25 Julai 2023, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan usia beliau kini 66 tahun, Dato’ M. Nasir merupakan artis paling veteran yang akan menjayakan konsert Hausboom Music 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 9 September dan 10 September nanti.

Sementara pemain dram baharu kumpulan Search, Naimi Daini yang berumur 17 tahun pula ialah artis paling muda dalam konsert anjuran syarikat jenama minuman terkenal, Hausboom itu.

Mengekalkan dan tetap dengan sesuatu yang telah dicipta bukan perkara mudah. Walau bagaimanapun, bagi Hausboom, percubaan menghidupkan sebuah konsert yang diberi nama Hausboom Music sejak tahun 2018 telah mencapai kejayaan.

Azri Zahier Azmi atau dikenali juga sebagai John Lemon memberikan taklimat mengenai konsert Hausboom Music 2023.

Konsert Hausboom Music 2023 menjanjikan sebuah konsep yang lebih hebat, dan dibarisi penghibur serta pemuzik dari pelbagai genre yang lebih mantap, untuk memberi hiburan maksimum, dan bermutu tinggi kepada pengunjung.

Berdasarkan barisan penghibur dan pemuzik yang terlibat, semua peminat pasti tidak mahu melepaskan peluang ikut serta berpesta di SIC nanti.

Selain Nasir dan Naimi/Search, antara legenda baharu dan lama yang bakal menggegarkan pentas konsert Hausboom Music 2023 termasuklah Ella, The President Joe Flizzow, Exists, Spider, Hujan, Bunkface, dan SonaOne.

Salam Muzik, Gerhana Ska Cinta, Grey Sky Morning, Alif Satar & The Locos, Masdo, Insomniacks, Iamneeta, Iqbal M, Baby Shima, Toko Kilat, Dolla, SOG, Midnight Fusic, 53 STU, dan Budak Nakal Hujung Simpang pula menambah kehangatan konsert berkenaan.

Di samping Hyndia dari Indonesia, Alyph & Akeem Jahat dua orang penghibur popular kelahiran Singapura yang tidak asing dalam genre Hip-Hop juga bakal menggegarkan konsert Hausboom Music 2023.

Demikian juga dengan Shila Amzah, Naratu, No Good, Orkes Hizaidin, Chronicalz, Forceparkbois, Luqman Podolski, dan GARD WUZGUT.

Pada 18 Julai lalu berlangsung sidang media konsert Hausboom Music 2023 di Lobi Menara Affin Bank@TRX, Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi.

“Hausboom berbangga dan bersyukur kerana konsert Hausboom Music telah memasuki siri yang ketiga untuk tahun ini. Apatah lagi konsert Hausboom Music memang terkenal sebagai pelopor yang menggabungkan variasi genre seperti rock, dangdut, R&B, dan Hip-Hop dalam sebuah penganjuran konsert,” kata Azri Zahier.

Lebih mengujakan, tambahnya yang juga dikenali sebagai John Lemon, penganjuran kali ini membabitkan barisan penghibur yang lebih bagus, dan tidak datang dari Malaysia sahaja, tetapi juga Singapura dan Indonesia.

Penganjuran konsert kali ketiga ini merupakan kolaborasi bersama-sama Affin Bank. Konsert Hausboom Music 2023 juga bakal melakar sejarah sebagai konsert tempatan terbesar pernah dianjurkan di SIC.

Ratu rock, Ella juga antara legenda yang bakal menghangatkan konsert Hausboom Music 2023 pada 9 September dan 10 September depan.

“Dengan barisan 35 orang pemuzik dan pemilihan SIC sebagai lokasi, Hausboom mahu menarik kira-kira 15,000 orang penonton pada kedua-dua hari pementasan konsert. Hausboom juga yakin harga tiket yang dikenakan berbaloi,” tambah Azri yang juga mendapat jolokan Taukeh Panggung untuk konsert ini.

Selain Search, antara artis yang menghadiri sidang media itu termasuklah Ella, Spider, Exists, The President Joe Flizzow, Iamneeta, Grey Sky Morning, Masdo, Dolla, Hujan, SonaOne, Iqbal M, SOG, dan Luqman Podolski.

Seperkara yang lebih menarik mengenai penganjuran konsert kali ini, Hausboom turut mengeluarkan 200,000 botol Hausboom Sparkling Juice, dengan label edisi terhad versi konsert berkenaan.

Setiap label edisi terhad itu juga mempunyai kod QR, setiap pembeli yang mengimbas kod tersebut berpeluang memenangi tiket-tiket VVIP berjumlah RM1,200 untuk sekeping tiket, barangan rasmi konsert Hausboom Music 2023 serta potongan harga bagi pembelian tiket “General” konsert ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.