24 Julai 2023, 11:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pementasan Sulur Nakasari 2.0 bertemakan “Merajut Seni, Menyulam Tradisi” yang bakal berlangsung pada 28 Julai dan 29 Julai ini merupakan gabungan seni tradisional tari dan muzik.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar berkata Sulur Nakasari secara umumnya mempamerkan hasil kreativiti dan idea daripada barisan koreografer dan komposer Istana Budaya dalam melahirkan karya-karya reka cipta tari dan muzik yang baharu.

Istana Budaya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan persembahan ini akan dijayakan oleh dua gabungan produk dari Istana Budaya iaitu residen Artis Budaya yang dikenali sebagai Artistana dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar ketika berucap pada majlis sidang media Sulur Nakasari 2.0.

“Pementasan Sulur Nakasari 2.0 pada kali ini juga bakal menampilkan tiga segmen dalam keseluruhan persembahan iaitu segmen ‘Kreasi Tradisional’, ‘Kreatif Tradisional’ dan ‘Kreatif Kontemporari’,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Sulur Nakasari 2.0 akan mempamerkan 12 jenis tarian antaranya seperti tarian asli, inang, joget, Zapin Siltah, jeraus dan bakarano yang disusun oleh sembilan orang koreografer Istana Budaya berbanding 10 jenis tarian yang telah dipersembahkan pada Sulur Nakasari yang lalu.

Menurut Istana Budaya, sentuhan Sulur Nakasari 2.0 tahun ini juga lebih istimewa kerana bakal menjemput dua orang artis tempatan yang hebat iaitu Bob Yusof dan Hazra Dollah bagi menyemarakkan lagi persembahan etnik kreatif dan tradisional Malaysia.

Katanya, OTM berperanan menghasilkan identiti kesenian muzik tradisional yang unik dengan melibatkan pelbagai jenis instrumen dari pelbagai kaum dan etnik di seluruh Malaysia.

Konduktor/Pengarah Muzik OTM, En. Yazid Zakaria berkata uniknya Sulur Nakasari 2.0 bagi tahun 2023 berbanding sebelum ini ialah lima buah gubahan lagu baharu telah berjaya dihasilkan dan menjadikan 18 buah lagu secara keseluruhan dengan melibatkan sembilan orang komposer dari OTM sendiri.

Antara tenaga produksi yang bakal terlibat dalam pementasan Sulur Nakasari 2.0 pada 28 Julai dan 29 Julai ini.

Dalam pementasan ini, gerak tari (Sulur) yang dialunkan bersama rentak muzik (Nakasari) mestilah dilengkapkan dengan rekaan busana bagi menampakkan impak yang hebat. Setiap jenis tarian dan persembahan mempunyai sentuhan busana yang berbeza bagi merealisasikan konsep yang dikehendaki oleh koreografer.

Tambahnya, setiap sudut dari segi pemilihan warna, cara pemakaian dan susunan corak busana mestilah menjaga keaslian material seiring dengan mengekalkan identiti untuk setiap jenis tarian dan menariknya busana Sulur Nakasari ini merupakan hak cipta sepenuhnya milik Istana Budaya.

Hasil sentuhan kreatif dan keindahan keseluruhan persembahan Sulur Nakasari 2.0 dalam menjanjikan satu pementasan yang hebat diketuai oleh Encik A. Aris A. Kadir sebagai pengarah persembahan dan Encik Badrul Zaman Abdul Jalil sebagai sinografer.

Manakala, sentuhan keunikan seni tari dan muzik dalam menimbulkan satu rasa dan kepuasan pementasan ini diketuai oleh Encik Mohd Yazid Zakaria sebagai konduktor/ Pengarah Muzik OTM dan Encik Rudy De Luna Jr. sebagai pengarah tari.

Sulur Nakasari 2.0 akan dipentaskan selama dua malam iaitu pada 28 Julai dan 29 Julai 2023, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.