24 Julai 2023, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phuket – “Kunjungan kami ke Phuket, Thailand adalah untuk berjumpa dengan keturunan Mahsuri yang ketujuh iaitu Wan Aishah Wan Nawawi. Kedatangan kami ke sana, disambut dengan baik sekali. Kami berasa gembira dan bersyukur kerana dapat berjumpa dengan keturunan ketujuh Mahsuri itu”.

Itulah kata-kata yang diluahkan oleh Ketua Persatuan Keturunan Mahsuri Negeri Kedah, Noor Safinas Sobahi yang mengetuai lawatan Keluarga Mahsuri ke Phuket, Thailand untuk bertemu dengan keturunan Mahsuri yang ketujuh selama tiga hari, bermula pada 9 Julai hingga 11 Julai 2023.

“Dia (Wan Aishah) berasa gembira dapat berjumpa saudara mara dari Kedah. Kami berbincang mengenai percantuman keturunan Mahsuri di bawah Persatuan Keturunan Mahsuri Negeri Kedah,” ujarnya.

Keturunan Mahsuri yang ketujuh, Wan Aishah Wan Nawawi (berbaju putih) ketika pertemuan di Phuket, Thailand.

Sebanyak 20 orang yang terdiri daripada Persatuan Keluarga Mahsuri Negeri Kedah menyertai lawatan berkenaan yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua belah pihak. Lawatan yang diadakan itu dapat memberi kebaikan dan perangsang untuk persatuan itu mengorak langkah bagi membina tradisi dan mengukuhkan tali permuafakatan yang dibina selama ini.

Menurut Noor Safinas, perancangan pihaknya menjejaki susur galur keturunan Mahsuri di Phuket, Thailand kerana banyak sejarah dan kenangan silam yang telah ditinggalkan. Rombongan yang diketuai oleh beliau turut disertai oleh pengasasnya iaitu Tuan Haji Yusof Abd Rahim bersama dua orang ahli sejarah Kedah iaitu Encik Ahmad Hambali Mohd Saad dan Encik Mohd Jamil Haji Ramli.

“Kami berjaya mengumpul susur galur Mahsuri di Kampung Kamala, Phuket ketika pertemuan pertama kali di kediaman rasmi keluarga Puan Wan Aishah Wan Nawawi dipercayai generasi yang ketujuh Mahsuri. Tidak kurang juga ramai yang berjaya mengumpulkan susur galur Mahsuri yang bermastautin di Bangkok, Patani, Narathiwat, Yala, Setoi, Phuket dan Langkawi, Kedah,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2005 telah terpapar dalam akhbar Utusan Malaysia,  sebanyak 150 orang ahli keluarga Mahsuri telah berhimpun di sekitar  Jitra, Alor Setar, Lenggong serta Sadao di Selatan Thailand, berkumpul di Kampung Paya Pulau Dudur yang dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah , Dato’ Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof.

Menurut Noor Safinas, ahli keluarga Mahsuri telah mengadakan pertemuan selepas 18 tahun perkara tersebut berlalu. Pihaknya berpakat untuk terus menjejaki susur galur keluarga Mahsuri di Phuket, Thailand.

“Tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk mengeratkan kembali keluarga keturunan Mahsuri. Usaha ini diharapkan dapat memberikan satu inspirasi kepada persatuan ini agar dapat bergerak dengan baik bagi mengadakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan keturunan Mahsuri,” tambahnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.