatan yang tinggi, sekali gus peka terhadap setiap perubahan nilai dan peristiwa yang telah dirakam karya.

Rasionalnya, karya seni visual amnya bersifat kaku sama ada dua dimensi mahupun tiga dimensi, maka proses pemilihan dan pengolahan perlu komprehensif bagi mewakili naratif peristiwa yang terkesan kepada pengkarya walaupun pada sisi yang kecil.

Aine Abdullah dengan karyanya, Santai Siri 1,2 dan 3, inspirasi daripada teks Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Pendekatan adaptasi karya teks sastera kepada karya seni visual berjaya direalisasikan oleh 35 orang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera Seni Halus, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pameran ijazah bertajuk Journey: A Fine Art Showcase. Pameran ini berlangsung dari 10 Julai hingga 23 September 2023 bertempat di Muzium dan Galeri Tengku Fauziah, USM.

Idea karya yang bertajuk Santai Siri 1, 2 dan 3 ini menggunakan akrilik atas tikar mengkuang, inspirasi daripada pembacaan teks puisi “Dari Stesen ke Stesen” dalam Bait Senandung Malam, karya Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

“Saya amat terkesan dengan ungkapan dalam puisi itu, terutamanya pada fasa kelima, yang tertulis ‘…tiga helai batik lepas, sarung bantal dan selimut putih, rapi di almari’, teks tersebut membuatkan saya terimbau peristiwa saya sedang meningkat remaja di rumah nenek. Nenek dalam posisi duduk di atas tikar mengkuang dan berpesan-pesan kepada kami sekeluarga tentang adab sebagai seorang perempuan,” kata Aine Abdullah.

Transisi proses adaptasi ini mengalami perubahan dalam konteks interpretasi, di samping terkesan secara psikologi, pelukis menyulam gagasan daripada memori terhadap pengalaman ketika remaja bersama-sama orang dewasa dalam situasi yang sama. Hal ini meningkatkan imaginasi deja vu bahawa teks tersebut menceritakan hal yang pernah beliau alami sendiri, walaupun berbeza situasi, lokasi dan hanya dari bait teks yang kecil, tetap kaya dengan unsur melankolik dan kasih sayang yang amat dalam.

Komponen bahan tara daripada tikar mengkuang digunakan secara terus bersama kombinasi motif daripada corak kain batik lepas yang diperoleh beliau dari rumah nenek, diolah semula mengikut komposisi rawak bagi menimbulkan kesan setara pada setiap ruang tikar.  Hal ini ecara tidak langsung menjadikan karya ini bersifat semasa daripada nalar pengetahuan masa lalu.

Tikar mengkuang, motif batik lepas dan teks puisi telah diformulasikan dengan strategi metaforikal, menjawab idea adaptasi tidak semestinya dengan satu proses interpretasi secara literal atau cetek pada pemikiran pengkarya yang peka. Domain adaptasi menemukan dimensi baharu dalam kaedah pengucapan visual.

Hakimi Mat Dahari, Bahagian Seni Halus,USM bersama-sama karyanya, Wasiat walid III, 2023 adaptasi daripada puisi “Tukang Besi di Bengkel Kereta Api”, oleh Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Menurut Hakimi Mat Dahari, puisi yang dipilih ini banyak mengandungi komponen ingatan dan pesanan hingga memperlihatkan sisi sebuah harapan serta impian seorang yang bergelar ayah kepada anak yang sedang membesar.

Apabila diteliti daripada setiap teks, rangkap dan perenggan serta segala yang tersirat, membawa dirinya mengimbau pengalaman, memori melakukan aktiviti bersama ayahnya sendiri satu ketika dahulu. Maka itu, setiap pesanan yang pernah dilontarkan sentiasa menjadi kenangan, malahan panduan kepada dirinya hingga hari ini.

“Selain usaha menggarapkan isi daripada puisi dengan nilai-nilai estetika luaran, nilai-nilai makna yang bermanfaat tidak juga ditinggalkan, pesanan daripada orang terdahulu amat berguna, seumpama guru dan pelita penyuluh jalan kehidupan yang penuh cabaran ini.”

“Pada saya, seni visual harus menemukan pengkarya kepada adab mengenal budaya warisan sendiri.  Oleh sebab itu, saya ketengahkan visual tulisan jawi yang semakin ditinggalkan generasi kini, berbunyi, ‘Hidup ini seperti perjalanan, jangan takut untuk mengambil jalan yang belum pernah dijelajahi. Kelak, kamu akan melihat bertapa indahnya petualangan dan kesempatan yang muncul di sepanjang jalan’,” jelas Hakimi.

Bagi memunculkan inspirasi zaman lampau, Hakimi menggunakan bahan kayu yang dibina membentuk susunan timbulan, ikatan dan rupa warkah, pondok kecil, kain pelikat, tasbih dengan persembahan konsep yang fungsional, bertujuan membina konotasi konteks pesona warisan binaan rumah Melayu daripada kayu, terutamanya di kawasan luar bandar.

Pelajar Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, USM bersama-sama barisan pensyarah dan mantan Naib Canselor Dato’ Prof Dr Faisal Rafiq M. Andikan.

Dari sudut lain, pengertian dan cabaran proses adaptasi teks kepada visual pada dimensi seni visual lebih bersifat terbuka dalam kaedah persembahannya. Kombinasi daya kreativiti, imaginasi dan kesedaran melihat sesuatu isu dalam konteks yang berbeza dapat dihidupkan dengan pertautan aturan dan prinsip tertentu. Hal ini menjadikan karya teks bukan sekadar naratif yang dibaca secara vokal malah turut di integrasikan kepada pelbagai bahasa tampak.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, USM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.